Hukum orang Islam menyertai perayaan Bon Odori

Mukadimah

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam kepada Nabi Muhammad SAW, utusan akhir zaman. Bayan Linnas kali ini akan mengulas isu yang timbul baru-baru ini berkaitan dengan program Festival Bon Odori yang dikatakan akan diadakan di Kompleks Sukan Negara Shah Alam pada 16 Julai 2022.[1] Isu ini telah mendapat liputan meluas sehingga mendapat perhatian pelbagai pihak yang berpandangan supaya umat Islam di negara ini tidak menyertai Festival Bon Odori kerana dikatakan mempunyai unsur-unsur keagamaan lain.[2] Selain itu ada pihak yang berpandangan bahawa perayaan ini hanyalah program kebudayaan dan harus bagi umat Islam untuk hadir dan bersama-sama merayakannya.

Pengenalan ringkas tentang Bon Odori

Obon atau Bon Odori adalah merupakan suatu perayaan orang Jepun yang beragama Buddha, sebagai simbolik merayakan kedatangan roh nenek moyang yang telah mati. Perayaan ini telah disambut di Jepun selama lebih daripada 500 tahun.[3] Menurut kepercayaan mereka, roh nenek moyang akan datang ke dunia bagi menziarahi saudara mara mereka pada setiap tahun sewaktu perayaan Obon berlangsung.[4] Perayaan ini biasanya berlangsung selama 4 hari, iaitu pada hari ke 13 hingga ke 16 pada setiap bulan Ogos, tetapi ia berbeza mengikut tempat-tempat tertentu di Jepun.[5] Perbezaan ini berlaku kerana wujudnya perbezaan kalendar dalam menentukan bulan yang ketujuh. Berdasarkan kalendar solar, bulan yang ketujuh ialah bulan Julai. Manakala berdasarkan kalendar lunar, bulan yang ketujuh adalah bulan Ogos.[6]

Masyarakat Shinto mempercayai perayaan ini dimaksudkan untuk menyambut para leluhur yang datang dan menghibur serta menenangkan roh-roh yang datang kembali ke rumah mereka. Semasa perayaan ini, ahli keluarga akan berkumpul di rumah untuk meraikan roh-roh nenek moyang yang dikatakan kembali ke dunia ini bagi menziarahi saudara mara. Mereka juga biasanya melawat dan membersihkan kubur sambil berdoa. Sebuah Shoryodana (altar)[7], dibina dengan diisi buah-buahan, kemenyan, dan bunga untuk menyambut nenek moyang. Api juga dinyalakan untuk memandu nenek moyang untuk pulang ke rumah dan pada hari terakhir perayaan, tanglung kertas (coachin paper lantern) digantung bagi membantu nenek moyang pulang ke kubur masing-masing. Ada juga yang menggunakan tanglung terapung (floating lanterns) dan dilepaskan ke laut untuk membantu nenek moyang kembali ke alam mereka.[8]

Selari dengan peredaran masa, perayaan Bon Odori disambut hanya sebagai tradisi dan kebudayaan Buddha-Confucius dengan aktiviti perkumpulan keluarga pada musim cuti, namun di sesetengah daerah pedalaman sambutan ini masih dianggap sebagai sebahagian daripada ritual keagamaan.[9]

Hukum orang Islam menyertai perayaan Bon Odori

Pada asasnya umat Islam adalah ditegah untuk menyertai apa-apa perayaan agama lain. Para ulama telah bersepakat bahawa hukum menyertai perayaan agama lain, sama ada dengan ucapan atau tindakan pada pakaian, makanan atau minuman yang dikhususkan pada hari perayaan tersebut adalah haram jika bertujuan untuk mengagungkan hari perayaan mereka, bahkan majoriti ulama berpendapat bahawa seorang muslim yang mengagungkan syiar-syiar agama lain boleh jatuh ke lembah kekufuran. Manakala individu muslim yang tidak berniat untuk mengagungkannya adalah berdosa, namun tidak sampai ke tahap kufur.[10] 

Dalam surah al-Furqan, Allah SWT memuji golongan yang tidak menghadiri hari perayaan orang-orang musyrik. Firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ لَا يَشْهَدُونَ الزُّورَ وَإِذَا مَرُّوا بِاللَّغْوِ مَرُّوا كِرَامًا

Maksudnya: “Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang tidak menghadiri tempat-tempat melakukan perkara-perkara yang dilarang, dan apabila mereka bertembung dengan sesuatu yang sia-sia, mereka melaluinya dengan cara membersihkan diri daripadanya”. (Al-Furqan: 72)

Sebahagian ulama salaf seperti Abu al-‘Aliah, Tawus, Muhammad bin Sirin, al-Dahhak, al-Rabi’ bin Anas dan lain-lain menafsirkan kalimah al-zur dalam ayat di atas sebagai hari-hari perayaan orang musyrik.[11] Oleh yang demikian, dapat difahami daripada ayat ini bahawa Allah SWT memuji individu-individu yang tidak menghadiri perayaan orang-orang musyrik.

Dalam surah al-Maidah, Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا الْيَهُودَ وَالنَّصَارَىٰ أَوْلِيَاءَ ۘ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚ وَمَن يَتَوَلَّهُم مِّنكُمْ فَإِنَّهُ مِنْهُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat, kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya yang lain; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim. (Al-Maidah: 51)

Menurut para ulama, apa yang dimaksudkan teman rapat disini adalah menyerupai (tashabbuh) mereka dan membesarkan hari-hari perayaan mereka.[12]

Menurut seorang ulama mazhab Shafi’i, Hibatullah bin al-Hasan al-Lalaka’i:

وَلَا يَجُوزُ لِلْمُسْلِمِينَ أَن يَحْضُرُوا أَعْيَادَهُمْ لِأَنَّهُمْ عَلَى مُنْكَرٍ وَزُورٍ, وَإِذَا خَالَطَ أَهْلُ الْمَعْرُوفِ أَهْلَ المًنْكَرِ بِغَيْرِ الْإِنْكَارِ عَلَيْهِمْ كَانُوا كَالرَّاضِينَ بِهِ وَالْمُؤَثِّرِينَ لَهُ، فَنَخْشَى مِنْ نُزُولِ سَخَطِ اللهِ عَلَى جمَاَعَتِهِم فَيَعُمَّ الْجَمِيعَ، نَعُوذُ بِاللهِ مِن سَخَطِهِ

Maksudnya: “Umat Islam tidak dibenarkan untuk menghadiri perayaan-perayaan mereka (golongan bukan Islam) kerana mereka berada dalam kemungkaran dan kebatilan. Apabila golongan yang baik bercampur dengan golongan mungkar (dengan) tanpa mengingkari mereka, maka mereka seperti redha dan terpengaruh dengan ahli mungkar tersebut. Kami bimbang kemurkaan Allah turun ke atas ke atas kelompok mereka, lalu terkena pada semua. Kami memohon kepada Allah daripada kemurkaan-Nya”.[13]

Al-Imam al-Damiri pula menjelaskan tentang hukuman yang selayaknya menurut syarak bagi mana-mana individu Muslim yang menyertai perayaan bukan Islam, kata beliau:

يُعَزِّرُ مَن وَافَقَ الكُفَارَ فِي أَعْيَادِهِم

Maksudnya: Dihukum ta’zir bagi sesiapa yang mengikuti orang-orang kafir dalam perayaan-perayaan mereka.[14]

Selain itu, menurut Abu Hafs al-Kabir, ulama mazhab Hanafi,

لَوْ أَنَّ رَجُلًا عَبَدَ اللَّهَ تَعَالَى خَمْسِينَ سَنَةً ثُمَّ جَاءَ يَوْمُ النَّيْرُوزِ وَأَهْدَى إلَى بَعْضِ الْمُشْرِكِينَ بَيْضَةً يُرِيدُ تَعْظِيمَ ذَلِكَ الْيَوْمِ فَقَدْ كَفَرَ وَحَبَطَ عَمَلُهُ

Maksudnya: Jika seorang lelaki menyembah Allah selama 50 tahun lamanya, kemudian tibanya Hari Nairuz dan dia menghadiahkan sebiji telur kepada sebahagian golongan musyrikin dengan tujuan mengagungkan hari tersebut, maka telah jatuh kafir dan terhapus amalannya.[15]

Ibn al-Haj al-Maliki juga secara ringkasnya turut berpendapat bahawa orang Islam ditegah melakukan apa yang orang bukan Islam lakukan di hari perayaan mereka.[16] Selain itu, Abu al-Qasim berpandangan bahawa tidak harus bagi orang Islam menghadiri perayaan orang bukan Islam kerana ia merupakan suatu kemungkaran.[17]

Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) Kali Ke-68 yang bersidang pada 12 April 2005 telah membincangkan Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam telah memutuskan:

1) Beberapa ketetapan kriteria perayaan orang bukan Islam yang boleh dihadiri oleh orang Islam adalah sebagaimana berikut:

2) Majlis tersebut tidak disertakan dengan upacara-upacara yang bertentangan dengan akidah Islam.

3) Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang bertentangan dengan syarak.

Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang boleh “menyentuh sensitiviti masyarakat Islam”.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pula dalam penjelasan berhubung hukum umat Islam menyambut Tahun Baru Cina sebelum ini turut menggariskan beberapa kriteria sepertimana yang telah diputuskan oleh Muzakarah MKI, dengan tambahan seperti berikut:

1. Majlis tersebut tidak disertakan dengan “perbuatan yang bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya masyarakat Islam” di negara ini. Maksud “bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya masyarakat Islam” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan bertentangan dengan nilai dan norma kehidupan masyarakat Islam Negara ini yang berpegang kepada ajaran Islam berdasarkan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

2. Pihak penganjur dan orang ramai diminta mendapatkan pandangan pihak berkuasa agama sebelum menganjur atau menghadiri majlis perayaan orang yang bukan beragama Islam.[19]

Berasaskan huraian ini, umat Islam dinasihatkan agar tidak melibatkan diri dalam apa-apa perayaan golongan bukan Islam apatah lagi mengikuti ritual-ritual mereka yang bercanggah dengan prinsip Islam serta mengagungkan syiar agama mereka agar tidak membawa fitnah kepada agama Islam.

Mengenai perayaan Bon Odori, walaupun dikatakan ia telah berevolusi sebagai hanya semata-mata perayaan yang bersifat kebudayaan dengan aktiviti sosial kekeluargaan, namun umat Islam wajib mematuhi hukum-hakam syarak dalam menghadiri sesuatu majlis atau tempat perayaan. Sekiranya dalam majlis berkenaan ada unsur-unsur yang bertentangan dengan syarak seperti pergaulan bebas, mendedahkan aurat, meminum arak dan sebagainya, maka wajib bagi umat Islam menghindarkan diri dari terlibat dalam aktiviti berkenaan.

Walau bagaimanapun adalah dicadangkan satu kajian lebih lanjut dilaksanakan untuk memastikan kedudukan sebenar perayaan ini dalam realiti pelaksanaannya pada hari ini sama ada ia masih mempunyai hubungan dengan kepercayaan yang bersifat keagamaan atau semata-mata kebudayaan yag telah terputus dari kepercayaannya yang asal. Ini bagi memastikan sikap dan pendirian orang Islam terhadap Bon Odori adalah benar-benar menepati hukum syarak.

Berkaitan dengan isu ini, jika sekiranya ia semata-mata budaya, boleh merujuk kepada penjelasan kami terhadap isu-isu Orang Islam Menggantung Tanglung yang boleh dirujuk di link berikut:

https://muftiwp.gov.my/en/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/5111-al-kafi-1854-hukum-orang-islam-menggantung-tanglung-tahun-baru-cina

[1] Bon Odori, The Japan Club of Kuala Lumpur, https://www.jckl.org.my/en/events/bon_odori, diakses pada 7 Jun 2022.

[2]Jangan hadir Festival Bon Odori, Berita Harian Online, https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/06/849418/umat-islam-dinasihatkan-tidak-sertai-festival-bon-odori, diakses pada 7 Jun 2022.

[3] Bon-Odori (Bon Festival Dance), in hamamatsu.com, https://www.inhamamatsu.com/culture/bon-odori.php, diakses pada 7 Jun 2022.

[4] Japan-guide.com, Obon, https://www.japan-guide.com/e/e2286.html, diakses pada 8 Jun 2022.

[5] Bon-Odori (Bon Festival Dance), in hamamatsu.com, https://www.inhamamatsu.com/culture/bon-odori.php, diakses pada 7 Jun 2022.

[6] Japan RailPasss, guide to the Obon Festival 2021 in Japan, https://www.jrailpass.com/blog/obon-festival-in-japan, diakses pada 7 Jun 2022.

[7] Sejenis tempat sembahan untuk upacara pemujaan dan perjamuan suci.

[8] Bon Festival, New World Encyclopedia, https://www.newworldencyclopedia.org/entry/Bon_Festival, diakses pada 8 Jun 2022.

[9] Geradia Teresya, Bon Odori, (Universitas Sumatera Utara, Medan: 2016), 4.

[10] Ali Wanis, alIhtifal bi A’yad al-Kuffar, hlm, 4

[11] Ibnu Kathir, Ismail bin Umar, Tafsir al-Quran al-‘Azim, (Dar Taiyyibah li al-Nasr wa al-Tauzi’, 1999), 6:130

[12] Al-Zahabi, Tashbih al-Khasis bi Ahl al-Khamis fi Raddi al-Tashabbuh bi al-Mushrikin, (Jordan, Dar Amman, 1988), 34

[13] Ibn al-Qayyim, Muhammad bin Abi Bakr, Ahkam Ahl al-Zimmah, (al-Damam: Ramadi li al-Nashr, 1997), 3:1245

[14] Al-Damiri, Muhammad bin Musa bin  Isa, al-Najm al-Wahhaj fi Syarh al-Minhaj (Dar Minhaj: 2004), 9:244.

[15] Zainuddin bin Ibrahim bin Muhammad, Al-Bahr al-Ra’iq Syarh Kanz al-Daqa’iq (Dar al-Kitab al-Islami: tt), 8/555.

[16] Abu Abdullah Muhammad bin Muhammad al-Abdari, al-Madkhal (Kaherah: Maktabah Dar al-Turath, tt), 2/46-48.

[17] Ibn Qayyim Al-Jauziyyah, Ahkam Ahl al-Zimmah (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiah), 1/162.

[18] Mohd Rus, Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam Menurut Perspektif Islam, hlm, 90-92

[19] Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Bayan Linnas Siri ke 48, Islam dan Tahun Baru Cina, https://muftiwp.gov.my/en/perkhidmatan/artikel-soal-jawab/1829-bayan-linnas-siri-48-hukum-menyambut-tahun-baru-cina, diakses pada 10 Jun 2022

Tulisan di atas diambil daripada laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan ruangan Bayan Linnas yang disiarkan pada 10 Jun 2022.

Proses kenal pasti kredibiliti perawi hadis

PERBUATAN mengumpat atau mengata adalah haram di sisi syarak. Sabda Nabi SAW: “Tahukah kamu sekalian apakah dia mengumpat? Iaitu kamu menyebut saudaramu dengan sesuatu perkara yang dia benci.” Lalu ada yang bertanya: “Apa pendapat tuan sekiranya pada saudara saya itu sama dengan apa yang saya katakan?” Jawab baginda: “Sekiranya ada padanya sama dengan apa yang kamu katakan maka kamu telah mengumpatnya dan sekiranya tiada padanya pula maka kamu memfitnahnya.” Hadis Riwayat Muslim dan lain-lain

Bagaimanapun, akibat munculnya kumpulan yang mencipta hadis palsu untuk kepentingan masing-masing, proses ‘mengata’ perawi hadis adalah satu perkara yang perlu dilakukan bagi mengelak mudarat yang lebih besar.

Kata Imam Ibn Sirin (wafat 110H): “Sekalian ahli ilmu mulanya tidak bertanya mengenai sanad, namun sesudah tercetusnya fitnah, mereka mula bertanya: Sebutkan pada kami nama perawi kamu (agar diketahui latar belakangnya). Maka, jika didapati daripada Ahlus Sunnah, baru diambil hadis mereka dan jika didapati daripada ahli bidaah pula, tidak diambil hadis mereka.”

Kata beliau lagi: “Sesungguhnya ilmu ini adalah agama. Maka, hendaklah kamu sekalian lihat daripada siapa kamu ambil agamamu.”

Keperluan menjelaskan status perawi juga adalah berpandukan firman Allah SWT: “Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasiq membawa sesuatu berita, selidikilah kebenarannya supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu lakukan.” Surah al-Hujurat: 6

Daripada ayat ini konsep tabayyun (soal selidik) diambil. Dengan sebab itu, ulama hadis terpaksa melabel status setiap perawi. Proses pelabelan ini membina suatu disiplin yang sangat penting dalam ilmu rijal al-hadith (perawi hadis) iaitu ilmu al-jarh wa al-taadil (kritikan dan pujian terhadap perawi).

