Hukum orang Islam menyertai perayaan Bon Odori

Mukadimah

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam kepada Nabi Muhammad SAW, utusan akhir zaman. Bayan Linnas kali ini akan mengulas isu yang timbul baru-baru ini berkaitan dengan program Festival Bon Odori yang dikatakan akan diadakan di Kompleks Sukan Negara Shah Alam pada 16 Julai 2022.[1] Isu ini telah mendapat liputan meluas sehingga mendapat perhatian pelbagai pihak yang berpandangan supaya umat Islam di negara ini tidak menyertai Festival Bon Odori kerana dikatakan mempunyai unsur-unsur keagamaan lain.[2] Selain itu ada pihak yang berpandangan bahawa perayaan ini hanyalah program kebudayaan dan harus bagi umat Islam untuk hadir dan bersama-sama merayakannya.

Pengenalan ringkas tentang Bon Odori

Obon atau Bon Odori adalah merupakan suatu perayaan orang Jepun yang beragama Buddha, sebagai simbolik merayakan kedatangan roh nenek moyang yang telah mati. Perayaan ini telah disambut di Jepun selama lebih daripada 500 tahun.[3] Menurut kepercayaan mereka, roh nenek moyang akan datang ke dunia bagi menziarahi saudara mara mereka pada setiap tahun sewaktu perayaan Obon berlangsung.[4] Perayaan ini biasanya berlangsung selama 4 hari, iaitu pada hari ke 13 hingga ke 16 pada setiap bulan Ogos, tetapi ia berbeza mengikut tempat-tempat tertentu di Jepun.[5] Perbezaan ini berlaku kerana wujudnya perbezaan kalendar dalam menentukan bulan yang ketujuh. Berdasarkan kalendar solar, bulan yang ketujuh ialah bulan Julai. Manakala berdasarkan kalendar lunar, bulan yang ketujuh adalah bulan Ogos.[6]

Masyarakat Shinto mempercayai perayaan ini dimaksudkan untuk menyambut para leluhur yang datang dan menghibur serta menenangkan roh-roh yang datang kembali ke rumah mereka. Semasa perayaan ini, ahli keluarga akan berkumpul di rumah untuk meraikan roh-roh nenek moyang yang dikatakan kembali ke dunia ini bagi menziarahi saudara mara. Mereka juga biasanya melawat dan membersihkan kubur sambil berdoa. Sebuah Shoryodana (altar)[7], dibina dengan diisi buah-buahan, kemenyan, dan bunga untuk menyambut nenek moyang. Api juga dinyalakan untuk memandu nenek moyang untuk pulang ke rumah dan pada hari terakhir perayaan, tanglung kertas (coachin paper lantern) digantung bagi membantu nenek moyang pulang ke kubur masing-masing. Ada juga yang menggunakan tanglung terapung (floating lanterns) dan dilepaskan ke laut untuk membantu nenek moyang kembali ke alam mereka.[8]

Selari dengan peredaran masa, perayaan Bon Odori disambut hanya sebagai tradisi dan kebudayaan Buddha-Confucius dengan aktiviti perkumpulan keluarga pada musim cuti, namun di sesetengah daerah pedalaman sambutan ini masih dianggap sebagai sebahagian daripada ritual keagamaan.[9]

Hukum orang Islam menyertai perayaan Bon Odori

Pada asasnya umat Islam adalah ditegah untuk menyertai apa-apa perayaan agama lain. Para ulama telah bersepakat bahawa hukum menyertai perayaan agama lain, sama ada dengan ucapan atau tindakan pada pakaian, makanan atau minuman yang dikhususkan pada hari perayaan tersebut adalah haram jika bertujuan untuk mengagungkan hari perayaan mereka, bahkan majoriti ulama berpendapat bahawa seorang muslim yang mengagungkan syiar-syiar agama lain boleh jatuh ke lembah kekufuran. Manakala individu muslim yang tidak berniat untuk mengagungkannya adalah berdosa, namun tidak sampai ke tahap kufur.[10] 

Dalam surah al-Furqan, Allah SWT memuji golongan yang tidak menghadiri hari perayaan orang-orang musyrik. Firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ لَا يَشْهَدُونَ الزُّورَ وَإِذَا مَرُّوا بِاللَّغْوِ مَرُّوا كِرَامًا

Maksudnya: “Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang tidak menghadiri tempat-tempat melakukan perkara-perkara yang dilarang, dan apabila mereka bertembung dengan sesuatu yang sia-sia, mereka melaluinya dengan cara membersihkan diri daripadanya”. (Al-Furqan: 72)

Sebahagian ulama salaf seperti Abu al-‘Aliah, Tawus, Muhammad bin Sirin, al-Dahhak, al-Rabi’ bin Anas dan lain-lain menafsirkan kalimah al-zur dalam ayat di atas sebagai hari-hari perayaan orang musyrik.[11] Oleh yang demikian, dapat difahami daripada ayat ini bahawa Allah SWT memuji individu-individu yang tidak menghadiri perayaan orang-orang musyrik.

Dalam surah al-Maidah, Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا الْيَهُودَ وَالنَّصَارَىٰ أَوْلِيَاءَ ۘ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚ وَمَن يَتَوَلَّهُم مِّنكُمْ فَإِنَّهُ مِنْهُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat, kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya yang lain; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim. (Al-Maidah: 51)

Menurut para ulama, apa yang dimaksudkan teman rapat disini adalah menyerupai (tashabbuh) mereka dan membesarkan hari-hari perayaan mereka.[12]

Menurut seorang ulama mazhab Shafi’i, Hibatullah bin al-Hasan al-Lalaka’i:

وَلَا يَجُوزُ لِلْمُسْلِمِينَ أَن يَحْضُرُوا أَعْيَادَهُمْ لِأَنَّهُمْ عَلَى مُنْكَرٍ وَزُورٍ, وَإِذَا خَالَطَ أَهْلُ الْمَعْرُوفِ أَهْلَ المًنْكَرِ بِغَيْرِ الْإِنْكَارِ عَلَيْهِمْ كَانُوا كَالرَّاضِينَ بِهِ وَالْمُؤَثِّرِينَ لَهُ، فَنَخْشَى مِنْ نُزُولِ سَخَطِ اللهِ عَلَى جمَاَعَتِهِم فَيَعُمَّ الْجَمِيعَ، نَعُوذُ بِاللهِ مِن سَخَطِهِ

Maksudnya: “Umat Islam tidak dibenarkan untuk menghadiri perayaan-perayaan mereka (golongan bukan Islam) kerana mereka berada dalam kemungkaran dan kebatilan. Apabila golongan yang baik bercampur dengan golongan mungkar (dengan) tanpa mengingkari mereka, maka mereka seperti redha dan terpengaruh dengan ahli mungkar tersebut. Kami bimbang kemurkaan Allah turun ke atas ke atas kelompok mereka, lalu terkena pada semua. Kami memohon kepada Allah daripada kemurkaan-Nya”.[13]

Al-Imam al-Damiri pula menjelaskan tentang hukuman yang selayaknya menurut syarak bagi mana-mana individu Muslim yang menyertai perayaan bukan Islam, kata beliau:

يُعَزِّرُ مَن وَافَقَ الكُفَارَ فِي أَعْيَادِهِم

Maksudnya: Dihukum ta’zir bagi sesiapa yang mengikuti orang-orang kafir dalam perayaan-perayaan mereka.[14]

Selain itu, menurut Abu Hafs al-Kabir, ulama mazhab Hanafi,

لَوْ أَنَّ رَجُلًا عَبَدَ اللَّهَ تَعَالَى خَمْسِينَ سَنَةً ثُمَّ جَاءَ يَوْمُ النَّيْرُوزِ وَأَهْدَى إلَى بَعْضِ الْمُشْرِكِينَ بَيْضَةً يُرِيدُ تَعْظِيمَ ذَلِكَ الْيَوْمِ فَقَدْ كَفَرَ وَحَبَطَ عَمَلُهُ

Maksudnya: Jika seorang lelaki menyembah Allah selama 50 tahun lamanya, kemudian tibanya Hari Nairuz dan dia menghadiahkan sebiji telur kepada sebahagian golongan musyrikin dengan tujuan mengagungkan hari tersebut, maka telah jatuh kafir dan terhapus amalannya.[15]

Ibn al-Haj al-Maliki juga secara ringkasnya turut berpendapat bahawa orang Islam ditegah melakukan apa yang orang bukan Islam lakukan di hari perayaan mereka.[16] Selain itu, Abu al-Qasim berpandangan bahawa tidak harus bagi orang Islam menghadiri perayaan orang bukan Islam kerana ia merupakan suatu kemungkaran.[17]

Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) Kali Ke-68 yang bersidang pada 12 April 2005 telah membincangkan Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam telah memutuskan:

1) Beberapa ketetapan kriteria perayaan orang bukan Islam yang boleh dihadiri oleh orang Islam adalah sebagaimana berikut:

2) Majlis tersebut tidak disertakan dengan upacara-upacara yang bertentangan dengan akidah Islam.

3) Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang bertentangan dengan syarak.

Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang boleh “menyentuh sensitiviti masyarakat Islam”.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pula dalam penjelasan berhubung hukum umat Islam menyambut Tahun Baru Cina sebelum ini turut menggariskan beberapa kriteria sepertimana yang telah diputuskan oleh Muzakarah MKI, dengan tambahan seperti berikut:

1. Majlis tersebut tidak disertakan dengan “perbuatan yang bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya masyarakat Islam” di negara ini. Maksud “bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya masyarakat Islam” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan bertentangan dengan nilai dan norma kehidupan masyarakat Islam Negara ini yang berpegang kepada ajaran Islam berdasarkan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

2. Pihak penganjur dan orang ramai diminta mendapatkan pandangan pihak berkuasa agama sebelum menganjur atau menghadiri majlis perayaan orang yang bukan beragama Islam.[19]

Berasaskan huraian ini, umat Islam dinasihatkan agar tidak melibatkan diri dalam apa-apa perayaan golongan bukan Islam apatah lagi mengikuti ritual-ritual mereka yang bercanggah dengan prinsip Islam serta mengagungkan syiar agama mereka agar tidak membawa fitnah kepada agama Islam.

