Bolehkah jamak solat kerana tuntutan kerja?


Saya seorang penyelenggara mesin di sebuah syarikat. Kerja saya ialah mengurangkan downtime mesin di sesebuah kilang. Pekerjaan saya kadangkala menyebabkan saya gagal solat pada awal waktunya dan adakala terpaksa jamak. Saya tidak boleh meninggalkan kerja saya untuk menunaikan Zuhur kerana mengejar zero downtime sesebuah kilang. Saya nak tanya bolehkah saya niatkan jamak Zuhur pada waktu Asar (ini bukan selalu berlaku) atau bagaimana?

* Azraai, Shah Alam.

UKE: Solat merupakan tiang agama dan satu kewajiban yang tidak boleh ditinggalkan. Berkenaan masalah kerja di tempat anda, persoalannya tidakkah ada rakan setugas yang boleh bergilir untuk bertugas? Kalaulah langsung tidak boleh ditinggalkan mesin itu bagaimana dengan rehat dan makan tengah hari anda.

Mana boleh kerja tidak rehat dan tidak makan? Bila ada rehat dan ada makan maknanya bolehlah solat. Solat tidak memberatkan orang Islam. Takkan anda seorang sahaja yang bertugas atau yang mengetahui urusan tersebut.

Walaupun di akhir waktu barulah anda boleh menunaikan Zuhur kerana ada urusan tidak dapat dielakkan maka hukumnya sah selagi dibuat dalam waktunya.

Andai masalah mesin itu anda ingin katakan ia masalah darurat maka saya mencadangkan anda berhubung dengan jabatan mufti di negeri anda. Kerana ada dalam keadaan tertentu dibolehkan jamak walaupun tidak bermusafir.

Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam 1989, fatwa tentang hukum sembahyang jamak kerana menjalani rawatan penyakit-penyakit kronik di hospital kerajaan dan swasta menyatakan:

“Pada menjalankan kuasa yang diberikan oleh subseksyen 31(1) dan seksyen 32 Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam 1989, Mufti bagi Negeri Selangor, selepas berbincang dengan Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak, membuat fatwa seperti yang dinyatakan dalam Jadual. (En. 2/1989)

Jadual

(1) Harus menjamakkan sembahyang kerana menjalani rawatan penyakit kronik yang memakan masa lama.

(2) Pekerja-pekerja yang tidak dapat meninggalkan tugasnya kerana sebab-sebab tidak dapat dielakkan seperti doktor bertugas di wad ICU dan seumpamanya dan terpaksa bertugas tanpa had masa.

Keharusan menjamakkan sembahyang dikhususkan pada masa berlaku darurat sahaja, tidak terpakai pada masa sihat atau hari yang tiada rawatan atau ketika tidak bertugas.

Saya tidak berani mengatakan sesuatu tentang status kerja anda itu kerana tidak melihat atau mengetahui secara jelas maka ada baiknya tahap pekerjaan anda itu dirujuk kepada jabatan mufti untuk meminta nasihat. Apa pun jika anda masih solat dalam waktunya maka ia tiada masalah.

Mintalah kepada rakan untuk membantu anda kerana solat Zuhur tidaklah lama. Tahap darurat yang membolehkan jamak tidaklah boleh diletakkan kepada semua perkara.

Mungkin seperti doktor yang bertugas menyelamatkan nyawa orang semasa pembedahan maka boleh dikira darurat. Saya tidak pasti downtime mesin anda itu dikira darurat.

Sebab itu saya minta anda rujuk ke jabatan mufti untuk pengesahan dengan disertakan secara jelas masalah kerja anda.

 

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s