Masalah keluar Islam perlu ditangani secara menyeluruh

SAYA tidak berhajat untuk memberikan respon secara khusus terhadap permohonan semakan kehakiman seorang wanita yang ingin keluar daripada Islam dan mahu memeluk agama lain kerana ia dikhuatiri akan mengganggu prosiding mahkamah terhadap kes berkenaan.

Cuma respon saya adalah berkenaan isu pengisytiharan keluar agama Islam secara umum.

Kita perlu jelas bahawa dalam agama Islam, murtad dianggap satu jenayah dan boleh dikenakan hukuman hudud. Justeru, ia tidak boleh diklasifikasi atas nama hak asasi atau kebebasan beragama sebagaimana yang difahami sesetengah pihak.

Soal kebebasan beragama ini terkandung dalam Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan, namun ada klausa yang menetapkan limitasi kebebasan tersebut pada Perkara 11(4) dan (5).

Kita perlu faham bahawa Mahkamah Persekutuan pada tahun 2018 telah memutuskan bahawa Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa untuk mengendalikan kes-kes murtad atau keluar agama Islam walaupun Ordinan Majlis Islam Sarawak 2001 ketika itu tidak mempunyai peruntukan yang ‘explicit’ terhadap pengisytiharan keluar agama.

Ia juga adalah keputusan penghakiman terhadap kes Lina Joy. Oleh itu, Mahkamah Syariah berhak membicarakan kes keluar agama sama ada mereka mempunyai peruntukan secara tersurat mahupun tersirat – meminjam istilah yang digunakan oleh Prof Mohamed Azam Adil – dalam enakmen negeri masing-masing.

Apa yang menjadi isu di sini adalah ketidakseragaman bentuk perundangan syariah di negeri-negeri sehingga mendorong isu ini tidak ditangani dengan baik.

Negeri Sembilan mempunyai set perundangan yang lebih lengkap dengan ‘procedural law’ atau tatacara tertentu bagi permohonan keluar agama. Ia dinyatakan dengan jelas proses istitabah atau penasihatan akidah kepada pemohon yang ingin keluar Islam.

Sabah memasukkan kesalahan keluar agama sebagai enakmen kesalahan jenayah. Negeri-negeri lain pula mempunyai peruntukan khusus terhadap “Pengisytiharan Status Agama”.

Beberapa negeri lain ada peruntukan terhadap “Percubaan Keluar Islam”, manakala ada negeri yang tiada peruntukan berkaitan.

Walaupun saya sebut tadi Mahkamah Syariah masih boleh membicarakan kes keluar agama meskipun tiada peruntukan enakmen yang jelas, namun ia menimbulkan kesukaran terhadap pendekatan, garis panduan serta proses penasihatan akidah yang wajar diambil oleh pihak berkuasa agama kemudiannya.

Seterusnya berkenaan keluar agama Islam. Kita masih perlu berhati-hati dengan pengistilahan yang digunakan kerana ada garis pemisah di antara istilah murtad dan keluar Islam. Sama tetapi tidak serupa.

Murtad memang jelas tiada kompromi. Namun, keluar Islam di Malaysia berlaku atas beberapa isu dan faktor yang berbeza.

Kebanyakannya berlaku kerana merit pengesahan agama si pemohon ini sejak daripada awal tidak sah oleh Mahkamah Syariah.

Namun, oleh kerana dalam Skim Pendaftaran Kes Mahkamah Syariah kes sebegini jatuh di bawah kod 043 iaitu ‘Permohonan Keluar Agama’, ia terus disatukan dengan maksud ‘murtad’.

Saya beri contoh dalam kes Siti Fatimah Tan Abdullah pada tahun 2009. Beliau berkahwin dengan warga Iran pada tahun 1999, dan selepas 4 bulan ditinggalkan tanpa berita.

Jadi, beliau tidak pernah menerima ajaran Islam secara sempurna, tidak pernah hidup sebagai seorang Muslim disokong dengan pernyataan saksi. Kes pengisytiharan keluar agama Fatimah Tan diluluskan di Mahkamah Syariah. 

Kesimpulannya, saya mengharapkan agar pihak berwajib dapat mengumpulkan para mufti dan pihak berkuasa agama negeri-negeri untuk duduk membincangkan permasalahan ini. Isu keseragaman enakmen ini memerlukan penggubalan dan pindaan di peringkat DUN, sudah tentu memerlukan nasihat dan perbincangan secara bersepadu daripada para mufti termasuklah pihak berkuasa agama negeri.

Pasukan Khas yang akan ditubuhkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) juga perlu turut merangkumkan perbincangan dan perbahasan terhadap isu keluar agama di Malaysia, selain isu ‘unilateral conversion’.

