Dr Mohd Khafidz Soroni

DALAM perbahasan hadis yang saling bercanggah, kaedah merungkaikannya adakala terletak pada faktor tarikh iaitu mengenal pasti mana hadis yang terdahulu dan mana kemudian. Hadis yang didapati tarikhnya lebih awal akan dimansuhkan dengan hadis yang tarikhnya terkemudian.

Maka, hadis yang awal disebut sebagai mansukh dan hadis yang terkemudian disebut sebagai nasikh. Mansukh ialah hadis dibatalkan hukumnya dengan hadis yang datang selepasnya. Nasikh pula ialah hadis membatalkan hukum yang datang sebelumnya. Perbandingan tarikh ini disebut sebagai kaedah naskh (pemansuhan).

Aspek nasikh dan mansukh dapat diketahui melalui beberapa cara. Pertama, melalui kenyataan Rasulullah SAW sendiri, seperti contoh hadis: “Aku pernah melarang kamu daripada menziarahi kubur, namun sekarang ziarahilah ia kerana ia dapat mengingatkan kamu sekalian kepada mati.” Hadis riwayat Muslim

Kedua, melalui penjelasan sahabat RA, seperti contoh hadis yang diriwayatkan oleh Jabir RA: “Amalan terakhir daripada Rasulullah SAW ialah meninggalkan wuduk selepas memakan makanan yang dimasak dengan api.” Hadis riwayat Abu Dawud

Ketiga, melalui fakta sejarah seperti contoh hadis yang diriwayatkan oleh Syaddad bin Aus RA: “Dianggap berbuka puasa (batal puasa) orang yang membekam dan orang dibekam.” Hadis riwayat Abu Dawud.

Hadis ini dimansuhkan dengan hadis Ibnu ‘Abbas RA yang bersama dengan Nabi SAW ketika haji wada’ tahun ke-10 Hijrah yang hampir dengan masa kewafatan baginda. Katanya: “Nabi SAW berbekam, sedangkan baginda sedang berihram dan berpuasa.” Hadis riwayat Abu Dawud

Keempat, melalui kewujudan ijmak ulama. Meskipun ijmak tidak boleh menjadi nasikh atau mansukh, tetapi ia berperanan untuk mengukuhkan hadis yang ada kelemahan dan menjadi bukti wujudnya naskh.

Contohnya hadis Mu’awiyah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang minum arak maka sebatlah dia. Namun jika dia masih mengulanginya pada kali yang keempat maka bunuhlah dia.” Hadis riwayat at-Tirmizi

Bagaimanapun, diriwayatkan daripada Jabir RA bahawa dibawakan kepada Nabi SAW selepas itu seorang lelaki yang minum arak kali yang keempat, lalu baginda menyebatnya dan tidak membunuhnya. Kata at-Tirmizi: “Hukum yang diamalkan adalah menurut hadis ini di sisi semua ahli ilmu. Kami tidak tahu ada perselisihan pendapat di antara mereka mengenainya pada masa dahulu mahupun masa kini.”

Menurut Imam an-Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim: “Sekumpulan ulama berkata: Ijmak ulama menunjukkan pemansuhan hukumnya.”

Boleh jadi berlaku perselisihan pendapat ulama dalam menentukan kewujudan nasikh dan mansukh mengenai sesuatu hukum.

Misalnya, hadis: “Apabila kamu melihat jenazah maka hendaklah kamu bangun berdiri untuknya sehingga ia melepasi kamu atau ia diletakkan.” Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Menurut mazhab Hanafi, mazhab Hanbali, Imam Malik, Imam as-Syafii dan lain-lain, hadis ini dimansuhkan dengan hadis ‘Ali RA katanya: “Rasulullah SAW pernah berdiri, namun kemudian baginda duduk.” Hadis riwayat Muslim

Menurut Imam an-Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim: “al-Mutawalli daripada kalangan ulama mazhab kami memilih hukum bangun berdiri itu adalah mustahab (sunat) dan inilah pendapat yang dipilih. Maka perintah itu adalah bagi menunjukkan hukum sunat manakala duduk pula bagi menerangkan hukum harus. Dakwaan naskh tidak sah dalam hal seumpama ini kerana naskh hanya digunakan apabila sukar untuk membuat penyelarasan, sedangkan ini tidak sukar.”

Antara tokoh yang mahir dan terkenal menguasai ilmu nasikh dan mansukh ini ialah Imam as-Syafie (wafat 204H). Mengetahuinya adalah syarat bagi seorang mujtahid agar dia tidak mengeluarkan fatwa berdasarkan dalil yang mansuh.

Kata Imam Ahmad bin Hanbal kepada Muhammad bin Muslim bin Warah yang tiba dari Mesir ke Baghdad: “Adakah kamu menyalin kitab-kitab as-Syafie?” Jawabnya: “Tidak.” Balas Imam Ahmad: “Rugilah kamu. Dahulu kami tidak tahu nas yang umum berbanding nas yang terperinci, begitu juga hadis Rasulullah SAW yang nasikh berbanding yang mansukh sehinggalah kami duduk bergurukan as-Syafie.”

Disebabkan pentingnya ilmu ini, ramai ulama yang membukukannya di dalam karya khusus seperti kitab al-Nasikh wa al-Mansukh oleh Imam Ahmad bin Hanbal (wafat 241 H), Nasikh al-Hadith wa Mansukhuhu oleh Ibn Syahin (wafat 385 H), al-I’tibar fi al-Nasikh wa al-Mansukh min al-Athar oleh Abu Bakar al-Hazimi (wafat 584 H) dan Nasikh al-Hadith wa Mansukhuhu oleh Ibn al-Jawzi (wafat 597 H).

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s