Dalam proses berkenaan, ulama hadis mengambil kira dua faktor penting sebagai kayu ukur untuk mengenal pasti kredibiliti perawi hadis, iaitu faktor sifat adil perawi (‘adalah) dan faktor tahap amanah perawi (dhabt).

Terdapat lima sebab yang dibolehkan bagi mengkritik sifat adil perawi (‘adalah) iaitu kerana calar maruahnya, berdusta, dituduh berdusta, bersifat fasiq atau berfahaman bidaah.

Juga terdapat lima sebab yang dibolehkan bagi mengkritik tahap amanah perawi (dhabt) iaitu kerana kesalahan yang cukup banyak, bersifat lalai, melakukan kesilapan, menyalahi riwayat perawi yang lebih thiqah atau hafalan yang lemah.

Selain daripada 10 sebab ini, tidak dibenarkan melabel perawi dengan sesuka hati kerana ia boleh membawa kepada dosa mengumpat sebagaimana yang dinyatakan.

Abu Turab ‘Askar bin al-Husain al-Nakhsyabi (wafat 245H) pernah datang kepada Imam Ahmad bin Hanbal (wafat 241H) dan mendapati beliau berkata: “Si fulan daif, si fulan thiqah.” Lalu Abu Turab berkata: “Ya syeikh, janganlah kamu mengumpat ulama.” Lantas Imam Ahmad pun berpaling kepadanya dan berkata: “Heh, kamu. Ini adalah nasihat, ia bukan mengumpat.”

Abu Bakar bin Khallad (wafat 240H) bertanya kepada Yahya bin Sa’id al-Qattan (w. 198H): “Tidakkah kamu takut mereka yang kamu tinggalkan hadisnya itu akan menjadi lawanmu di sisi Allah pada Hari Kiamat kelak?” Jawabnya: “Jika mereka itu menjadi lawanku lebih aku sukai daripada yang akan menjadi lawanku nanti ialah Rasulullah SAW dengan bertanya: Kenapa kamu tidak menyingkirkan pendustaan daripada hadisku?”

Kata Imam Ibn Daqiq al-Eid (w. 702H): “Maruah orang Islam adalah satu lubang daripada lubang-lubang api neraka. Berdiri di tepinya dua golongan manusia, iaitu ulama hadis dan penguasa.”

Meskipun perkara ini berkait soal maruah, memberi nasihat mengenai hal agama adalah perkara wajib yang lebih dituntut. Oleh itu, di atas konsep nasihat dan konsep tabayyun, ulama hadis membicarakan mengenai status perawi hadis. Bahkan sebelumnya, sudah ada sebilangan sahabat dan tabiin yang berbuat demikian demi memastikan hadis terpelihara.

Semua perbincangan hal ehwal perawi ini direkodkan dalam pelbagai kitab ilmu rijal hadis, sama ada yang khusus merekodkan sekalian perawi yang dipercayai (thiqat) seperti yang dilakukan oleh al-‘Ijli (wafat 261H), Ibn Hibban (wafat 354H), Ibn Syahin (wafat 385H) dan al-Zahabi (wafat 748H) atau yang khusus merekodkan perawi daif (dhu’afa’), seperti yang dilakukan antaranya oleh al-Bukhari (wafat 256H), Abu Zur’ah (wafat 264H), al-Nasa’i (wafat 303H), al-‘Uqaili (wafat 322H) dan Ibn ‘Adi (wafat 365H).

Penghinaan terhadap nabi Muhammad s.a.w : Adakah satu kebetulan

Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor .

Minggu lepas dalam euforia kegembiraan menyambut lebaran sehingga melangkaui bulan Syawal telah dihangatkan dengan isu penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW oleh Nupur Sharma dan Naveen Jindal di negara India yang diperintah oleh BJP ( Parti Ekstremis Hindu yang mendokong ideologi Hindusva). Kedua tokoh politik BJP ini telah membuat komen yang jelek terhadap kemuliaan Rasulullah dan Aisyah RA didalam rancangan televisyen dan juga tweeter.

BJP yang menjadi parti yang berkuasa di India pada mulanya memandang enteng bantahan umat Islam domestik, namun akhirnya mulai panik apabila negara umat Islam mula melakukan pemboikotan ekonomi terhadap negara mereka. Pasaraya di negara Kuwait contohnya telah mula mengeluarkan semua stok barang- barang yang diimport daripada India. Bahkan penghinaan ini menyebabkan kerajaan Emiriah Islam Afghanistan,Saudi, Bahrain memulakan tekanan diplomatik terhadap India. Demonstrasi anti India juga digalang dibeberapa buah negara termasuk di Pakistan, musuh tradisi India semenjak tahun1947 dahulu lagi. Kerajaan India dibawah pimpinan Modi menghidu akan kecelakaan sosio ekonomi jika membiarkan isu ini berlarutan ,maka dua pemimpin mereka yang menghina Nabi Muhammad ‘ terpaksa’ diamankan.

Penghinaan terhadap ar Rasul SAW seolah acara dwi tahunan, jika kita ingat kembali dua tahun lepas apa yang berlaku di Peranchis. Kejadian 16 Oktober 2020 di negara bekas penjajah Algeria, Tunisia, Syria, Mauritania, Chad itu menimbulkan respon luar jangka seorang pemuda Islam berketurunan Chechnya. Samuel Paty yang berkelakuan jelek dengan menayangkan beberapa karikatur menghina nabi Muhammad kepada anak-anak didiknya ,kononnya seputar perbincangan tentang hak asasi kebebasan bersuara. Guru ini dipenggal kepala dan memancing perhatian masyarakat antarabangsa, ditengah menggelegak isu ini hati umat Islam ditoreh lagi dengan tindakan biadap Presiden Peranchis ,Emmanuel Macron yang memberikan anugerah Khas ” Legion d’Honneur kepada sang penghina ar Rasul, Samuel Paty.

Mengkultuskan ketololan dan kejelekan pasti mengundang perbalahan panjang,apatah lagi oleh sebuah kerajaan yang memerintah pelbagai etnik dan agama dan reputasi ini tidak pernah gagal disandang oleh Peranchis. Anugerah khas itu diadakan di kampus perdana negara penjajah itu, kampus Sourbonne yang elegan dan lumayan dengan sejarah kajian para orientalis dunia. Tindakan ketua kerajaan Peranchis itu pasti menyuburkan Islamphobia ,merangsang secara berterusan penghinaan terhadap nabi SAW ,memicu pergeseran antara agama dan pasti ada harga mahal yang terpaksa dibayar oleh Peranchis.

Isu penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW oleh Samuel Paty dan seterusnya disokong secara rasmi oleh Emmanuel Macron ini juga
telah mengingatkan kita bagaimana maruah ar Rasul yang mulia sentiasa menjadi perlecehan musuh Islam. Di zaman Rasulullah, An Nadhar bin al Harith, Uqbah bin Abu Muit antara sosok tegar yang sentiasa menghina nabi di Mekah, manakala Kaab bin Ashraf seorang bangsawan Yahudi adalah penghina Rasulullah SAW di Madinah. Ketiganya mati bergeletakan ditangan para sahabat Nabi SAW.

Penghinaan terhadap Nabi SAW tidak pernah berhenti sebagaimana yang dirakam dalam sejarah, apatah lagi umat Islam yang kehilangan Khilafah dengan tumbangnya Khilafah Islam yang terakhir di Turki pada tahun 1924. Tumbangnya Khalifah bermakna umat Islam tidak mempunyai tempat pergantungan dan penjaga kepada maslahat umat Islam. Pada tahun 1989 Salman Rushdie telah menghina Nabi SAW melalui karya bejatnya The Satanic Verses. Protes demi protes umat Islam tidak menggerunkan kuasa kuffar untuk terus menghina Islam dan nabi SAW kerana tanpa kekuasaan pemerintahan Islam, mereka tahu tempikan itu hanya akan dibawa angin lalu. Salman,bahkan mendapat gelaran “sir” daripada istana England kerana sikap konsisten beliau menyerang Islam.