Mengenai perayaan Bon Odori, walaupun dikatakan ia telah berevolusi sebagai hanya semata-mata perayaan yang bersifat kebudayaan dengan aktiviti sosial kekeluargaan, namun umat Islam wajib mematuhi hukum-hakam syarak dalam menghadiri sesuatu majlis atau tempat perayaan. Sekiranya dalam majlis berkenaan ada unsur-unsur yang bertentangan dengan syarak seperti pergaulan bebas, mendedahkan aurat, meminum arak dan sebagainya, maka wajib bagi umat Islam menghindarkan diri dari terlibat dalam aktiviti berkenaan.

Walau bagaimanapun adalah dicadangkan satu kajian lebih lanjut dilaksanakan untuk memastikan kedudukan sebenar perayaan ini dalam realiti pelaksanaannya pada hari ini sama ada ia masih mempunyai hubungan dengan kepercayaan yang bersifat keagamaan atau semata-mata kebudayaan yag telah terputus dari kepercayaannya yang asal. Ini bagi memastikan sikap dan pendirian orang Islam terhadap Bon Odori adalah benar-benar menepati hukum syarak.

Berkaitan dengan isu ini, jika sekiranya ia semata-mata budaya, boleh merujuk kepada penjelasan kami terhadap isu-isu Orang Islam Menggantung Tanglung yang boleh dirujuk di link berikut:

https://muftiwp.gov.my/en/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/5111-al-kafi-1854-hukum-orang-islam-menggantung-tanglung-tahun-baru-cina

[1] Bon Odori, The Japan Club of Kuala Lumpur, https://www.jckl.org.my/en/events/bon_odori, diakses pada 7 Jun 2022.

[2]Jangan hadir Festival Bon Odori, Berita Harian Online, https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/06/849418/umat-islam-dinasihatkan-tidak-sertai-festival-bon-odori, diakses pada 7 Jun 2022.

[3] Bon-Odori (Bon Festival Dance), in hamamatsu.com, https://www.inhamamatsu.com/culture/bon-odori.php, diakses pada 7 Jun 2022.

[4] Japan-guide.com, Obon, https://www.japan-guide.com/e/e2286.html, diakses pada 8 Jun 2022.

[5] Bon-Odori (Bon Festival Dance), in hamamatsu.com, https://www.inhamamatsu.com/culture/bon-odori.php, diakses pada 7 Jun 2022.

[6] Japan RailPasss, guide to the Obon Festival 2021 in Japan, https://www.jrailpass.com/blog/obon-festival-in-japan, diakses pada 7 Jun 2022.

[7] Sejenis tempat sembahan untuk upacara pemujaan dan perjamuan suci.

[8] Bon Festival, New World Encyclopedia, https://www.newworldencyclopedia.org/entry/Bon_Festival, diakses pada 8 Jun 2022.

[9] Geradia Teresya, Bon Odori, (Universitas Sumatera Utara, Medan: 2016), 4.

[10] Ali Wanis, alIhtifal bi A’yad al-Kuffar, hlm, 4

[11] Ibnu Kathir, Ismail bin Umar, Tafsir al-Quran al-‘Azim, (Dar Taiyyibah li al-Nasr wa al-Tauzi’, 1999), 6:130

[12] Al-Zahabi, Tashbih al-Khasis bi Ahl al-Khamis fi Raddi al-Tashabbuh bi al-Mushrikin, (Jordan, Dar Amman, 1988), 34

[13] Ibn al-Qayyim, Muhammad bin Abi Bakr, Ahkam Ahl al-Zimmah, (al-Damam: Ramadi li al-Nashr, 1997), 3:1245

[14] Al-Damiri, Muhammad bin Musa bin  Isa, al-Najm al-Wahhaj fi Syarh al-Minhaj (Dar Minhaj: 2004), 9:244.

[15] Zainuddin bin Ibrahim bin Muhammad, Al-Bahr al-Ra’iq Syarh Kanz al-Daqa’iq (Dar al-Kitab al-Islami: tt), 8/555.

[16] Abu Abdullah Muhammad bin Muhammad al-Abdari, al-Madkhal (Kaherah: Maktabah Dar al-Turath, tt), 2/46-48.

[17] Ibn Qayyim Al-Jauziyyah, Ahkam Ahl al-Zimmah (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiah), 1/162.

[18] Mohd Rus, Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam Menurut Perspektif Islam, hlm, 90-92

[19] Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Bayan Linnas Siri ke 48, Islam dan Tahun Baru Cina, https://muftiwp.gov.my/en/perkhidmatan/artikel-soal-jawab/1829-bayan-linnas-siri-48-hukum-menyambut-tahun-baru-cina, diakses pada 10 Jun 2022

Tulisan di atas diambil daripada laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan ruangan Bayan Linnas yang disiarkan pada 10 Jun 2022.

Penghinaan terhadap nabi Muhammad s.a.w : Adakah satu kebetulan

Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor .

Minggu lepas dalam euforia kegembiraan menyambut lebaran sehingga melangkaui bulan Syawal telah dihangatkan dengan isu penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW oleh Nupur Sharma dan Naveen Jindal di negara India yang diperintah oleh BJP ( Parti Ekstremis Hindu yang mendokong ideologi Hindusva). Kedua tokoh politik BJP ini telah membuat komen yang jelek terhadap kemuliaan Rasulullah dan Aisyah RA didalam rancangan televisyen dan juga tweeter.

BJP yang menjadi parti yang berkuasa di India pada mulanya memandang enteng bantahan umat Islam domestik, namun akhirnya mulai panik apabila negara umat Islam mula melakukan pemboikotan ekonomi terhadap negara mereka. Pasaraya di negara Kuwait contohnya telah mula mengeluarkan semua stok barang- barang yang diimport daripada India. Bahkan penghinaan ini menyebabkan kerajaan Emiriah Islam Afghanistan,Saudi, Bahrain memulakan tekanan diplomatik terhadap India. Demonstrasi anti India juga digalang dibeberapa buah negara termasuk di Pakistan, musuh tradisi India semenjak tahun1947 dahulu lagi. Kerajaan India dibawah pimpinan Modi menghidu akan kecelakaan sosio ekonomi jika membiarkan isu ini berlarutan ,maka dua pemimpin mereka yang menghina Nabi Muhammad ‘ terpaksa’ diamankan.

Penghinaan terhadap ar Rasul SAW seolah acara dwi tahunan, jika kita ingat kembali dua tahun lepas apa yang berlaku di Peranchis. Kejadian 16 Oktober 2020 di negara bekas penjajah Algeria, Tunisia, Syria, Mauritania, Chad itu menimbulkan respon luar jangka seorang pemuda Islam berketurunan Chechnya. Samuel Paty yang berkelakuan jelek dengan menayangkan beberapa karikatur menghina nabi Muhammad kepada anak-anak didiknya ,kononnya seputar perbincangan tentang hak asasi kebebasan bersuara. Guru ini dipenggal kepala dan memancing perhatian masyarakat antarabangsa, ditengah menggelegak isu ini hati umat Islam ditoreh lagi dengan tindakan biadap Presiden Peranchis ,Emmanuel Macron yang memberikan anugerah Khas ” Legion d’Honneur kepada sang penghina ar Rasul, Samuel Paty.

Mengkultuskan ketololan dan kejelekan pasti mengundang perbalahan panjang,apatah lagi oleh sebuah kerajaan yang memerintah pelbagai etnik dan agama dan reputasi ini tidak pernah gagal disandang oleh Peranchis. Anugerah khas itu diadakan di kampus perdana negara penjajah itu, kampus Sourbonne yang elegan dan lumayan dengan sejarah kajian para orientalis dunia. Tindakan ketua kerajaan Peranchis itu pasti menyuburkan Islamphobia ,merangsang secara berterusan penghinaan terhadap nabi SAW ,memicu pergeseran antara agama dan pasti ada harga mahal yang terpaksa dibayar oleh Peranchis.

Isu penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW oleh Samuel Paty dan seterusnya disokong secara rasmi oleh Emmanuel Macron ini juga
telah mengingatkan kita bagaimana maruah ar Rasul yang mulia sentiasa menjadi perlecehan musuh Islam. Di zaman Rasulullah, An Nadhar bin al Harith, Uqbah bin Abu Muit antara sosok tegar yang sentiasa menghina nabi di Mekah, manakala Kaab bin Ashraf seorang bangsawan Yahudi adalah penghina Rasulullah SAW di Madinah. Ketiganya mati bergeletakan ditangan para sahabat Nabi SAW.

Penghinaan terhadap Nabi SAW tidak pernah berhenti sebagaimana yang dirakam dalam sejarah, apatah lagi umat Islam yang kehilangan Khilafah dengan tumbangnya Khilafah Islam yang terakhir di Turki pada tahun 1924. Tumbangnya Khalifah bermakna umat Islam tidak mempunyai tempat pergantungan dan penjaga kepada maslahat umat Islam. Pada tahun 1989 Salman Rushdie telah menghina Nabi SAW melalui karya bejatnya The Satanic Verses. Protes demi protes umat Islam tidak menggerunkan kuasa kuffar untuk terus menghina Islam dan nabi SAW kerana tanpa kekuasaan pemerintahan Islam, mereka tahu tempikan itu hanya akan dibawa angin lalu. Salman,bahkan mendapat gelaran “sir” daripada istana England kerana sikap konsisten beliau menyerang Islam.

