Caravansary penginapan sementara pedagang


Susunan SITI AINIZA KAMSARI

 

Keindahan laman atau sahn sebuah kompleks Karavanserai Shah Abbas yang kini dijadikan sebuah hotel di Isfahan, Iran.

 

ISLAM amat kaya dengan khazanah lama yang cukup mengagumkan atau mampu mencetuskan kehairanan masyarakat hari ini. Ini kerana masyarakat Islam dahulu mampu membina apa juga bentuk binaan bagi menzahirkan seni bina yang sangat tinggi.

Ini termasuklah aspek institusi penting yang mesti ada dalam melengkapkan sesebuah tamadun, empayar dan kerajaan yang hebat.

Begitu juga dengan konsep Caravansary yang dikhususkan sebagai tempat persinggahan golongan pedagang

Pernahkah anda mendengarnya sebelum ini? Ini apabila kita dibuai halwa telinga dengan keindahan instrumental hebat karya Kitaro, iaitu sebuah lagu yang dijudulkan Caravansary.

Sedari itu apabila kita mencari makna perkataan tersebut, rupa-rupanya ia tidak sekadar sebuah lagu. Ia adalah satu institusi penting peninggalan zaman Islam yang dirakam keunikan dan keindahannya oleh Kitaro, pemuzik hebat dari negara Matahari Terbit, untuk album Silk Road IV.

Apakah makna Caravansary itu sendiri? Caravansary atau disebut sebagai Khan berasal daripada perkataan Parsi dan Turki iaitu Karvansara atau Kervansaray. Iaitu gabungan perkataan Karvan (caravan) dan Sara (yang bermakna istana, bangunan dengan laman yang terbuka). Dalam Istilah biasa, Caravansary bermaksud khafilah atau kumpulan pedagang yang mengembara.

Caravan seperti mana yang kita ketahui bermaksud sekumpulan para pedagang atau saudagar, pengembara untuk mengerjakan haji, menuntut ilmu dan para pengembara lain yang berkelana jauh dari segenap pelosok negeri untuk sampai ke pelbagai destinasi.

Malah dalam bahasa Arab, institusi Caravansary ini dikenali sebagai funduq atau fundaco dalam bahasa Itali yang lazimnya boleh ditemui di Bandar Perdagangan terkemuka dunia, Venice.

Sudah menjadi tanggungjawab penting kepada pemerintah Islam ketika itu bagi mendirikan Caravansary ini sebagai kemudahan kepada mereka yang berdagang dan mengembara.

Caravansary merupakan sebuah binaan atau kompleks bangunan dengan pengaruh seni bina Parsi yang dibina khas untuk menjadi penginapan sementara kepada para pedagang dan pengembara sekitar abad ke-16 hingga ke-19 Masihi.

Ini bagi membolehkan mereka berhenti berehat dan bermalam sebelum meneruskan perjalanan yang lazimnya memakan masa berbulan-bulan lamanya.

Jika pada istilah sekarang ia seperti rumah penginapan, rumah tumpangan atau motel. Namun Caravansary lebih daripada sekadar rumah tumpangan atau motel.

Caravansary adalah sebuah kompleks yang turut sibut dengan aktiviti. Ia tidak pernah sunyi, tidak pernah tidur kerana berlangsungnya pelbagai urusan perniagaan.

Ia juga medan pertemuan utama para pedagang dan pengembara untuk berkongsi kisah suka duka yang mereka tempuh sepanjang perjalanan sama ada jauh mahupun dekat.

Untuk lebih tepat lagi Caravansary adalah sebahagian penemuan kisah penting dalam semua catatan pengembaraan yang sangat terkenal, iaitu Laluan Sutera (Silk Road). Pengembaraan yang bermula dari selatan benua Eropah, benua Afrika Utara, membawa ke Timur Tengah, Asia Tenggara sehinggalah ke destinasi terakhirnya, negara China.

Sepanjang perjalanan dan pengembaraan itu, para pedagang akan menemui ratusan Caravansary di setiap perhentian untuk melepaskan lelah.

Malah jika bercadang berada lama di situ didirikan juga gerai-gerai kecil yang menjadikan Caravansary sebagai sebuah kompleks perniagaan.

Di sinilah para pedagang dan pengembara merehatkan badan mereka selepas menempuh perjalanan jauh selain memberi makan haiwan yang menjadi kenderaan perdagangan, membasuh pakaian malah sehinggalah mereka berpesta, bersuka ria dengan pelbagai jenis hiburan tradisi dari pelbagai etnik dan budaya sehinggalah menjadi tempat untuk beribadat, mendirikan solat!

Demikianlah pelbagai fungsi binaan yang bernama Caravansary, yang menghidupkan, sama ada kehidupan malam mahupun siang di kebanyakan kota utama Islam sepanjang Laluan Sutera itu.

Institusi yang sangat menepati konsep melting pot masyarakat Timur dan Barat bagi membolehkan semua yang berada di situ merupakan satu komuniti kecil dunia yang terdiri keindahan dan keunikan pelbagai warna bahasa, bangsa dan budaya.

Sehinggalah dalam syair atau Rubaiyat Omar Khayyam (Stanza 17, Edisi ke 5) ada digambarkan mengenai Caravansary ini dalam karya agungnya, iaitu: Think, in this batter’d Caravansary Whose Portals are alternate Night and Day, How Sultan after Sultan with his Pomp, Abode his destined Hour and went his way.

Caravansary seperti diakui oleh ramai pencinta seni bina adalah sebahagian khazanah Islam yang dibina dengan standard binaan yang tinggi, penuh estetika seni, keunikan dan keindahan yang tidak terperi kerana fungsinya yang sama penting seperti masjid, madrasah, istana, muzium dan sebagainya.

Sayangnya, ia kini tinggal sebagai satu kenangan khazanah Islam. Sesetengahnya hanya tinggal dalam bentuk runtuhan atau terbiar tanpa sebarang pemuliharaan.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s