Kenyataan ini mempunyai kewajarannya kerana selepas tahun 1990, penghinaan terhadap Nabi SAW berlaku berterusan malah semakin gencar lagi, contohnya selepas itu muncul pula Taslima Nasreen yang merupakan warganegara Bangladesh, sebuah negara miskin di Sub-Continent. Karya wanita jalang ini diulang cetak di Negara Barat yang membolehkan beliau hidup disalut kekayaan dan diberi perlindungan di negara Barat.

Di negara Timur Tengah pula muncul seorang penulis keturunan Syiria iaitu Haidar binti Haidar yang bermastautin di Negara Mesir. Beliau telah mengarang sebuah novel fiksyen dan memasukkan watak Nabi SAW, Sayidatina Khadijah, Sayidatina Aishah dalam novel itu dan menghinanya. Puluhan ribu mahasiswa Islam dan mahasiswi berdemontrasi di Mesir, menuntut kerajaan Mesir supaya mengharamkan novel itu dan menarik balik novel itu dari pasaran. Bantahan aman mempertahankan Nabi SAW telah disuraikan dengan gas pemedih mata dan ditembak dengan peluru getah di mana telah mengorbankan seorang mahasiswi Islam. Serikandi itu telah gugur syahid demi mempertahankan maruah Nabi SAW.

Di zaman moden ini juga telah merakamkan penghinaan terhadap Nabi SAW di Nigeria dalam bulan Ramadhan hampir 10 tahun lepas. Nigeria merupakan sebuah negara yang pernah tertegak pemerintahan Islam yang dikenali sebaga Khalifah Sokoto di mana seorang ulama besar Afrika iaity Sheikh Othman Den Fodio telah menaungi pemerintahan Islam tersebut. Kerajaan Islam ini akhirnya tumpas dengan kedatangan penjajah British. Nigeria hari ini melaksanakan konsep pentadbiran federalisme dan dengan kesungguhan pejuang-pejuang Islam dua buah negeri di utara Nigeria telah diizinkan oleh kerajaan Pusat untuk melaksanakan undang-undang Syariah Islam, dunia terkesima dan peluang terbuka kepada media untuk memburukkan pelaksanaan Syariah Islam apabila Mahkamah Tinggi Syariah telah menjatuhkan hukuman rejam sampai mati kepada seorang wanita yang telah berkahwin namun melakukan perzinaan.

Jawatankuasa penganjuran ratu cantik dunia telah memilih Nigeria untuk menganjurkan pertandingan ratu cantik (dipercayai untuk menghina pelaksanaan syariah Islam di Nigeria Utara) bahkan pertandingan itu dijadualkan dibuat dalam bulan Ramadhan yang mulia. Pertubuhan Islam telah mengambil tindakan berhemah dengan menghantar nota bantahan, memorandum dan pelbagai tindakan sederhana lain supaya penganjur tidak mengadakan pertandingan tersebut.

Kebiadapan terhadap Nabi SAW bermula apabila seorang editor akhbar berbahasa Inggeris Nigeria iaitu Nigeria This Day telah menulis dalam kolumnya, “Jika sekiranya Nabi Muhammad masih hidup, Nabi Muhammad pun membenarkan pertandingan ratu cantik diadakan dan Nabi Muhammad akan memilih salah seorang peserta pertandingan ratu cantik sebagai isteri Nabi Muhammad”. Kebiadaban sang penghinaan ini tidak dibiarkan percuma oleh pencinta-pencinta Islam, ratusan ribu penunjuk perasaan telah keluar ke jalan raya bagi menyatakan sikap dan bantahan di mana kemuncaknya pejabat utama akhbar Nigeria This Day telah dibakar oleh penunjuk perasaan.

Peristiwa ini masih kuat terpahat dalam ingatan pengamal media di Nigeria. Sehingga tulisan ini ditulis sebuah akhbar pun tidak berani mengulang siar karikatur yang menghina Rasulullah SAW walaupun sebanyak 146 penerbitan di seluruh dunia telah menerbitkan kembali karikatur yang menghina Nabi SAW. Nigeria memahami nilai harga menghina nabi Muhammad!.

Baginda ar Rasul terus SAW diperleceh maruah, dikritik dan dihina lagi oleh tokoh-tokoh pendusta dan pengkhianat barat dengan gaya baru, sesuai dengan arus kemodenan. Kemarahan pencinta-pencinta Rasulullah SAW tercetus lagi, setelah akhbar Denmark Jyllands Posten memaparkan siri-siri kartun yang menggambarkan karikatur Nabi Muhammad SAW sebagai seorang pengganas dan tidak bermoral. Islamphobia juga merangkumi pakej kebencian kepada ar Rasul , membenci tanpa alasan benar dan menebar falasi terhadap kehidupan baginda yang mulia.

Umat Islam wajib bermuhasabah hari ini, sejauh manakah tahap kecintaan mereka terhadap ar rasul SAW. Tidak cukup kita berselawat sebagai manifestasi kecintaan kepada baginda SAW jikalau kita memekakkan telinga dan membutakan mata terhadap isu penghinaan terhadap Rasulullah . Selain daripada kewajiban membantah kebiadapan kerajaan BJP di India dalam pelbagai isu melibatkan Islam maka kita juga perlu menghidupkan kempen menyintai ar rasul SAW yang berterusan , memberdaya kefahaman awam tentang latar sirah ar Rasul manakala bukan Islam harus diingatkan menghina Nabi Muhammad bukanlah kebebasan bersuara dan manifestasi hak asasi manusia. Menghina ar Rasul SAW bermakna mengundang ketidakamanan dunia dan negara India sedang meniti kesilapan fatal!. Usaha meminta maaf kepada seluruh umat Islam mesti dilakukan dan memastikan tiada lagi penistaan terhadap maruah ar Rasul SAW.

Jauhi amalan khurafat

Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Islam tidak melarang umatnya mengambil wuduk dan mandi di mana-mana sumber air seperti telaga, parit dan kolam selagi tidak melakukan amalan khurafat di tempat berkenaan.

Mufti Kedah Datuk Syeikh Fadzil Awang berkata, hukum mandi di tempat berkenaan adalah harus asalkan tujuan mandi adalah untuk bersejuk-sejuk, mengambil wuduk, solat dan sebagainya.

“Perkara yang dilarang sekiranya ketika mandi atau mengambil wuduk terdapat kelakuan luar biasa yang tidak bersesuaian (iaitu) orang ramai tidak pernah lakukan perkara seperti itu atau ritual tertentu yang dilihat agak pelik dan ganjil yang terdedah kepada kemungkinan dilihat sebagai amalan khurafat.

“Apatah lagi disertakan dengan niat tertentu ketika mandi atau mengambil wuduk seperti dapat menolak bala atau tertunai segala hajat seperti menyembuhkan penyakit, keberkatan dan sebagainya, maka Islam melarang kerana menjerumus seseorang itu kepada dosa dan maksiat serta memcemarkan kesucian agama Islam,” katanya menerusi video Facebook rasmi Jabatan Mufti Kedah, semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan beberapa individu yang didakwa melakukan amalan khurafat di Gunung Jerai, Yan, yang tular di media sosial sehingga mengundang kritikan ramai.

Mengulas lanjut, Fadzil berkata pihaknya menasihatkan agar pengunjung supaya menjauhi perbuatan atau pelakuan yang tidak bersesuaian yang boleh mencemarkan kesucian agama Islam ketika mengunjungi tempat-tempat berkenaan.

Katanya, bagi mencari keberkatan ulamak telah memberi banyak panduan berpandukan al-Quran dan hadis Nabi Muhammad SAW.

“Bagi meluaskan rezeki, mencari keberkatan dan ditunaikan hajat kita, Islam mengajar kita agar menjaga solat lima waktu, selalu beristigfar, berbuat baik kepada ibu bapa, jaga silaturahim, berkasih sayang sesama kita dan banyakkan bersedekah .

“Selain itu antara amalan lain ialah apabila pulang dari satu-satu tempat hendaklah masuk ke dalam rumah dengan memberi salam kepada ahli keluarga dan jangan lakukan maksiat kepada Allah SWT,” jelas beliau.

Fadzil turut mengajak umat Islam menjauhkan amalan khurafat, amalan yang mencemarkan kesucian agama Islam dan menjaga akidah.

“Semoga Allah pelihara iman kita, akidah dan agama kita,” katanya.

Selasa lalu, Fadzil turut memberitahu bahawa beliau bersama pegawai Jabatan Mufti Negeri Kedah melakukan tinjauan ke Gunung Jerai bagi melihat sendiri keadaan di lokasi seperti Telaga Tok Syeikh dan Padang Tok Syeikh.