Kenyataan ini mempunyai kewajarannya kerana selepas tahun 1990, penghinaan terhadap Nabi SAW berlaku berterusan malah semakin gencar lagi, contohnya selepas itu muncul pula Taslima Nasreen yang merupakan warganegara Bangladesh, sebuah negara miskin di Sub-Continent. Karya wanita jalang ini diulang cetak di Negara Barat yang membolehkan beliau hidup disalut kekayaan dan diberi perlindungan di negara Barat.

Di negara Timur Tengah pula muncul seorang penulis keturunan Syiria iaitu Haidar binti Haidar yang bermastautin di Negara Mesir. Beliau telah mengarang sebuah novel fiksyen dan memasukkan watak Nabi SAW, Sayidatina Khadijah, Sayidatina Aishah dalam novel itu dan menghinanya. Puluhan ribu mahasiswa Islam dan mahasiswi berdemontrasi di Mesir, menuntut kerajaan Mesir supaya mengharamkan novel itu dan menarik balik novel itu dari pasaran. Bantahan aman mempertahankan Nabi SAW telah disuraikan dengan gas pemedih mata dan ditembak dengan peluru getah di mana telah mengorbankan seorang mahasiswi Islam. Serikandi itu telah gugur syahid demi mempertahankan maruah Nabi SAW.

Di zaman moden ini juga telah merakamkan penghinaan terhadap Nabi SAW di Nigeria dalam bulan Ramadhan hampir 10 tahun lepas. Nigeria merupakan sebuah negara yang pernah tertegak pemerintahan Islam yang dikenali sebaga Khalifah Sokoto di mana seorang ulama besar Afrika iaity Sheikh Othman Den Fodio telah menaungi pemerintahan Islam tersebut. Kerajaan Islam ini akhirnya tumpas dengan kedatangan penjajah British. Nigeria hari ini melaksanakan konsep pentadbiran federalisme dan dengan kesungguhan pejuang-pejuang Islam dua buah negeri di utara Nigeria telah diizinkan oleh kerajaan Pusat untuk melaksanakan undang-undang Syariah Islam, dunia terkesima dan peluang terbuka kepada media untuk memburukkan pelaksanaan Syariah Islam apabila Mahkamah Tinggi Syariah telah menjatuhkan hukuman rejam sampai mati kepada seorang wanita yang telah berkahwin namun melakukan perzinaan.

Jawatankuasa penganjuran ratu cantik dunia telah memilih Nigeria untuk menganjurkan pertandingan ratu cantik (dipercayai untuk menghina pelaksanaan syariah Islam di Nigeria Utara) bahkan pertandingan itu dijadualkan dibuat dalam bulan Ramadhan yang mulia. Pertubuhan Islam telah mengambil tindakan berhemah dengan menghantar nota bantahan, memorandum dan pelbagai tindakan sederhana lain supaya penganjur tidak mengadakan pertandingan tersebut.

Kebiadapan terhadap Nabi SAW bermula apabila seorang editor akhbar berbahasa Inggeris Nigeria iaitu Nigeria This Day telah menulis dalam kolumnya, “Jika sekiranya Nabi Muhammad masih hidup, Nabi Muhammad pun membenarkan pertandingan ratu cantik diadakan dan Nabi Muhammad akan memilih salah seorang peserta pertandingan ratu cantik sebagai isteri Nabi Muhammad”. Kebiadaban sang penghinaan ini tidak dibiarkan percuma oleh pencinta-pencinta Islam, ratusan ribu penunjuk perasaan telah keluar ke jalan raya bagi menyatakan sikap dan bantahan di mana kemuncaknya pejabat utama akhbar Nigeria This Day telah dibakar oleh penunjuk perasaan.

Peristiwa ini masih kuat terpahat dalam ingatan pengamal media di Nigeria. Sehingga tulisan ini ditulis sebuah akhbar pun tidak berani mengulang siar karikatur yang menghina Rasulullah SAW walaupun sebanyak 146 penerbitan di seluruh dunia telah menerbitkan kembali karikatur yang menghina Nabi SAW. Nigeria memahami nilai harga menghina nabi Muhammad!.

Baginda ar Rasul terus SAW diperleceh maruah, dikritik dan dihina lagi oleh tokoh-tokoh pendusta dan pengkhianat barat dengan gaya baru, sesuai dengan arus kemodenan. Kemarahan pencinta-pencinta Rasulullah SAW tercetus lagi, setelah akhbar Denmark Jyllands Posten memaparkan siri-siri kartun yang menggambarkan karikatur Nabi Muhammad SAW sebagai seorang pengganas dan tidak bermoral. Islamphobia juga merangkumi pakej kebencian kepada ar Rasul , membenci tanpa alasan benar dan menebar falasi terhadap kehidupan baginda yang mulia.

Umat Islam wajib bermuhasabah hari ini, sejauh manakah tahap kecintaan mereka terhadap ar rasul SAW. Tidak cukup kita berselawat sebagai manifestasi kecintaan kepada baginda SAW jikalau kita memekakkan telinga dan membutakan mata terhadap isu penghinaan terhadap Rasulullah . Selain daripada kewajiban membantah kebiadapan kerajaan BJP di India dalam pelbagai isu melibatkan Islam maka kita juga perlu menghidupkan kempen menyintai ar rasul SAW yang berterusan , memberdaya kefahaman awam tentang latar sirah ar Rasul manakala bukan Islam harus diingatkan menghina Nabi Muhammad bukanlah kebebasan bersuara dan manifestasi hak asasi manusia. Menghina ar Rasul SAW bermakna mengundang ketidakamanan dunia dan negara India sedang meniti kesilapan fatal!. Usaha meminta maaf kepada seluruh umat Islam mesti dilakukan dan memastikan tiada lagi penistaan terhadap maruah ar Rasul SAW.

Jauhi amalan khurafat

Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Islam tidak melarang umatnya mengambil wuduk dan mandi di mana-mana sumber air seperti telaga, parit dan kolam selagi tidak melakukan amalan khurafat di tempat berkenaan.

Mufti Kedah Datuk Syeikh Fadzil Awang berkata, hukum mandi di tempat berkenaan adalah harus asalkan tujuan mandi adalah untuk bersejuk-sejuk, mengambil wuduk, solat dan sebagainya.

“Perkara yang dilarang sekiranya ketika mandi atau mengambil wuduk terdapat kelakuan luar biasa yang tidak bersesuaian (iaitu) orang ramai tidak pernah lakukan perkara seperti itu atau ritual tertentu yang dilihat agak pelik dan ganjil yang terdedah kepada kemungkinan dilihat sebagai amalan khurafat.

“Apatah lagi disertakan dengan niat tertentu ketika mandi atau mengambil wuduk seperti dapat menolak bala atau tertunai segala hajat seperti menyembuhkan penyakit, keberkatan dan sebagainya, maka Islam melarang kerana menjerumus seseorang itu kepada dosa dan maksiat serta memcemarkan kesucian agama Islam,” katanya menerusi video Facebook rasmi Jabatan Mufti Kedah, semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan beberapa individu yang didakwa melakukan amalan khurafat di Gunung Jerai, Yan, yang tular di media sosial sehingga mengundang kritikan ramai.

Mengulas lanjut, Fadzil berkata pihaknya menasihatkan agar pengunjung supaya menjauhi perbuatan atau pelakuan yang tidak bersesuaian yang boleh mencemarkan kesucian agama Islam ketika mengunjungi tempat-tempat berkenaan.

Katanya, bagi mencari keberkatan ulamak telah memberi banyak panduan berpandukan al-Quran dan hadis Nabi Muhammad SAW.

“Bagi meluaskan rezeki, mencari keberkatan dan ditunaikan hajat kita, Islam mengajar kita agar menjaga solat lima waktu, selalu beristigfar, berbuat baik kepada ibu bapa, jaga silaturahim, berkasih sayang sesama kita dan banyakkan bersedekah .

“Selain itu antara amalan lain ialah apabila pulang dari satu-satu tempat hendaklah masuk ke dalam rumah dengan memberi salam kepada ahli keluarga dan jangan lakukan maksiat kepada Allah SWT,” jelas beliau.

Fadzil turut mengajak umat Islam menjauhkan amalan khurafat, amalan yang mencemarkan kesucian agama Islam dan menjaga akidah.

“Semoga Allah pelihara iman kita, akidah dan agama kita,” katanya.

Selasa lalu, Fadzil turut memberitahu bahawa beliau bersama pegawai Jabatan Mufti Negeri Kedah melakukan tinjauan ke Gunung Jerai bagi melihat sendiri keadaan di lokasi seperti Telaga Tok Syeikh dan Padang Tok Syeikh.

“Sepanjang kami berada di telaga tiada kelihatan seorang pun yang mandi atau mengamabil wuduk di situ dan pengunjung agak ramai pada hari itu kerana cuti sekolah,” katanya.

Beliau berkata, orang tempatan mengatakan bahawa tidak kelihatan lagi aktiviti pemujaan sejak bencana kepala air yang berlaku sebelum ini.

Ulama Salaf, kontemporari tolak Tajsim

Dr Zamihan Mat Zin al-Ghari

Ulama Salaf (ulama terdahulu) sentiasa menafikan unsur kejisiman dan kelaziman jisim terhadap zat Allah SWT. Antara ulama salaf agung yang menolak doktrin Tajsim melalui karya mereka adalah Imam Abu Hanifah dalam kitabnya Al-Fiqh al-Akbar, Imam at-Thahawi dalam Akidah Tohawiyyah, Imam Malik dalam al-Muwattha’, Imam al-Syafie dalam al-Wasiyyah dan ramai lagi tokoh yang seangkatan dengan mereka.

Manakala Imam Abu al-Hasan al-Asy’ari mengarang kitab Al-Luma’ dan al-Ibanah untuk menolak fahaman ahli bid’ah termasuklah puak Mujassimah. Yakni golongan yang mengkhayalkan tentang zat Allah SWT. Imam Ibn al-Jauzi juga bangkit menentang doktrin akidah yang menisbahkan fahaman Tajsim kepada Imam Ahmad dalam kitab beliau yang berjudul Daf’u Syubah At-Tasybih.