Saya juga mengharapkan agar Penubuhan Pusat Pemurniaan Akidah bagi proses istitabah dapat diperluaskan ke seluruh negara bagi mengatasi isu keluar agama.

Sekian, terima kasih.

SENATOR DATO’ USTAZ AHMAD YAHAYA

Bakar al-Quran: Tindakan melampau terhadap Islam

KUALA LUMPUR: PAS mengecam sekeras-kerasnya tindakan provokasi melampau membakar al-Quran yang dilakukan oleh Rasmus Paludan dan parti berhaluan kanan anti-Islam Stram Kurs (Hard Line) dari Denmark di Orebro, Sweden pada hujung minggu lalu.

Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, tindakan biadab tersebut tentunya akan membangkitkan kemarahan umat Islam.

Ini, ujarnya telah berlaku rusuhan di bandar Orebro, Sweden selama beberapa hari yang menyaksikan beberapa anggota keselamatan Sweden cedera dan berlaku kerosakan harta benda.

Menurutnya, di atas nama kebebasan bersuara, sewajarnya ada sikap toleransi dan saling menghormati terutamanya berkaitan agama.

Beliau menambah, isu-isu sensitif berkaitan agama seperti menghina pemimpin agama mahupun kitab suci perlu dielakkan dalam memelihara keharmonian dan perpaduan dalam sesebuah negara.

“Kebebasan bersuara yang diamalkan ketika ini terutamanya di Barat, dipandang umat Islam sebagai alat diskriminasi dan provokasi terhadap mereka di mana saat ini Islamofobia dilihat amat berleluasa hingga menyebabkan umat Islam di Eropah dan Barat dihina, ditindas dan dizalimi,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya lagi, terdapat banyak insiden masjid dan sekolah umat Islam diceroboh dan dirosakkan serta berlakunya hate crime hingga menyebabkan kecederaan mahupun kematian ke atas umat Islam.

Menurut beliau, sewajarnya konsep kebebasan bersuara tanpa batas dan mencetuskan kontroversi yang diamalkan perlu disanggah dan dinilai semula untuk kebaikan semua pihak.

Tambah beliau, sampai masanya penghinaan terhadap Islam, pemimpinnya mahupun al-Quran perlu dihentikan kerana ia hanya akan terus meningkatkan ketegangan yang berpanjangan.

“Hentikan sikap double standard terhadap Islam dan umatnya kerana ia tidak akan menguntungkan mana-mana pihak,” ujarya yang juga Adun Batu Buruk.

Tokoh ulama Kedah maut dalam kemalangan, sempat ucap ‘jumpa di syurga’

Tokoh ulama Kedah maut dalam kemalangan, sempat ucap ‘jumpa di syurga’. Tokoh ulama, Syeikh Yahya Ashaari, 65, dilaporkan sempat bertemu tiga ulama dari Yaman sebelum terkorban dalam kemalangan membabitkan lima buah kenderaan di Jalan Sungai Jagung, Padang Pusing, Pendang pada jam 4.40 petang, Ahad.

Melalui hantaran akaun media sosial Facebook yang tular menyebut, dalam pertemuan terbabit, Allahyarham Syeikh Yahya sempat meninggalkan ucapan selamat tinggal dengan kata-kata terakhir ‘jumpa di syurga nanti’.

Hantaran yang tular turut melaporkan, satu jam sebelum meninggal dunia, Allahyarham bertemu Syeikh Mahmoud Al-Wosabi, Sheikh Mukhtar Jamil dan Syeikh Jamil Melhi Rubadi sebelum bergerak pulang ke rumah.

“Sebelum pulang, mereka mengucapkan salam dan jumpa lagi, namun dibalas Yahya yang juga merupakan tenaga pengajar Kolej Islam Darul Ulum, Pokok Sena, dengan jawapan ‘jumpa di syurga nanti’,” menurut hantaran tersebut.

Bagaimanapun, Yahya yang mendapat pendidikan awal di Patani dan melanjutkan pengajian ke Makkah dilaporkan meninggal dunia dalam nahas terbabit.

Syeikh Yahya Ashaari dipercayai bertemu tiga ulama dari Yaman sebelum terbabit dalam kemalangan. – Foto media sosial
Sementara itu, Ketua Polis Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, kemalangan membabitkan lima kenderaan termasuk sebuah Perodua Viva, Proton Saga, Toyota Hilux, Perodua Myvi dan Proton Wira.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, pemandu Perodua Viva gagal memotong kenderaan di hadapan sebelum bertembung dengan kenderaan lain.