“Sepanjang kami berada di telaga tiada kelihatan seorang pun yang mandi atau mengamabil wuduk di situ dan pengunjung agak ramai pada hari itu kerana cuti sekolah,” katanya.

Beliau berkata, orang tempatan mengatakan bahawa tidak kelihatan lagi aktiviti pemujaan sejak bencana kepala air yang berlaku sebelum ini.

Antara hiasan dan racun

AMR bin al-As R.A berkata, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

 الدنيا متاع، وخير متاعها المرأة الصالحة  

“Dunia adalah keseronokan. Sebaik-baik keseronokannya adalah wanita solehah.”

[Hadis Riwayat Muslim]

Keseronokan beracun

Asasnya, dunia memang menyeronokkan. Lebih banyak nikmat berbanding musibah. Walaupun ada yang hidup susah, tetapi jika mereka bandingkan antara nikmat dan musibah yang diterima, tiada manusia yang menerima musibah lebih dari nikmat sepanjang hidup mereka.

Nikmat sihat, nikmat muda, nikmat lapang, nikmat berharta, nikmat bernafas. Antara 5 nikmat yang manusia sering lupa untuk bersyukur. Sehingga sedikit musibah yang menimpa membuat mereka menganggap Allah tidak pernah berikan mereka apa-apa!

Namun jaga-jaga, nikmat yang tidak diurus dengan baik akan melemaskan kita dalam kelalaian. Jadi mabuk hilang waras. Jadi ketagih mahukan lebih banyak. Jadi bosan mahu rasa benda baru sentiasa. Jadi kemaruk lupa diri.

Akhirnya lupa bahawa dunia hanyalah sebuah lebuhraya menuju destinasi abadi; sama ada syurga atau neraka. Firman Allah S.W.T:

  وَمَا ٱلۡحَيَوٰةُ ٱلدُّنۡيَآ إِلَّا مَتَٰعُ ٱلۡغُرُورِ

“Tiadalah dunia itu melainkan keseronokan yang melemaskan.”

[ali-`Imran: 185]

Solehah

Namun terdapat keseronokan yang tidak memabukkan. Keseronokan pada level yang optimum daripada terlampau seronok. Keseronokan yang tidak mengsia-siakan peluang menikmati perjalanan di lebuhraya dunia, tetapi dalam waktu sama tidak mengabaikan matlamat menuju destinasi bahagia nan abadi.

Itulah wanita solehah. Mereka adalah sebahagian hiasan dunia. Tanpa mereka, hilanglah seri dunia. Tiada mereka, kelamlah bumi.

Namun kalau sekadar wanita, ia hanya hiasan semata-mata. Tiada beza dengan hiasan dunia lain. Yang membezakan mereka, mengistimewakan mereka adalah sifat solehah.

Apa solehah? Apa-apa yang valid untuk dibawa ke akhirat. Seperti amal soleh, wanita solehah bermaksud yang tidak sia-sia. Yang bermanfaat untuk dunia dan akhirat.

Wanita solehah adalah yang mengikut SOP agama sebaiknya. Yang menjadi seri dan penyejuk mata dan hati. keluarga. Yang menjaga maruah dan tatasusila dengan ajnabi. Yang boleh diberi kepercayaan oleh keluarga dan masyarakat.

Yang menjadi peneman sepanjang perjalanan hidup dunia, sampailah ke pintu syurga bersama-sama. Bidadari syurga!

Monetizing women

Jangan silap faham. Islam tidak mengobjekkan (objectify) wanita. Mereka bukan benda, mereka manusia. 

Istimewanya, mereka memiliki nilai tambah tersendiri berbanding lelaki. Selain manusia seperti makhluk lelaki, mereka juga hiasan laksana makhluk lain. Kalaulah manusia itu seindah-indah makhluk, maka wanita adalah seindah-indah manusia.

Kerana itulah Islam menetapkan berbagai SOP bagi memelihara mereka. Sesuatu yang indah perlu dijaga rapi agar keindahannya tidak rosak. 

Kalau yang biasa dengan scene bundle atau apa-apa item koleksi, rare item buruan collector akan dijaga serapi mungkin. Sampai sanggup tak pakai. Beli simpan buat hiasan.

Analoginya begitulah. Untuk mudah faham pasal penjagaan. Bukan samakan wanita dengan stok bundle!

Berbeza dengan tamadun kuno yang menjadikan wanita sebagai objek pemuas nafsu. Hamba, dayang, simpanan, peliharaan dan sebagainya. Tamadun kuno tidak menganggap wanita sebahagian dari manusia.

Berbeza juga tamadun moden yang menjadikan wanita sebagai objek material. Model, pelayan, GRO, pelaris dan sebagainya. Mereka menjadikan wanita sebagai alat mendapatkan wang (monetize).

Hatta perjuangan Feminis untuk mengangkat martabat wanita (kononnya) didalangi lelaki yang bermotifkan objektifikasi wanita. Dipaksakan fahaman wanita perlu berada di setiap celah ruang lelaki atas nama kesaksamaan. Tapi hakikatnya mereka mahu manipulasi wanita supaya manusia menerima apa mereka bawa.

Letak model wanita untuk jual kereta. Tayang aksi wanita bagi meraih view. Posisikan wanita dalam politik bagi meraih sokongan. Perdaya wanita bagi menjayakan agenda jahat. Gunakan wanita sebagai mangsa perang, bagi meraih simpati dan demonize musuh.

Itulah hiasan yang beracun.

ALANG IBN SHUKRIMUN 

Ulama Salaf, kontemporari tolak Tajsim

Dr Zamihan Mat Zin al-Ghari

Ulama Salaf (ulama terdahulu) sentiasa menafikan unsur kejisiman dan kelaziman jisim terhadap zat Allah SWT. Antara ulama salaf agung yang menolak doktrin Tajsim melalui karya mereka adalah Imam Abu Hanifah dalam kitabnya Al-Fiqh al-Akbar, Imam at-Thahawi dalam Akidah Tohawiyyah, Imam Malik dalam al-Muwattha’, Imam al-Syafie dalam al-Wasiyyah dan ramai lagi tokoh yang seangkatan dengan mereka.

Manakala Imam Abu al-Hasan al-Asy’ari mengarang kitab Al-Luma’ dan al-Ibanah untuk menolak fahaman ahli bid’ah termasuklah puak Mujassimah. Yakni golongan yang mengkhayalkan tentang zat Allah SWT. Imam Ibn al-Jauzi juga bangkit menentang doktrin akidah yang menisbahkan fahaman Tajsim kepada Imam Ahmad dalam kitab beliau yang berjudul Daf’u Syubah At-Tasybih.

Imam Ibrahim al-Laqqani di dalam Jauharat al-Tauhid, Imam Abu Bakr al-Razi dalam Syarh Bad’ie Al-Amali, Imam al-Sanusi dalam Umm al-Barahin, Imam al-Nasafi dalamAqa’id al-Nasafiyyah dan ramai lagi yang menentang pemikiran Tajsim.

Tidak ketinggalan juga, Imam Ibn Fauraq yang mengarang kitab bagi menentang fahaman Sifatiah Ibn Khuzaimah dan mazhab Syiah Al-Karamiyyah. Begitu juga dengan Imam at-Thabari yang menolak teori Tajsim Ibn Khuzaimah. Imam al-Haramain turut menentang golongan Mujassimah dalam banyak kitab-kitab beliau. Selepas itu, muncul Imam Al-‘Izz bin Abdil Salam, Imam Ibn ‘Asakir, Imam Jamal Ad-Din Al-Hushairi dan Imam al-Ghazali juga turut menentang golongan Tajsim di zaman mereka. Manakala Imam Fakhruddin al-Razi tampil membanteras fahaman Tajsim melalui kitabnya Asas at-Taqdis.

Bagaimanapun Syeikh Ibn Taimiyyah al-Harrani mengarang kitab at-Ta’sis bagi menolak kitab Asas at-Taqdis karangan Imam al-Razi secara keras. Pendekatan Syeikh Ibn Taimiyyah dalam memahami nusus mustasyabihat dilihat membuka semula kaedah-kaedah yang boleh membawa kepada fahaman Tajsim. Bahkan kaedahnya banyak mengundang perdebatan terbuka dalam isu-isu asas akidah.