Imam Ibrahim al-Laqqani di dalam Jauharat al-Tauhid, Imam Abu Bakr al-Razi dalam Syarh Bad’ie Al-Amali, Imam al-Sanusi dalam Umm al-Barahin, Imam al-Nasafi dalamAqa’id al-Nasafiyyah dan ramai lagi yang menentang pemikiran Tajsim.

Tidak ketinggalan juga, Imam Ibn Fauraq yang mengarang kitab bagi menentang fahaman Sifatiah Ibn Khuzaimah dan mazhab Syiah Al-Karamiyyah. Begitu juga dengan Imam at-Thabari yang menolak teori Tajsim Ibn Khuzaimah. Imam al-Haramain turut menentang golongan Mujassimah dalam banyak kitab-kitab beliau. Selepas itu, muncul Imam Al-‘Izz bin Abdil Salam, Imam Ibn ‘Asakir, Imam Jamal Ad-Din Al-Hushairi dan Imam al-Ghazali juga turut menentang golongan Tajsim di zaman mereka. Manakala Imam Fakhruddin al-Razi tampil membanteras fahaman Tajsim melalui kitabnya Asas at-Taqdis.

Bagaimanapun Syeikh Ibn Taimiyyah al-Harrani mengarang kitab at-Ta’sis bagi menolak kitab Asas at-Taqdis karangan Imam al-Razi secara keras. Pendekatan Syeikh Ibn Taimiyyah dalam memahami nusus mustasyabihat dilihat membuka semula kaedah-kaedah yang boleh membawa kepada fahaman Tajsim. Bahkan kaedahnya banyak mengundang perdebatan terbuka dalam isu-isu asas akidah.

Teori beliau diteruskan pula oleh muridnya, Ibn Qayyimal-Jauziyyah yang mengarang Qasidah Nuniyyah dan kitab Ijtima’ al-Juyusyh al-Islamiyyah. Kedua-dua kitabnya ini bukan sekadar mendukung teori Ibn Taimiyyah dan golongan Hanabilah Mujassimah, tetapi mereka turut memperjuangkan doktrin ketuhanan Syeikh Ibn Taimiyyah.

Bahkan Ibn Qayyim al-Jauziyyah membuat penentangan yang keras terhadap doktrin al-Sawad al-A’zham yang dipelopori ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah al-Asya’irah. Malahan dalam sesetengah keadaan, beliau dan pengikutnya menjenamakan fahaman yang dirintis golongan ulama al-Asya’irah (dalam bab mentakwil sebahagian nusus) sebagai golongan al-Jahmiyyah. Yakni salah satu cabang golongan sesat. Nau’zubillah min dzalik.

Selepas itu, muncul pula Imam Taqiyuddin As-Subki yang menentang fahaman Tajsim Ibn Qayyim Al-Jauziyah. Imam Taqiyuddin Al-Husni As-Syafi’e juga mengarang kitab Daf’ Syubah Man Syabbah Wa Tamarrad bagi menjelaskan kepincangan unsur mujassimah karangan Ibn Qayyim dan Ibn Taimiyyah al-Harrani.

Demikian juga Imam Fakhruddin As-Syafi’e menentang teori sifat Ibn Taimiyyah dalam kitab beliau Najmu Al-Muhtadi. Kemudian muncul pula pada kurun ke-20, Imam Muhammad Zahid Al-Kauthari yang berperanan besar dalam membanteras fahaman Tajsim moden secara terang-terangan. Begitu juga dengan Syeikh Yusuf An-Nabhani dan Syeikh Yusuf Ad-Dijwi Al-Azhari. Tidak ketinggalan juga Syeikh Salamah Al-Khudho’ie Al-Azzami yang mengarang kitab Al-Barahin As-Sathi’ah fi Radd Ba’dhi Al-Bida’ As-Sya’iah bagi menolak fahaman Tajsim secara ilmiah.

Antara ulama kontemporari yang begitu kuat menentang fahaman Tajsim adalah al-Syahid Syeikh Dr Muhammad Sa’id Ramadhan Al-Buti, (menerusi kitab as-Salafiyyah), Syeikh Abdullah bin al-Siddiq al-Ghumari, Syeikh Ali Jum’ah (mantan Mufti Mesir), Syeikh Ahmad Khalili (Mufti Oman), Syeikh Nizham Ya’qubi (Syria), Syeikh al-Sayyid Yusuf Hasyim al-Rifa’ie (Kuwait), Syeikh Hassan al-Saqqaf (Jordan), Syeikh Mahmud Said al-Mamduh (Mesir) Syeikh Sa’id Fuodah (menerusi kitab Al-Kasyif As-Shoghir, Naqd Ar-Risalah At-Tadammuriyyah), Syeikh Dr Umar Abdullah al-Kamil (Naqd Qowa’id At-Tasybih), Syeikh Habib Umar bin Hafidz (Yaman), Syeikh Wahbi Sulaiman al-Ghawiji, Syeikh Dr Adil Azizah al-Kayyali, Syeikh Abdullah Harari, Syeikh Jamil Halim al-Husaini, Syeikh Jamal Sokhor al-Lubnani, Syeikh Khalil Dar’iyyan al-Azhari dan ramai lagi.

Semoga Allah SWT membantu kita memahami akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan cemerlang dan memberi kekuatan untuk bangkit membanteras penyelewengan fahaman sesat dari persada pemikiran Islam kontemporari. Aamiin.

Penyelewengan akidah sebesar-besar kemungkaran

Dr Zamihan Mat Zin al-Ghari

KESESATAN sesuatu golongan perlu diperjelaskan oleh mereka yang mempunyai ilmu mengenainya. Jika fahaman sesat itu tidak dibendung ia pasti mengundang fitnah yang lebih besar terhadap Islam dan umatnya.

Adapun sikap menyembunyikan ilmu dan mendiamkan diri daripada membanteras golongan sesat yang semakin berleluasa adalah sikap tercela. Buktinya Allah SWT berfirman bermaksud: “Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia dan beriman kepada Allah, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar.” Surah ali-Imran: 110

Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang melihat kemungkaran maka cegahlah ia dengan tangannya (kekuasaan). Jika tidak mampu maka hendaklah dia mencegah dengan lisannya. Jika tidak mampu maka cegahlah dengan hatinya. Itu selemah-lemah iman.” Hadis Riwayat Imam Muslim

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang yang menyembunyikan ilmunya seumpama orang yang menyembunyikan apa diturunkan oleh Allah SWT ke atas Muhammad.” Hadis Riwayat Ibn Majah dan At-Thabrani dengan sanad yang daif, tetapi maknanya sahih

Berdasarkan dalil di atas, jelas kepada kita bahawa mereka yang tidak menegakkan kebenaran dan mendiamkan diri daripada membanteras suatu kesesatan dikira tidak menegakkan yang makruf serta tidak juga mencegah kemungkaran. Golongan ini dicela oleh syarak. Ini kerana penyelewengan dalam masalah akidah adalah sebesar-besar kemungkaran yang ada.

Justeru, fahaman Tajsim atas nama apa pun (seperti Tauhid Rububiyyah, Tauhid Uluhiyyah, Tauhid al-Asma’ wa as-Sifat dan lain-lain) sama ada dipromosi golongan mana sekalipun perlu dibanteras kerana kesesatannya amat jelas menurut al-Quran, as-Sunnah dan ijmak ulama Ahlus Sunnah Wal Jamaah sejak zaman Salaf al-Soleh hingga kini.

Pokoknya, al-Quran dan al-Sunnah adalah neraca kebenaran tertinggi terutama dalam masalah yang melibatkan akidah. Kita perlu menjelaskan setiap inci penyelewengan fahaman Tajsim dan aliran pemikiran yang berasaskan kepada doktrin itu secara terbuka. Usaha ini perlu dilakukan bagi mempertahankan kemurniaan akidah Ahli Sunah Waljamaah.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya umat aku (umat Islam) tidak akan berhimpun atas kesesatan. Jika kamu melihat perselisihan (dalam kalangan mereka) maka hendaklah kamu mengikuti as-Sawadul A’zhom (majoriti umat Islam). Sesungguhnya sesiapa yang terasing maka dia akan terasing dalam neraka.” Hadis Riwayat Ibn Majah

Daripada Ibn Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda lagi: “Sesungguhnya Allah SWT tidak akan menghimpunkan umat ini (umat Islam) dalam kesesatan selama-lamanya. Yadd (bantuan) Allah itu bersama-sama jamaah. Maka hendaklah kamu mengikuti as-Sawadul A’zhom (majoriti ulama dan umat Islam).” Hadis Riwayat al-Hakim daripada ad-Dhiya’ al-Maqdisi

Kami akan memaparkan bukti jelas tentang asas akidah as-Sawad al-A’zhom (majoriti ulama dan umat Islam) dalam menolak fahaman Tajsim dan kelaziman fahaman tersebut semenjak zaman Salafus-soleh (zaman awal Islam) sehingga kini. Kronologi ini membuktikan kepada kita as-Sawad al-A’zhom juga dipelopori golongan al-Asyairah dan al-Maturidiyyah. Justeru, mana-mana pihak yang menentang prinsip akidah Ahli Sunah Waljamaah yang diperjuangkan golongan ini boleh dianggap golongan menyeleweng dalam memahami akidah.

Ulama Salaf (ulama terdahulu) sentiasa menafikan unsur kejisiman dan kelaziman jisim terhadap zat Allah SWT. Antara ulama salaf agung menolak doktrin Tajsim melalui karya mereka adalah Imam Abu Hanifah dalam kitabnya Al-Fiqh al-Akbar, Imam at-Thahawi dalam Akidah Tohawiyyah, Imam Malik dalam al-Muwattha’, Imam al-Syafii dalam al-Wasiyyah dan ramai lagi tokoh seangkatan dengan mereka.