“Akibat pertembungan tersebut, Perodua Viva telah terseret dan terbakar menyebabkan pemandunya meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, kemalangan menyebabkan seorang maut, dua cedera ringan dan sembilan yang lain tidak mengalami kecederaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Bantuan banjir untuk pondok

*PMPS-Pertubuhan Muafakat Pondok SeMalaysia**JOM BERSAMA OPERASI SEHARI MEMBERSIH PONDOK POK KOB, CHENOR, MARAN, PAHANG & MENYAMPAIKAN SUMBANGAN KEPADA PONDOK-PONDOK SEKITAR*📍 *ISNIN malam SELASA (27 Dis 2021)*ROMBONGAN SUKARELAWAN BERHIMPUN PADA DI MASJID LAMA KG. JENGKA, BATU 13, JLN. MARAN.Masjid Al-Kauthar Kampung Jengka Batu 13https://maps.app.goo.gl/sPAYHEtosANoARHE6📍 *SELASA (28 Dis 2021, 7.30 am)*BERTOLAK KE PONDOK POK KOB.🔖 *Mana-mana INDIVIDU, NGO & BADAN KEBAJIKAN yang ingin menjayakan MISI ini bolehlah*:💕*Hadir bersama atau salurkan sumbangan* 💕:*BANK ISLAM MALAYSIA BERHAD**12225010027810*Pertubuhan Muafakat Pondok Se-MalaysiaNGO/Badan Kebajikan/Individu yang mempunyai ganset generator,waterjet, sekup tanah sangat dialu-alukankan untuk membawanya(pihak kami tidak menyediakanya)Hanya Allah yang akan membalas sumbangan ikhlas yang diberikan*Sebarang pertanyaan sila hubungi*:Ust Mokhtar Senik 0146062456Ust Marzuki Yusuf 0125878010Ust Yusuf Ahmad0105267545Ust MShuqiman 0199316787

Pondok tawar pakej pelancongan ilmu

BACHOK: Pelancong yang berminat mendalami ilmu agama di Kelantan berpeluang menimba ilmu melalui pakej pelancongan disediakan di Pusat Pengajian Pondok Kandis.

Pondok tersebut terletak di Kampung Kandis di laluan Bachok ke Tok Bali, Pasir Puteh.

Ketua Pendaftar Pusat Pengajian Pondok Ustaz Zamri Zahari berkata, usaha tersebut tertumpu kepada pakej melancong sambil belajar secara sistem pondok.

“Kami sudah selesai membina empat rumah pondok yang boleh didiami pelancong untuk mendalami ilmu agama ketika bertandang ke Kelantan.

“Dalam perancangan kita merancang membina sebanyak 20 pondok di samping wakaf dan laluan ke masjid. Pembinaan empat rumah pondok sebagai permulaan,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurutnya pembinaan empat rumah pondok tersebut hasil peruntukan daripada kerajaan negeri sebanyak RM100,000.

Kata beliau juga pondok pelancongan akan dibangunkan projek agro pelancongan dengan usahasama Syarikat Kelantan Biotech Sdn Bhd

Pondok bantu realisasi Kelantan jelapang makanan

PASIR MAS: Institusi pengajian pondok dan tahfiz di Kelantan turut digerakkan bagi merealisasikan cita-cita kerajaan negeri muncul sebagai negeri jelapang makanan.

Timbalan Menteri Besar Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, bagi merealisasikan hasrat itu jawatankuasa pertanian melaksanakan Gerakan Pertanian al Falah dengan peruntukan RM250,000.

Menurut beliau program yang dikelola Pusat Pembangunan Pondok Berhad (PPPB) itu bagi mengurangkan kebergantungan institusi pendidikan terhadap sumbangan orang ramai.

“Hasrat almarhum Tok Guru Nik Abdul Aziz untuk menjadikan Kelantan sebagai jelapang makanan negara akan menjadi kenyataan suatu masa nanti dengan pelaksanaan gerakan pertanian.

“Kita fikir biar pondok mempunyai sumber pendapatan sendiri dan melalui sektor pertanian dapat dimanfaatkan pelajar serta boleh dijual bagi membayar elaun tenaga pengajar,” katanya pada majlis pelancaran Gerakan Pertanian al Falah Pondok dan Tahfiz di Pondok Ihya al Ulum Kampung Repek di sini semalam.

Turut hadir anggota Exco Ustaz Tuan Saripudin Tuan Ismail; Timbalan Exco Abdul Azziz Kadir dan Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Pertanian Kelantan, Engku Rajhan Engku Ismail.

Pondok Ihya al Ulum mengusahakan penanaman sayur-sayuran dan ulam-ulaman secara hidroponik dengan menggunakan sepenuhnya tenaga elektrik dari solar