Teori beliau diteruskan pula oleh muridnya, Ibn Qayyimal-Jauziyyah yang mengarang Qasidah Nuniyyah dan kitab Ijtima’ al-Juyusyh al-Islamiyyah. Kedua-dua kitabnya ini bukan sekadar mendukung teori Ibn Taimiyyah dan golongan Hanabilah Mujassimah, tetapi mereka turut memperjuangkan doktrin ketuhanan Syeikh Ibn Taimiyyah.

Bahkan Ibn Qayyim al-Jauziyyah membuat penentangan yang keras terhadap doktrin al-Sawad al-A’zham yang dipelopori ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah al-Asya’irah. Malahan dalam sesetengah keadaan, beliau dan pengikutnya menjenamakan fahaman yang dirintis golongan ulama al-Asya’irah (dalam bab mentakwil sebahagian nusus) sebagai golongan al-Jahmiyyah. Yakni salah satu cabang golongan sesat. Nau’zubillah min dzalik.

Selepas itu, muncul pula Imam Taqiyuddin As-Subki yang menentang fahaman Tajsim Ibn Qayyim Al-Jauziyah. Imam Taqiyuddin Al-Husni As-Syafi’e juga mengarang kitab Daf’ Syubah Man Syabbah Wa Tamarrad bagi menjelaskan kepincangan unsur mujassimah karangan Ibn Qayyim dan Ibn Taimiyyah al-Harrani.

Demikian juga Imam Fakhruddin As-Syafi’e menentang teori sifat Ibn Taimiyyah dalam kitab beliau Najmu Al-Muhtadi. Kemudian muncul pula pada kurun ke-20, Imam Muhammad Zahid Al-Kauthari yang berperanan besar dalam membanteras fahaman Tajsim moden secara terang-terangan. Begitu juga dengan Syeikh Yusuf An-Nabhani dan Syeikh Yusuf Ad-Dijwi Al-Azhari. Tidak ketinggalan juga Syeikh Salamah Al-Khudho’ie Al-Azzami yang mengarang kitab Al-Barahin As-Sathi’ah fi Radd Ba’dhi Al-Bida’ As-Sya’iah bagi menolak fahaman Tajsim secara ilmiah.

Antara ulama kontemporari yang begitu kuat menentang fahaman Tajsim adalah al-Syahid Syeikh Dr Muhammad Sa’id Ramadhan Al-Buti, (menerusi kitab as-Salafiyyah), Syeikh Abdullah bin al-Siddiq al-Ghumari, Syeikh Ali Jum’ah (mantan Mufti Mesir), Syeikh Ahmad Khalili (Mufti Oman), Syeikh Nizham Ya’qubi (Syria), Syeikh al-Sayyid Yusuf Hasyim al-Rifa’ie (Kuwait), Syeikh Hassan al-Saqqaf (Jordan), Syeikh Mahmud Said al-Mamduh (Mesir) Syeikh Sa’id Fuodah (menerusi kitab Al-Kasyif As-Shoghir, Naqd Ar-Risalah At-Tadammuriyyah), Syeikh Dr Umar Abdullah al-Kamil (Naqd Qowa’id At-Tasybih), Syeikh Habib Umar bin Hafidz (Yaman), Syeikh Wahbi Sulaiman al-Ghawiji, Syeikh Dr Adil Azizah al-Kayyali, Syeikh Abdullah Harari, Syeikh Jamil Halim al-Husaini, Syeikh Jamal Sokhor al-Lubnani, Syeikh Khalil Dar’iyyan al-Azhari dan ramai lagi.

Semoga Allah SWT membantu kita memahami akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan cemerlang dan memberi kekuatan untuk bangkit membanteras penyelewengan fahaman sesat dari persada pemikiran Islam kontemporari. Aamiin.

Penyelewengan akidah sebesar-besar kemungkaran

Dr Zamihan Mat Zin al-Ghari

KESESATAN sesuatu golongan perlu diperjelaskan oleh mereka yang mempunyai ilmu mengenainya. Jika fahaman sesat itu tidak dibendung ia pasti mengundang fitnah yang lebih besar terhadap Islam dan umatnya.

Adapun sikap menyembunyikan ilmu dan mendiamkan diri daripada membanteras golongan sesat yang semakin berleluasa adalah sikap tercela. Buktinya Allah SWT berfirman bermaksud: “Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia dan beriman kepada Allah, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar.” Surah ali-Imran: 110

Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang melihat kemungkaran maka cegahlah ia dengan tangannya (kekuasaan). Jika tidak mampu maka hendaklah dia mencegah dengan lisannya. Jika tidak mampu maka cegahlah dengan hatinya. Itu selemah-lemah iman.” Hadis Riwayat Imam Muslim

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang yang menyembunyikan ilmunya seumpama orang yang menyembunyikan apa diturunkan oleh Allah SWT ke atas Muhammad.” Hadis Riwayat Ibn Majah dan At-Thabrani dengan sanad yang daif, tetapi maknanya sahih

Berdasarkan dalil di atas, jelas kepada kita bahawa mereka yang tidak menegakkan kebenaran dan mendiamkan diri daripada membanteras suatu kesesatan dikira tidak menegakkan yang makruf serta tidak juga mencegah kemungkaran. Golongan ini dicela oleh syarak. Ini kerana penyelewengan dalam masalah akidah adalah sebesar-besar kemungkaran yang ada.

Justeru, fahaman Tajsim atas nama apa pun (seperti Tauhid Rububiyyah, Tauhid Uluhiyyah, Tauhid al-Asma’ wa as-Sifat dan lain-lain) sama ada dipromosi golongan mana sekalipun perlu dibanteras kerana kesesatannya amat jelas menurut al-Quran, as-Sunnah dan ijmak ulama Ahlus Sunnah Wal Jamaah sejak zaman Salaf al-Soleh hingga kini.

Pokoknya, al-Quran dan al-Sunnah adalah neraca kebenaran tertinggi terutama dalam masalah yang melibatkan akidah. Kita perlu menjelaskan setiap inci penyelewengan fahaman Tajsim dan aliran pemikiran yang berasaskan kepada doktrin itu secara terbuka. Usaha ini perlu dilakukan bagi mempertahankan kemurniaan akidah Ahli Sunah Waljamaah.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya umat aku (umat Islam) tidak akan berhimpun atas kesesatan. Jika kamu melihat perselisihan (dalam kalangan mereka) maka hendaklah kamu mengikuti as-Sawadul A’zhom (majoriti umat Islam). Sesungguhnya sesiapa yang terasing maka dia akan terasing dalam neraka.” Hadis Riwayat Ibn Majah

Daripada Ibn Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda lagi: “Sesungguhnya Allah SWT tidak akan menghimpunkan umat ini (umat Islam) dalam kesesatan selama-lamanya. Yadd (bantuan) Allah itu bersama-sama jamaah. Maka hendaklah kamu mengikuti as-Sawadul A’zhom (majoriti ulama dan umat Islam).” Hadis Riwayat al-Hakim daripada ad-Dhiya’ al-Maqdisi

Kami akan memaparkan bukti jelas tentang asas akidah as-Sawad al-A’zhom (majoriti ulama dan umat Islam) dalam menolak fahaman Tajsim dan kelaziman fahaman tersebut semenjak zaman Salafus-soleh (zaman awal Islam) sehingga kini. Kronologi ini membuktikan kepada kita as-Sawad al-A’zhom juga dipelopori golongan al-Asyairah dan al-Maturidiyyah. Justeru, mana-mana pihak yang menentang prinsip akidah Ahli Sunah Waljamaah yang diperjuangkan golongan ini boleh dianggap golongan menyeleweng dalam memahami akidah.

Ulama Salaf (ulama terdahulu) sentiasa menafikan unsur kejisiman dan kelaziman jisim terhadap zat Allah SWT. Antara ulama salaf agung menolak doktrin Tajsim melalui karya mereka adalah Imam Abu Hanifah dalam kitabnya Al-Fiqh al-Akbar, Imam at-Thahawi dalam Akidah Tohawiyyah, Imam Malik dalam al-Muwattha’, Imam al-Syafii dalam al-Wasiyyah dan ramai lagi tokoh seangkatan dengan mereka.

Imam Abu al-Hasan al-Asy’ari mengarang kitab Al-Luma’ dan al-Ibanah untuk menolak fahaman ahli bidaah termasuk puak Mujassimah, yakni golongan mengkhayalkan zat Allah SWT.