Imam Abu al-Hasan al-Asy’ari mengarang kitab Al-Luma’ dan al-Ibanah untuk menolak fahaman ahli bidaah termasuk puak Mujassimah, yakni golongan mengkhayalkan zat Allah SWT.

Imam Ibn al-Jauzi juga menentang doktrin akidah yang menisbahkan fahaman Tajsim kepada Imam Ahmad dalam kitab beliau yang berjudul Daf’u Syubah At-Tasybih. Imam Ibrahim al-Laqqani di dalam Jauharat al-Tauhid, Imam Abu Bakr al-Razi dalam Syarh Bad’ie Al-Amali, Imam al-Sanusi dalam Umm al-Barahin, Imam al-Nasafi dalam Aqaid al-Nasafiyyah dan ramai lagi menentang pemikiran Tajsim.

Tidak ketinggalan juga, Imam Ibn Fauraq yang mengarang kitab bagi menentang fahaman Sifatiah Ibn Khuzaimah dan mazhab Syiah al-Karamiyyah. Begitu juga dengan Imam at-Thabari yang menolak teori Tajsim Ibn Khuzaimah. Imam al-Haramain turut menentang golongan Mujassimah dalam banyak kitab beliau. Selepas itu, muncul Imam Al-‘Izz bin Abdil Salam, Imam Ibn ‘Asakir, Imam Jamal Ad-Din Al-Hushairi dan Imam al-Ghazali juga turut menentang golongan Tajsim pada zaman mereka. Imam Fakhruddin al-Razi pula tampil membanteras fahaman Tajsim melalui kitabnya, Asas at-Taqdis.

Bagaimanapun Syeikh Ibn Taimiyyah al-Harrani mengarang kitab at-Ta’sis bagi menolak kitab Asas at-Taqdis karangan Imam al-Razi secara keras. Pendekatan Syeikh Ibn Taimiyyah dalam memahami nusus Mustasyabihat dilihat membuka semula kaedah yang boleh membawa kepada fahaman Tajsim. Bahkan kaedahnya banyak mengundang perdebatan terbuka dalam isu asas akidah. Teori beliau diteruskan pula oleh muridnya, Ibn Qayyim al-Jauziyyah yang mengarang Qasidah Nuniyyah dan kitab Ijtima’ al-Juyusyh al-Islamiyyah.

Kedua-dua kitabnya ini bukan sekadar mendukung teori Ibn Taimiyyah dan golongan Hanabilah Mujassimah, tetapi mereka turut memperjuangkan doktrin ketuhanan Syeikh Ibn Taimiyyah. Bahkan Ibn Qayyim al-Jauziyyah membuat penentangan yang keras terhadap doktrin al-Sawad al-A’zham yang dipelopori ulama Ahlus-Sunnah al-Asya’irah. Malahan dalam sesetengah keadaan, beliau dan pengikutnya menjenamakan fahaman yang dirintis golongan ulama al-Asyairah (dalam bab mentakwil sebahagian nusus) sebagai golongan al-Jahmiyyah, yakni salah satu cabang golongan sesat. Nau’zubillah min dzalik.

Selepas itu, muncul pula Imam Taqiyuddin As-Subki yang menentang fahaman Tajsim Ibn Qayyim Al-Jauziyah. Imam Taqiyuddin Al-Husni As-Syafi’e juga mengarang kitab Daf’ Syubah Man Syabbah Wa Tamarrad bagi menjelaskan kepincangan unsur Mujassimah karangan Ibn Qayyim dan Ibn Taimiyyah al-Harrani. Demikian juga Imam Fakhruddin As-Syafi’e tampil menentang teori sifat Ibn Taimiyyah dalam kitab beliau Najmu Al-Muhtadi.

Kemudian muncul pula pada kurun ke-20, Imam Muhammad Zahid Al-Kauthari yang berperanan besar dalam membanteras fahaman Tajsim moden secara terang-terangan. Begitu juga dengan Syeikh Yusuf An-Nabhani dan Syeikh Yusuf Ad-Dijwi Al-Azhari. Tidak ketinggalan juga Syeikh Salamah Al-Khudho’ie Al-Azzami yang mengarang kitab Al-Barahin As-Sathi’ah fi Radd Ba’dhi Al-Bida’ As-Sya’iah bagi menolak fahaman Tajsim secara ilmiah.

Antara ulama kontemporari yang begitu kuat menentang fahaman Tajsim adalah Syeikh Dr Muhammad Sa’id Ramadhan Al-Buti (dalam kitab as-Salafiyyah), Syeikh Abdullah bin al-Siddiq al-Ghumari, Syeikh Ali Jum’ah (Mufti Mesir), Syeikh Ahmad Khalili (Mufti Oman), Syeikh Nizham Ya’qubi (Syria), Syeikh al-Sayyid Yusuf Hasyim al-Rifa’ie (Kuwait), Syeikh Hassan al-Saqqaf (Jordan), Syeikh Mahmud Said al-Mamduh (Mesir) Syeikh Sa’id Fuodah (dalam kitab Al-Kasyif As-Shoghir, Naqd Ar-Risalah At-Tadammuriyyah), Syeikh Dr Umar Abdullah al-Kamil (Naqd Qowa’id At-Tasybih), Syeikh Habib Umar bin Hafidz (Yaman), Syeikh Wahbi Sulaiman al-Ghawiji, Syeikh Dr Adil Azizah al-Kayyali, Syeikh Abdullah Harari, Syeikh Jamil Halim al-Husaini, Syeikh Jamal Sokhor al-Lubnani, Syeikh Khalil Dariyyan al-Azhari dan ramai lagi.

Semoga Allah SWT membantu kita membanteras penyelewengan fahaman Tajsim daripada persada pemikiran Islam kontemporari.

Memahami definisi Tajsim

Dr Zamihan Mat Zin al-Ghari

Memandangkan lafaz Tajsim berasal daripada bahasa Arab maka pengertiannya perlu dinilai daripada dua sudut iaitu sudut bahasa dan istilah.

Daripada sudut bahasa: Lafaz Tajsim dalam bahasa Arab berasal daripada perkataan jisim. Jisim dalam bahasa Arab bererti sesuatu yang tercantum oleh dua bahagian atau lebih iaitu sesuatu yang mempunyai cantuman dua jauhar (benda) atau lebih.

Jauhar pula sesuatu yang mengambil ruang atau tempat. Maknanya, ia mempunyai had, batasan, ukuran dan bentuk. Perlu diketahui jisim mempunyai pengertian yang hampir sama dengan jirim, jasad, jauhar dan lain-lain. Bagaimanapun jika dinilai secara terperinci ketiga-tiga perkataan tersebut mempunyai makna berbeza.

Syeikh Al-Lughowi Fairuz Abadi berkata: “Jasad adalah jisim insan, jin, malaikat dan lain-lain.” (Al-Qomus Al-Muhith)

Dalam Mukhtar As-Sihah ada disebut tentang perkataan “Jasad: Jasad iaitu badan. Dikatakan sesuatu itu berjasad samalah juga mengatakan sesuatu itu berjisim.”

Dalam kitab yang sama, ketika mensyarahkan perkataan jisim Imam al-Razi mengatakan jisim adalah jasad.

Dalam Lisanul-Arab, perkataan jasad disebut: “Jasad: Jisim manusia.”

Menurut ulama al-Asya’irah: “Jisim ialah sesuatu yang mengisi ruang yang boleh dibahagikan walaupun dari satu sudut.” (Hasyiyah Al-‘Athor ‘ala Maqulat Al-Balidi m/s 117)

Imam As-Syarif Al-Jurjani berkata: “Jisim menurut bahasa ialah sesuatu yang mengandungi At-Tarkib (susunan) dan At-Talif (cantuman).” (Syarh Al-Mawaqif: 2/192)

Syeikh Solahuddin Al-Idlibi berkata dalam kitab Aqa’id Al-Asya’irah (m/s 91): “Jauhar ialah sesuatu yang mengisi ruang (mengambil ruang) yang mana ia mempunyai saiz (ukuran) dan mengambil ruang mengikut saiznya. Al-‘Ardh ialah suatu makna yang berada pada jauhar (iaitu sifat). Jisim ialah cantuman antara beberapa jauhar.” (rujuk juga kitab Al-Mu’tamad m/s 35 dan 36 oleh Syeikhul Hanabilah Al-Qadhi Abu Ya’la)

Syeikh Sa’id Fudah menyimpulkan dengan berkata: “Kebanyakan perkataan menurut ulama ialah jisim itu suatu yang mengisi ruang dan suatu yang tersusun (tercantum).” (Al-Kasyif As-Shoghir m/s 126)

Daripada sudut Istilah: Fahaman Tajsim ialah fahaman yang menjisimkan Allah SWT dengan menetapkan at-Tarkib atau cantuman tertentu bagi Dzat Allah SWT.

Pernyataan ini mengunjurkan kelaziman sesuatu jisim seperti berbentuk, beranggota, bertubuh, bergerak-gerak, bertempat, berbatas dan lain-lain yang kesemuanya adalah kelaziman sesuatu jisim.

Seseorang boleh dikatakan berfahaman Tajsim apabila dia percaya Allah SWT itu suatu jisim atau dia menetapkan kelaziman jisim walaupun tidak menyebutnya sebagai jisim.

Dengan demikian, dia telah menetapkan cantuman atau keanggotaan bagi zat Allah SWT. Yakni menetapkan bentuk, tubuh, ukuran, batasan, tempat dan pergerakan bagi zat-Nya. Sedangkan Maha Suci Allah SWT dari semua unsur berkenaan.

Fahaman Tajsim adalah sebahagian daripada tasybih (menyerupakan Allah SWT dengan makhluk) kerana ia menyamakan zat Allah SWT dengan makhluk dari sudut kejisiman makhluk itu sendiri.

Walaupun sebahagian pelopor Mujassimah mengaku menolak Tasybih, namun mereka sekadar menolak Tasybih Taamm iaitu menyamakan Allah SWT secara menyeluruh.  Al-Irsyad Imam Al-Haramain, m/s 23, Al-Isyarah karangan Imam Al-Syirazi: Bab Allah Laisa Bijismin dan Asas at-Taqdis karangan Imam al-Razi m/s 30.

Sedangkan mereka tidak menolak konsep Tasybih Juz’ie iaitu menyamakan satu sudut sifat Allah SWT dengan sifat makhluk.

Mereka mendakwa Tajsim bukanlah Tasybih. Sebaliknya mereka hanya menetapkan (isbat) apa yang ditetapkan oleh Allah SWT. Padahal tidak pernah wujud dalil sama sekali seseorang itu wajib menetapkan makna zahir bagi nas mutasyabihat sehingga membawa maksud kejisiman bagi Allah SWT.

Sebaliknya terdapat dalil yang jelas melarang seseorang menetapkan makna zahir bagi nas Mutasyabihat sebagaimana yang terdapat dalam Surah ali-Imran ayat 7 bermaksud: “Dialah yang menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci al-Quran. Sebahagian besar daripada al-Quran itu mengandungi ayat ‘Muhkamaat’ (yang tetap, tegas dan nyata maksudnya); ayat Muhkamaat itu ialah induk (atau pokok) al-Quran. Dan yang lain adalah ayat ‘Mutasyabihat’ (yang samar-samar, tidak terang maksudnya). Oleh sebab itu (timbulah faham yang berlainan menurut kandungan hati masing-masing) – adapun orang yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan maka mereka selalu menurut apa yang samar-samar daripada al-Quran untuk mencari fitnah dan mencari-cari takwilnya (memutarkan maksud menurut yang disukainya). Padahal tidak ada yang mengetahui takwilnya (maksudnya yang sebenar) melainkan Allah. Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu agama berkata: “Kami beriman kepada-Nya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami”. Dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikir.”  

Ayat ini menjelaskan wujudnya takwil (makna lain) bagi nas mutasyabihat. Ia membuktikan bahawa kita tidak boleh memahami nas mutasyabihat dengan makna zahir atau dengan maknanya dari sudut bahasa (ma’na lughowi). Ini kerana ada makna lain yang dimaksudkan oleh Allah SWT daripada nas-nas mutasyabihat. Pengambilan makna zahir bagi nas mutasyabihat bererti menafikan kewujudan takwil (makna lain) yang ditetapkan oleh Allah SWT bagi nas mutasyabihat tersebut.

Manakala Jisim pula pada hakikatnya merupakan sifat khusus bagi makhluk Allah SWT. 

Ini kerana jirim atau jisim mempunyai ciri-ciri seperti beranggota (tercantum dari beberapa bahagian), berbentuk, berukuran, mempunyai batasan, bertempat dan lain-lain. Ia adalah ciri-ciri makhluk yang terbatas sedangkan kewujudan Allah SWT terlepas daripada ciri-ciri keterbatasan makhluk. 

Sesiapa yang mendakwa bahawa Allah SWT itu berjisim atau menetapkan mana-mana kelaziman jisim bagi Allah bererti dia telah menganut fahaman Tajsim dan menyimpang daripada akidah Islam yang murni.

Tamsil, Tasybih dan Tajsim 

Seseorang yang ingin mendalami permasalahan Tajsim perlu tahu perbezaan antara Tamsil, Tasybih dan Tajsim daripada sudut penggunaannya dalam lapangan akidah. 

Tasybih ialah menyamakan Allah SWT dengan makhluk sama ada daripada satu sudut daripada sudut penyerupaan dengan makhluk ataupun daripada semua (segenap) sudut persamaan. Adapun menyerupakan Allah SWT dengan makhluk daripada segenap sudut sifat-sifat makhluk dikenali sebagai Tasybih Tamm. Manakala menyamakan Allah SWT dengan makhluk daripada sebahagian sifat makhluk dikenali sebagai Tasybih Juz’ie. 

Tamsil ialah menyamakan secara keseluruhan sifat-sifat Allah SWT dengan sifat-sifat makhluk. Boleh dikatakan Tamsil adalah Tasybih Tamm. 

Tajsim mempercayai Allah SWT memiliki anggota badan. Ia salah satu daripada jenis Tasybih Juz’ie. 

Kekadang seseorang itu menafikan Tasybih Tamm tetapi tidak menafikan Tasybih Juz’ie. 

Contoh Tasybih Tamm atau Tamsil ialah seseorang berkata bahawa Allah SWT itu berjisim seperti jisim-jisim makhluk. Ini suatu contoh penyerupaan terhadap zat Allah SWT dengan jisim makhluk. Nauzubillah! 

Adapun contoh Tasybih Juz’ie ialah seseorang berkata Allah SWT itu berjisim tetapi bukan seperti jisim makhluk. Atau seseorang berkata: Allah SWT mempunyai tangan yang merupakan satu anggota daripada zat Allah SWT tetapi tangan-Nya tidak seperti tangan makhluk.  Kenyataan ini memanifestasikan penyamaan Allah SWT dengan salah satu daripada anggota badan makhluk. Ia Tasybih Juz’ie yang sering berlegar di lidah Musyabbihah, Mujassimah, Hasyawiyah dan golongan menyeleweng. 

Imam Fakhruddin al-Razi berkata: “Jikalau Allah SWT itu (dikatakan) berjisim maka semestinya Dia akan menyerupai hakikat jisim-jisim yang lain secara menyeluruh, maka jika begitu ia (Tajsim) juga adalah tasybih (menyerupakan Allah SWT dengan makhluk).” (Asas At-Taqdis m/s 141) 

Maksud perkataan Al-Imam al-Razi di atas ialah jika seseorang itu mendakwa bahawa Allah SWT berjisim, maka secara tidak langsung dia menetapkan Allah SWT menyerupai kelaziman makhluk itu sendiri seperti bertempat, mempunyai rupa bentuk, batasan dan lain-lain. 

Sebahagian ulama al-Asya’irah menjelaskan Tajsim adalah salah satu daripada kompenan Tasybih tetapi ada perinciannya. Jika Tajsim itu Tajsim shorih (Tajsim yang jelas) seperti seseorang berkata: “Jisim Allah SWT itu sama dengan jisim-jisim makhluk” maka ia juga termasuk dalam Tasybih Taam dan Tamsil kerana menyamakan zat dan sifat Allah SWT dengan zat dan sifat makhluk secara menyeluruh. 

Adapun Tajsim Ghair Shorih (Tajsim yang tidak jelas) seperti seseorang menetapkan salah satu atau sebahagian kelaziman jisim seperti menetapkan sudut bagi Allah SWT atau menetapkan ‘tempat’ bagi Allah SWT tanpa menetapkan perkataan jisim bagi Allah SWT maka ia dikira Tasybih Juz’ie (cabang tasybih).

Pengajian Sifat 20 bukan ajaran falsafah

Ahmad Hafiz Ali Makdom

Akidah al-Asha’irah sudah sekian lama bertapak di bumi Nusantara sama ada Malaysia, Indonesia, Thailand dan sebagainya.

Pembawakan akidah ini menjadi faktor utama dalam pengukuhan agama berkaitan ketuhanan serta simbol penyatuan umat Islam khususnya di Nusantara tanpa berlakunya unsur berpecah-belah. Perkara itu dapat dibuktikan menerusi karya bertulisan Jawi yang sudah mencecah ratusan tahun seperti Aqidah al-Najin oleh Sheikh Zayn al-Din al-Fatani atau lebih dikenali sebagai Tuan Minal, Faridah al-Fara’id oleh Sheikh Ahmad al-Fatani, Bidayah al-Hidayah oleh Sheikh Muhammad Zayn Acheh dan sebagainya. Namun, terdapat suara sumbang yang menyatakan bahawa akidah al-Asha’irah ataupun akidah yang bermetodologikan pembelajaran Sifat 20 ini berasal daripada falsafah.

Tuduhan sebegitu membawa kepada pemikiran bahawasanya ulama terdahulu yang berakidah al-Ashairah sama ada ulama tanah Arab ataupun Nusantara ini semuanya sesat dan bukan dalam golongan Ahli Sunah Waljamaah kerana sumber rujukannya daripada falsafah secara mutlak dalam akidah. 

Fahaman berkenaan muncul kerana pelbagai faktor terhadap tanggapan mereka berkenaan dengan pembelajaran akidah Sifat 20.

Pertamanya, mereka beranggapan akidah al-Asha’irah yang membawa metodologi perbahasan Sifat 20 ini daripada falsafah kerana orang yang mempelajari Sifat 20 ini turut juga mempelajari sifat mustahil bagi Allah SWT untuk dinafikan.

Pertikaian berkenaan sudah dijawab oleh al-Allamah Abdullah al-Sharqawi al-Azhari dalam Hasyiah al-Sharqawi ‘ala al-Hudhudi bahawasanya disebut juga sifat mustahil atas Allah SWT untuk dinafikan kerana tuntutan dalam bidang akidah ini adalah huraian secara tafsil (terperinci). Bukan itu sahaja, bahkan kejahilan dalam perkara membabitkan akidah ini sangat berbahaya.

Oleh itu, ulama al-Asha’irah mengambil inisiatif menyebutkan sifat mustahil untuk dinafikan kerana tidak cukup hanya mengetahui lazimnya sahaja iaitu sifat yang wajib bagi Allah SWT. 

Seterusnya, kecaman yang mengatakan akidah yang dibawa al-Asha’irah iaitu Sifat 20 itu bukannya tauhid para rasul akan tetapi tauhid ahli kalam sahaja.