Imam Ibn al-Jauzi juga menentang doktrin akidah yang menisbahkan fahaman Tajsim kepada Imam Ahmad dalam kitab beliau yang berjudul Daf’u Syubah At-Tasybih. Imam Ibrahim al-Laqqani di dalam Jauharat al-Tauhid, Imam Abu Bakr al-Razi dalam Syarh Bad’ie Al-Amali, Imam al-Sanusi dalam Umm al-Barahin, Imam al-Nasafi dalam Aqaid al-Nasafiyyah dan ramai lagi menentang pemikiran Tajsim.

Tidak ketinggalan juga, Imam Ibn Fauraq yang mengarang kitab bagi menentang fahaman Sifatiah Ibn Khuzaimah dan mazhab Syiah al-Karamiyyah. Begitu juga dengan Imam at-Thabari yang menolak teori Tajsim Ibn Khuzaimah. Imam al-Haramain turut menentang golongan Mujassimah dalam banyak kitab beliau. Selepas itu, muncul Imam Al-‘Izz bin Abdil Salam, Imam Ibn ‘Asakir, Imam Jamal Ad-Din Al-Hushairi dan Imam al-Ghazali juga turut menentang golongan Tajsim pada zaman mereka. Imam Fakhruddin al-Razi pula tampil membanteras fahaman Tajsim melalui kitabnya, Asas at-Taqdis.

Bagaimanapun Syeikh Ibn Taimiyyah al-Harrani mengarang kitab at-Ta’sis bagi menolak kitab Asas at-Taqdis karangan Imam al-Razi secara keras. Pendekatan Syeikh Ibn Taimiyyah dalam memahami nusus Mustasyabihat dilihat membuka semula kaedah yang boleh membawa kepada fahaman Tajsim. Bahkan kaedahnya banyak mengundang perdebatan terbuka dalam isu asas akidah. Teori beliau diteruskan pula oleh muridnya, Ibn Qayyim al-Jauziyyah yang mengarang Qasidah Nuniyyah dan kitab Ijtima’ al-Juyusyh al-Islamiyyah.

Kedua-dua kitabnya ini bukan sekadar mendukung teori Ibn Taimiyyah dan golongan Hanabilah Mujassimah, tetapi mereka turut memperjuangkan doktrin ketuhanan Syeikh Ibn Taimiyyah. Bahkan Ibn Qayyim al-Jauziyyah membuat penentangan yang keras terhadap doktrin al-Sawad al-A’zham yang dipelopori ulama Ahlus-Sunnah al-Asya’irah. Malahan dalam sesetengah keadaan, beliau dan pengikutnya menjenamakan fahaman yang dirintis golongan ulama al-Asyairah (dalam bab mentakwil sebahagian nusus) sebagai golongan al-Jahmiyyah, yakni salah satu cabang golongan sesat. Nau’zubillah min dzalik.

Selepas itu, muncul pula Imam Taqiyuddin As-Subki yang menentang fahaman Tajsim Ibn Qayyim Al-Jauziyah. Imam Taqiyuddin Al-Husni As-Syafi’e juga mengarang kitab Daf’ Syubah Man Syabbah Wa Tamarrad bagi menjelaskan kepincangan unsur Mujassimah karangan Ibn Qayyim dan Ibn Taimiyyah al-Harrani. Demikian juga Imam Fakhruddin As-Syafi’e tampil menentang teori sifat Ibn Taimiyyah dalam kitab beliau Najmu Al-Muhtadi.

Kemudian muncul pula pada kurun ke-20, Imam Muhammad Zahid Al-Kauthari yang berperanan besar dalam membanteras fahaman Tajsim moden secara terang-terangan. Begitu juga dengan Syeikh Yusuf An-Nabhani dan Syeikh Yusuf Ad-Dijwi Al-Azhari. Tidak ketinggalan juga Syeikh Salamah Al-Khudho’ie Al-Azzami yang mengarang kitab Al-Barahin As-Sathi’ah fi Radd Ba’dhi Al-Bida’ As-Sya’iah bagi menolak fahaman Tajsim secara ilmiah.

Antara ulama kontemporari yang begitu kuat menentang fahaman Tajsim adalah Syeikh Dr Muhammad Sa’id Ramadhan Al-Buti (dalam kitab as-Salafiyyah), Syeikh Abdullah bin al-Siddiq al-Ghumari, Syeikh Ali Jum’ah (Mufti Mesir), Syeikh Ahmad Khalili (Mufti Oman), Syeikh Nizham Ya’qubi (Syria), Syeikh al-Sayyid Yusuf Hasyim al-Rifa’ie (Kuwait), Syeikh Hassan al-Saqqaf (Jordan), Syeikh Mahmud Said al-Mamduh (Mesir) Syeikh Sa’id Fuodah (dalam kitab Al-Kasyif As-Shoghir, Naqd Ar-Risalah At-Tadammuriyyah), Syeikh Dr Umar Abdullah al-Kamil (Naqd Qowa’id At-Tasybih), Syeikh Habib Umar bin Hafidz (Yaman), Syeikh Wahbi Sulaiman al-Ghawiji, Syeikh Dr Adil Azizah al-Kayyali, Syeikh Abdullah Harari, Syeikh Jamil Halim al-Husaini, Syeikh Jamal Sokhor al-Lubnani, Syeikh Khalil Dariyyan al-Azhari dan ramai lagi.

Semoga Allah SWT membantu kita membanteras penyelewengan fahaman Tajsim daripada persada pemikiran Islam kontemporari.

Memahami definisi Tajsim

Dr Zamihan Mat Zin al-Ghari

Memandangkan lafaz Tajsim berasal daripada bahasa Arab maka pengertiannya perlu dinilai daripada dua sudut iaitu sudut bahasa dan istilah.

Daripada sudut bahasa: Lafaz Tajsim dalam bahasa Arab berasal daripada perkataan jisim. Jisim dalam bahasa Arab bererti sesuatu yang tercantum oleh dua bahagian atau lebih iaitu sesuatu yang mempunyai cantuman dua jauhar (benda) atau lebih.

Jauhar pula sesuatu yang mengambil ruang atau tempat. Maknanya, ia mempunyai had, batasan, ukuran dan bentuk. Perlu diketahui jisim mempunyai pengertian yang hampir sama dengan jirim, jasad, jauhar dan lain-lain. Bagaimanapun jika dinilai secara terperinci ketiga-tiga perkataan tersebut mempunyai makna berbeza.

Syeikh Al-Lughowi Fairuz Abadi berkata: “Jasad adalah jisim insan, jin, malaikat dan lain-lain.” (Al-Qomus Al-Muhith)

Dalam Mukhtar As-Sihah ada disebut tentang perkataan “Jasad: Jasad iaitu badan. Dikatakan sesuatu itu berjasad samalah juga mengatakan sesuatu itu berjisim.”

Dalam kitab yang sama, ketika mensyarahkan perkataan jisim Imam al-Razi mengatakan jisim adalah jasad.

Dalam Lisanul-Arab, perkataan jasad disebut: “Jasad: Jisim manusia.”

Menurut ulama al-Asya’irah: “Jisim ialah sesuatu yang mengisi ruang yang boleh dibahagikan walaupun dari satu sudut.” (Hasyiyah Al-‘Athor ‘ala Maqulat Al-Balidi m/s 117)

Imam As-Syarif Al-Jurjani berkata: “Jisim menurut bahasa ialah sesuatu yang mengandungi At-Tarkib (susunan) dan At-Talif (cantuman).” (Syarh Al-Mawaqif: 2/192)

Syeikh Solahuddin Al-Idlibi berkata dalam kitab Aqa’id Al-Asya’irah (m/s 91): “Jauhar ialah sesuatu yang mengisi ruang (mengambil ruang) yang mana ia mempunyai saiz (ukuran) dan mengambil ruang mengikut saiznya. Al-‘Ardh ialah suatu makna yang berada pada jauhar (iaitu sifat). Jisim ialah cantuman antara beberapa jauhar.” (rujuk juga kitab Al-Mu’tamad m/s 35 dan 36 oleh Syeikhul Hanabilah Al-Qadhi Abu Ya’la)

Syeikh Sa’id Fudah menyimpulkan dengan berkata: “Kebanyakan perkataan menurut ulama ialah jisim itu suatu yang mengisi ruang dan suatu yang tersusun (tercantum).” (Al-Kasyif As-Shoghir m/s 126)

Daripada sudut Istilah: Fahaman Tajsim ialah fahaman yang menjisimkan Allah SWT dengan menetapkan at-Tarkib atau cantuman tertentu bagi Dzat Allah SWT.