Ini adalah tuduhan yang sangat berat kerana asal-usul terbentuknya pembelajaran akidah Sifat 20 ini berteraskan dalil naqli (al-Quran dan al-Sunnah) dan dalil aqli. Bahkan Sheikh Nawawi Banten menegaskan dalam Tijan al-Darori wajib pada syarak seseorang mukallaf itu mengetahui secara ijmali (umum) terhadap sifat kesempurnaan Allah SWT ini tidak terhingga dan secara tafsili (terperinci) melalui jalan belajar Sifat 20 sama ada menerusi dalil naqli atau dalil aqli.

Tambahan lagi, Sheikh Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki dalam Jala’ al-Afham menyatakan daripada sifat wujud sehingga sifat kalam beserta dengan dalil daripada al-Quran. Persoalannya ialah adakah al-Quran bukan daripada Nabi Muhammad SAW? Sudah semestinya daripada nabi Muhammad SAW dan apa-apa sahaja yang terkandung di dalam al-Quran adalah daripada ajaran Nabi Muhammad SAW termasuk dalam bab akidah. 

Selain itu, tuduhan falsafah terhadap akidah al-Asha’irah juga turut berlaku apabila ada suara yang mengatakan kaedah kulliyyahnya (umumnya) itu sinonim dengan Muktazilah, Jabariyyah dan sebagainya dari sudut mendahulukan akal atas naqal (al-Quran dan al-Sunnah) secara mutlak.

Dakwaan tersebut tidak dapat dibuktikan sejak daripada zaman pelopor mazhab al-Asha’irah lagi iaitu Imam Abu al-Hasan al-Ash’ari. Hal ini demikian kerana, beliau mengemukakan dalam al-Ibanah ‘an Usul al-Diyanah bahawa isu akidah adalah pandangan agama Islam yang bersumberkan kepada al-Quran dan sunah Rasulullah SAW.

Bukan itu sahaja, bahkan akidah juga diambil daripada riwayat sahabat, tabiin dan tabi’ al-tabi’in serta ulama hadis dan athar. Imam al-Ash’ari turut menjadikan dan mengangkat Imam Ahmad bin Hanbal sebagai tokoh teladan dalam mendepani kumpulan bid’ah pada zamannya yang terdiri daripada Muktazilah, Jabariyyah, Qadariyyah dan sebagainya.

Walaupun begitu, muncul sekelompok manusia yang mengaplikasikan kejahilan mereka sebagai tonggak pemikiran sehingga mengakibatkan tiada daya untuk berfikir dalam memahami soal keagamaan. Oleh sebab itu, Imam al-Ash’ari menyatakan pendirian beliau secara jelas terhadap dalil aqli dalam Risalah fi al-Istihsan al-Khawd fi ‘Ilm al-Kalam.

Ini membuktikan Imam al-Ash’ari mengutamakan pendalilan secara naqli berteraskan al-Quran dan al-Sunnah kemudian pelengkapnya menerusi dalil aqli bukannya mengagungkan akal sehingga mengenepikan naqal seperti golongan Muktazilah. 

Di samping itu, antara suara sumbang yang lain mengatakan bahawa akidah sepatutnya adalah subjek yang mudah untuk difahami oleh semua orang sedangkan akidah al-Asha’irah yang berteraskan pembelajaran Sifat 20 memiliki ciri-ciri yang payah untuk memahami perbahasannya serta tidak pernah diajarkan Nabi Muhammad SAW.

Kata-kata ini seolah-olah memberi isyarat pengajian akidah al-Asha’irah ini sudah tidak relevan bagi orang awam sedangkan pengajian akidah al-Asha’irah ini mempunyai tahap pembelajaran yang tersendiri daripada awal sehingga akhir.

Hakikatnya, ulama al-Asha’irah memberikan amaran kepada orang awam untuk tidak mempelajari ilmu kalam dengan makna perbahasan yang rumit untuk difahami bahkan berkemungkinan wujudnya perbahasan falsafah di dalamnya berkaitan ketuhanan.

Sebaliknya, akidah yang menunjukkan keesaan Allah SWT, kekuasaan-Nya, Ketidakserupaan-Nya dengan makhluk dan sebagainya adalah suatu perkara yang amat dituntut untuk mempelajarinya bagi memantapkan akidah Ahli Sunnah wa al-Jama’ah yang sebenar dalam dirinya daripada terpesong.

Pelbagai karya ulama al-Asha’irah menghidangkan pengenalan akidah yang mudah kepada orang awam pada tahap pertama seperti Inilah Kitab Usuluddin karya Sheikh Muhammad Utharid Bogor, Aqidah al-Awam karya Sheikh al-Sayyid al-Marzuqi, Qawa’id al-Aqa’id Imam al-Ghazali dan sebagainya. 

Oleh itu, akidah al-Asha’irah yang berteraskan Sifat 20 bukan daripada falsafah. Hal ini demikian kerana jika akidah al-Asha’irah ini bersumberkan akidah falsafah maka sudah pasti semua ahli falsafah zaman tersebut dikategorikan sebagai muwahhid (orang yang bertauhid).

Kekhuatiran yang berlaku adalah apabila mereka yang terlalu berusaha keras mengingkari Sifat 20 itu sendiri akan menjadikan pegangan mereka seperti akidah komunisme dari sudut menafikan kewujudan Tuhan, baharunya Tuhan dan sebagainya.

Hal ini demikian kerana menafikan kewujudan Allah SWT, kekal-Nya, tidak baharu-Nya, esa-Nya, tidak menyerupai makhluk-Nya dan sebagainya membawa ke arah kesesatan dan kekafiran.

Pembelajaran Sifat 20 yang diteraskan oleh al-Asha’irah hanya sebagai satu metodologi untuk menghantar kita semua kepada makrifah (mengenal) Allah SWT secara yakin.

Seterusnya, madrasah al-Asha’irah ini juga membentangkan konsep yang benar tentang ketuhanan sesuai dengan dalil yang qatie dalam al-Quran, hadis dan ijmak ulama. Selain itu, akidah al-Asha’irah ini juga sebagai wasilah untuk menjawab terhadap penyimpangan di luar akidah Ahli Sunnah wa al-Jama’ah seperti Muktazilah, Jabariyyah, Qadariyyah dan sebagainya bahkan menzahirkan jawaban berkenaan Allah SWT secara mendasar dan mendalam.

Dengan ini, orang yang berakal waras dan sihat tidak akan mencela atau mencemuh satu metodologi yang dibawa dan diusahakan oleh ulama al-Asha’irah menerusi akidah Sifat 20 kerana perbincangannya mengenai Allah SWT yang Maha Esa. 

Mazhab muktabar akidah Ahli Sunah Waljamaah


Dr Mohd Hasrul Shuhari

Menurut Pusat Fatwa Jordan (Dairah al-Ifta’ al-‘Amm fi al-Mamlakah al-Urduniyyah al-Hashimiyyah) dalam kitab akidah terbitan rasmi berjudul Aqidah al-Muslim, Ahli Sunah Waljamaah adalah golongan yang berpegang dengan pandangan Nabi SAW dan sahabat tentang usul akidah serta amalan. Usul itu dijaga dan diakui kebenarannya oleh pengikut mazhab muktabar bidang usuluddin dan furuknya (fiqah) yang dikenali sebagai Ahli Sunah Waljamaah.

Ahli Sunah Waljamaah adalah satu kumpulan, tetapi jumlah bilangan pendokongnya melebihi kumpulan yang lain. Disebabkan itu, mereka adalah al-sawad al-a’zam (majoriti) umat Islam sebagaimana disebut dalam lafaz hadis. Pusat Fatwa Jordan tidak menyatakan hadis itu, mungkin hadis dan syarahannya ini yang dimaksudkan, yakni sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Umat Yahudi berpecah kepada 71 kumpulan; 70 kumpulan di neraka dan satu kumpulan di syurga. Umat Nasrani berpecah kepada 72 kumpulan; 71 kumpulan di neraka dan satu kumpulan di syurga. Umat ini (umat Islam) akan berpecah kepada 73 kumpulan; 72 kumpulan di neraka dan sat kumpulan di syurga. Kami (sahabat) bertanya: Tunjukkan sifatnya kepada kami. Baginda SAW menjawab: Al-sawad al-a’zam.” Diriwayatkan oleh Imam al-Tabrani, rijalnya thiqah menurut Imam al-Haithami

Abu Umamah al-Bahili berkata: Hendaklah kalian bersama dengan al-sawad al-a’zam. Diriwayatkan oleh Imam ‘Abdullah ibn Ahmad, Imam al-Bazzar dan Imam al-Tabrani, rijal thiqah menurut Imam al-Haithami.

Menurut Imam al-Suyuti, al-sawad al-a’zam adalah ‘jamaah’ manusia (umat Islam) terbanyak, bersatu dalam satu manhaj yang lurus. Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menukilkan perkataan Imam al-Tabari yang merujuk ‘jamaah’ sebagai al-sawad al-a’zam.

Menurut Pusat Fatwa Jordan, mazhab muktabar Ahli Sunah Waljamaah dalam akidah Islam ialah mazhab al-Asha’irah (atau al-Ash’ariyyah) dan mazhab al-Maturidiyyah. Kedua-dua mazhab ini dinisbahkan kepada Imam Abu al-Hasan al-Ash’ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi yang kedua-duanya pemimpin yang membawa petunjuk (imam huda) dan diterima secara besar-besaran oleh ulama Islam lain.

Mazhab akidah ini jumhur (majoriti) umat Islam di setiap zaman. Ulama mereka diberi kepercayaan oleh pemimpin dunia Islam untuk membina institusi pendidikan, merangka silibus pengajian, mendidik pelajar, memelihara hukum syariat Islam dan mempertahankan agama Islam yang murni. Mereka terkenal dengan ciri adil dan insaf atau mungkin juga Pusat Fatwa Jordan maksudkannya sebagai al-wasatiyyah (kesederhanaan) yang juga antara ciri penting Ahli Sunah Waljamaah.

Antara tokoh pendokong mazhab muktabar ini yang masyhur ialah Sultan Salahuddin al-Ayyubi yang terkenal dengan kejayaannya membebaskan Palestin daripada penjajahan Tentera Salib. Menurut Imam al-Sayuti, Sultan Salahuddin bermazhab fiqah al-Syafii dan bermazhab akidah al-Asha’irah yang memberi perhatian khusus dalam usaha menyebarkan mazhab akidah al-Asha’irah. Antaranya ialah, beliau memerintahkan muazin melaungkan bacaan kitab akidah al-Asha’irah pada waktu al-tasbih (sebelum azan Subuh setiap malam. Beliau juga di samping menghafaz al-Quran turut menghafaz matan kitab al-Tanbih yakni kitab fiqah mazhab al-Shafii.

Selain itu menurut Imam al-Sayuti, disebabkan Sultan Salahuddin sangat mengambil berat akidah al-Ashairah, seorang ulama yang bernama al-Sheikh al-Nahwi Muhammad ibn Hibbah telah menulis kitab akidah al-Asha’irah dan menghadiahkannya kepada baginda. Kemudian kitab yang berjudul al-Aqidah al-Salahiyyah itu diperintahkan agar diajar kepada masyarakat termasuk kanak-kanak di bawah pemerintahan Sultan Salahuddin al-Ayyubi. Selain itu, disenaraikan juga beberapa contoh nama masyhur ulama mazhab muktabar ini yang alim bidang akidah dan usul fiqah seperti Imam al-Baqillani (meninggal 403H), Imam Ibn Faurak (meninggal 406H), Imam al-Juwaini (meninggal 478H), Imam al-Ghazali (meninggal 505H) dan Imam al-Razi (meninggal 606H).

Contoh lain nama masyhur ulama mazhab muktabar ini yang alim bidang tafsir al-Quran dan hadis ialah Imam al-Baihaqi (meninggal 458H), Imam al-Qushairi (meninggal 465H), Imam al-Baghawi (meninggal 510H), Imam Ibn Asakir (meninggal 571H), Imam al-Nawawi (meninggal 676H), Imam al-Baidawi (meninggal 685H), Imam Ibn Hajar al-Asqalani (meninggal 852H), Imam Badr al-Din al-Aini (meninggal 855H) dan Imam al-Sayuti (meninggal 911H).

Disenaraikan juga contoh nama masyhur ulama mazhab muktabar ini yang alim bidang fiqah seperti Imam Izz al-Din ibn Abd al-Salam (meninggal 660H), Imam Taj al-Din al-Subki (meninggal 767H), Imam al-Kamal ibn al-Humam (meninggal 861H), Sheikh al-Islam Zakariya al-Ansari (meninggal 926H) dan Imam Ibn Hajar al-Haitami (meninggal 973H).

Huraian ini jelas menunjukkan kedua-dua mazhab al-Asha’irah dan al-Maturidiyyah ini mewakili akidah umat Islam salaf serta khalaf sepanjang zaman. Ia adalah akidah yang diambil daripada Nabi SAW menerusi sahabat, tabiin dan tabi’ tabiin yang sampai kepada kita secara murni yang diperteguhkan dengan dalil naqli serta akli. Mustahil mazhab yang berjaya membentuk tamadun Islam yang hebat ini adalah ahli bidaah seperti yang ditohmah pihak tertentu.

Kitab akidah dipelajari dalam mazhab muktabar ini adalah berdasarkan peringkat permulaan, pertengahan dan tinggi. Antara kitab masyhur yang diajar pada peringkat permulaan ialah:

1. Kitab Jauharah al-Tauhid oleh Imam Ibrahim al-Laqani al-Maliki (meninggal 1041H). Ramai ulama mensyarahkan kitab ini antaranya ialah bekas Mufti Jordan, Sheikh Nuh Ali Salman al-Qudah yang berjudul al-Mukhtasar al-Mufid fi Sharh Jauharah al-Tauhid. Maklumat tambahan, kitab ini menjadi rujukan utama bagi silibus subjek al-Aqidah al-Islamiyyah peringkat Diploma di Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

2. Kitab Umm al-Barahin oleh Imam al-Sanusi (meningga 895H) yang beliau sebenarnya mempunyai peringkat pembacaannya sendiri daripada permulaan hingga tertinggi bermula dengan al-Muqaddimat kemudian Sughra al-Sughra kemudian Umm al-Barahin kemudian al-Wusta kemudian al-Kubra. Ramai ulama mensyarahkannya termasuk penulisnya sendiri yang mempunyai syarahan khusus bagi kitabnya itu.

3. Kitab al-Kharidah al-Bahiyyah oleh Imam al-Dardir (meninggal 1201H) yang ramai ulama mensyarahkannya termasuk penulisnya sendiri.

4. Kitab Qawa’id al-‘Aqaid oleh Imam al-Ghazali (meninggal 505H) yang terdapat dalam bahagian awal daripada kitab Ihya Ulum al-Din. Ramai ulama yang mensyarahkannya seperti Imam al-Zabidi dan Imam Zarruq.

5. Kitab Idaah al-Dujnah fi ‘Aqaid Ahl al-Sunnah oleh Imam al-Tilmisani (meninggal 1041H). Ramai ulama mensyarahkannya seperti Sheikh Muhammad Allaish (meninggal 1299H).

6. Kitab al-Aqidah al-Salahiyyah seperti yang dijelaskan tadi. Judul asalnya ialah Hadaiq al-Fusul wa Jawahir al-Usul.

Kitab di peringkat pertengahan pula antaranya ialah al-Iqtisad fi al-I’tiqad oleh Imam al-Ghazali, kitab Ma’alim Usul al-Din oleh Imam al-Razi dan kitab al-Aqidah al-Wusta oleh Imam al-Sanusi yang masing-masing ada ulama yang mensyarahkannya. Di peringkat tinggi pula, antara kitab itu ialah kitab Sharh al-‘Aqaid al-Nasafiyyah oleh Imam al-Taftazani, kitab Tahzib al-Kalam oleh Imam al-Taftazani, kitab al-Mawaqif oleh Imam Add al-Din al-Iji berserta syarahannya oleh Imam al-Jurjani dan kitab Abkar al-Afkar oleh Imam al-Amidi. Peringkat tertinggi ini kitabnya sukar dibaca melainkan mereka yang ada pengkhususan serta menguasai bidang ini.

Mazhab muktabar Ahli Sunah Waljamaah yang dijelaskan oleh Pusat Fatwa Jordan ini perlu diambil manfaat oleh umat Islam di Malaysia agar mereka tidak tersalah memilih rujukan atau penceramah dalam pengajaran akidah Islam. Ini kerana ramai yang ingin kembali kepada al-Quran dan hadis, namun rujukan atau penceramah yang dipilih tidak menepati mazhab muktabar Ahli Sunah Waljamaah. Kesannya, tanpa sedar mereka terdedah kepada kefahaman al-Quran dan hadis berdasarkan golongan bidaah seperti fahaman Liberalisme, Pluralisme, Muktazilah, Literalisme, Daish, Mujassimah, Musyabbihah, Syiah, Batiniyyah dan seumpamanya.

Pengertian Sekulerisme

Sekulerisme ialah kepercayaan bahawa agama tidak sepatutnya mempunyai sebarang pengaruh atau hubungan dengan pentadbiran sebuah negeri, sebagai contohnya di dalam bidang pendidikan atau pun aturan politik. Oleh itu untuk mensekulerkan sesuatu sistem seperti kemasyarakatan atau pendidikan ialah bermakna mengubahnya sehingga ia tidak lagi berada di bawah kawalan atau pengaruh agama  – Kamus BBC

Fahaman (doktrin, pendirian dsb) yang menolak atau memisahkan agama atau ciri-ciri keagamaan daripada urusan-urusan yang tidak bersangkutan dengan agama (seperti pentadbiran awam dan lain-lain) – Kamus Dewan

Pendapat bahawa pendidikan dan kesusilaan tidak seharusnya di dasarakan kepada agama – Kamus Dwibahasa

Ia adalah suatu semangat keduniaan atau kecenderungan duniawi – Kamus al-Alam al-Jadid

Sekulerisme ialah suatu gerakan sosial yang bertujuan memalingkan manusia daripada mementingkan persoalan akhirat kepada mementingkan kehidupan duniawi semata-mata. Kecenderungan tersebut telah berkembang sepanjang sejarah moden kepada sebuah fahaman sekulerisme sebagai gerakan yang menolak agama dan ajaran Kristian – Daa’iratul Ma’arif al-Brithoniah


Petikan

1. Abu Abdul Halim, Ancaman Bahaya Sekulerisme, Kaherah

Ajaran Umum Sekulerisme

Antara ajaran umum Sekulerisme ialah

1. Menolak keimanan kepada Allah dan menolak konsep ibadah

2. Menjauhkan agama daripada mengarah dan memandu hidup manusia di dalam pelbagai bidang seperti kesenian, pendidikan dan moral

3. Mendirikan kerajaan yang diasaskan di atas prinsip moden tanpa sebarang ikatan yang kukuh kepada panduan agama

4. Hanya beriman dan percaya kepada benda yang dapat dikesan oleh pancaindera dan menolak beriman kepada perkara yang tidak dapat dikesan oleh pancaindera yang lima

5. Usaha yang bersungguh untuk memalingkan manusia daripada beramal atas nama akhirat dan membataskan tumpuan mereka kepada keseronokan hidup di dunia semata-mata


Petikan

1. Abu Abdul Halim, Ancaman Bahaya Sekulerisme, Kaherah