Pernyataan ini mengunjurkan kelaziman sesuatu jisim seperti berbentuk, beranggota, bertubuh, bergerak-gerak, bertempat, berbatas dan lain-lain yang kesemuanya adalah kelaziman sesuatu jisim.

Seseorang boleh dikatakan berfahaman Tajsim apabila dia percaya Allah SWT itu suatu jisim atau dia menetapkan kelaziman jisim walaupun tidak menyebutnya sebagai jisim.

Dengan demikian, dia telah menetapkan cantuman atau keanggotaan bagi zat Allah SWT. Yakni menetapkan bentuk, tubuh, ukuran, batasan, tempat dan pergerakan bagi zat-Nya. Sedangkan Maha Suci Allah SWT dari semua unsur berkenaan.

Fahaman Tajsim adalah sebahagian daripada tasybih (menyerupakan Allah SWT dengan makhluk) kerana ia menyamakan zat Allah SWT dengan makhluk dari sudut kejisiman makhluk itu sendiri.

Walaupun sebahagian pelopor Mujassimah mengaku menolak Tasybih, namun mereka sekadar menolak Tasybih Taamm iaitu menyamakan Allah SWT secara menyeluruh.  Al-Irsyad Imam Al-Haramain, m/s 23, Al-Isyarah karangan Imam Al-Syirazi: Bab Allah Laisa Bijismin dan Asas at-Taqdis karangan Imam al-Razi m/s 30.

Sedangkan mereka tidak menolak konsep Tasybih Juz’ie iaitu menyamakan satu sudut sifat Allah SWT dengan sifat makhluk.

Mereka mendakwa Tajsim bukanlah Tasybih. Sebaliknya mereka hanya menetapkan (isbat) apa yang ditetapkan oleh Allah SWT. Padahal tidak pernah wujud dalil sama sekali seseorang itu wajib menetapkan makna zahir bagi nas mutasyabihat sehingga membawa maksud kejisiman bagi Allah SWT.

Sebaliknya terdapat dalil yang jelas melarang seseorang menetapkan makna zahir bagi nas Mutasyabihat sebagaimana yang terdapat dalam Surah ali-Imran ayat 7 bermaksud: “Dialah yang menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci al-Quran. Sebahagian besar daripada al-Quran itu mengandungi ayat ‘Muhkamaat’ (yang tetap, tegas dan nyata maksudnya); ayat Muhkamaat itu ialah induk (atau pokok) al-Quran. Dan yang lain adalah ayat ‘Mutasyabihat’ (yang samar-samar, tidak terang maksudnya). Oleh sebab itu (timbulah faham yang berlainan menurut kandungan hati masing-masing) – adapun orang yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan maka mereka selalu menurut apa yang samar-samar daripada al-Quran untuk mencari fitnah dan mencari-cari takwilnya (memutarkan maksud menurut yang disukainya). Padahal tidak ada yang mengetahui takwilnya (maksudnya yang sebenar) melainkan Allah. Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu agama berkata: “Kami beriman kepada-Nya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami”. Dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikir.”  

Ayat ini menjelaskan wujudnya takwil (makna lain) bagi nas mutasyabihat. Ia membuktikan bahawa kita tidak boleh memahami nas mutasyabihat dengan makna zahir atau dengan maknanya dari sudut bahasa (ma’na lughowi). Ini kerana ada makna lain yang dimaksudkan oleh Allah SWT daripada nas-nas mutasyabihat. Pengambilan makna zahir bagi nas mutasyabihat bererti menafikan kewujudan takwil (makna lain) yang ditetapkan oleh Allah SWT bagi nas mutasyabihat tersebut.

Manakala Jisim pula pada hakikatnya merupakan sifat khusus bagi makhluk Allah SWT. 

Ini kerana jirim atau jisim mempunyai ciri-ciri seperti beranggota (tercantum dari beberapa bahagian), berbentuk, berukuran, mempunyai batasan, bertempat dan lain-lain. Ia adalah ciri-ciri makhluk yang terbatas sedangkan kewujudan Allah SWT terlepas daripada ciri-ciri keterbatasan makhluk. 

Sesiapa yang mendakwa bahawa Allah SWT itu berjisim atau menetapkan mana-mana kelaziman jisim bagi Allah bererti dia telah menganut fahaman Tajsim dan menyimpang daripada akidah Islam yang murni.

Tamsil, Tasybih dan Tajsim 

Seseorang yang ingin mendalami permasalahan Tajsim perlu tahu perbezaan antara Tamsil, Tasybih dan Tajsim daripada sudut penggunaannya dalam lapangan akidah. 

Tasybih ialah menyamakan Allah SWT dengan makhluk sama ada daripada satu sudut daripada sudut penyerupaan dengan makhluk ataupun daripada semua (segenap) sudut persamaan. Adapun menyerupakan Allah SWT dengan makhluk daripada segenap sudut sifat-sifat makhluk dikenali sebagai Tasybih Tamm. Manakala menyamakan Allah SWT dengan makhluk daripada sebahagian sifat makhluk dikenali sebagai Tasybih Juz’ie. 

Tamsil ialah menyamakan secara keseluruhan sifat-sifat Allah SWT dengan sifat-sifat makhluk. Boleh dikatakan Tamsil adalah Tasybih Tamm. 

Tajsim mempercayai Allah SWT memiliki anggota badan. Ia salah satu daripada jenis Tasybih Juz’ie. 

Kekadang seseorang itu menafikan Tasybih Tamm tetapi tidak menafikan Tasybih Juz’ie. 

Contoh Tasybih Tamm atau Tamsil ialah seseorang berkata bahawa Allah SWT itu berjisim seperti jisim-jisim makhluk. Ini suatu contoh penyerupaan terhadap zat Allah SWT dengan jisim makhluk. Nauzubillah! 

Adapun contoh Tasybih Juz’ie ialah seseorang berkata Allah SWT itu berjisim tetapi bukan seperti jisim makhluk. Atau seseorang berkata: Allah SWT mempunyai tangan yang merupakan satu anggota daripada zat Allah SWT tetapi tangan-Nya tidak seperti tangan makhluk.  Kenyataan ini memanifestasikan penyamaan Allah SWT dengan salah satu daripada anggota badan makhluk. Ia Tasybih Juz’ie yang sering berlegar di lidah Musyabbihah, Mujassimah, Hasyawiyah dan golongan menyeleweng. 

Imam Fakhruddin al-Razi berkata: “Jikalau Allah SWT itu (dikatakan) berjisim maka semestinya Dia akan menyerupai hakikat jisim-jisim yang lain secara menyeluruh, maka jika begitu ia (Tajsim) juga adalah tasybih (menyerupakan Allah SWT dengan makhluk).” (Asas At-Taqdis m/s 141) 

Maksud perkataan Al-Imam al-Razi di atas ialah jika seseorang itu mendakwa bahawa Allah SWT berjisim, maka secara tidak langsung dia menetapkan Allah SWT menyerupai kelaziman makhluk itu sendiri seperti bertempat, mempunyai rupa bentuk, batasan dan lain-lain. 

Sebahagian ulama al-Asya’irah menjelaskan Tajsim adalah salah satu daripada kompenan Tasybih tetapi ada perinciannya. Jika Tajsim itu Tajsim shorih (Tajsim yang jelas) seperti seseorang berkata: “Jisim Allah SWT itu sama dengan jisim-jisim makhluk” maka ia juga termasuk dalam Tasybih Taam dan Tamsil kerana menyamakan zat dan sifat Allah SWT dengan zat dan sifat makhluk secara menyeluruh. 

Adapun Tajsim Ghair Shorih (Tajsim yang tidak jelas) seperti seseorang menetapkan salah satu atau sebahagian kelaziman jisim seperti menetapkan sudut bagi Allah SWT atau menetapkan ‘tempat’ bagi Allah SWT tanpa menetapkan perkataan jisim bagi Allah SWT maka ia dikira Tasybih Juz’ie (cabang tasybih).

Karya seni hasil saham akhirat

Datuk Mohd Ajib Ismail

Seni dalam pelbagai bentuk seperti lakonan, nyayian, tarian dan lukisan adalah saluran dakwah bagi menyampaikan mesej kebaikan dalam masyarakat. Sebahagian golongan menjadikan seni sebagai punca rezeki dan meraih pendapatan. Justeru ramai juga penggiat seni khususnya dalam industri filem dan drama yang terkesan ketika negara berhadapan wabak pandemik Covid-19 kerana tidak dapat menjalankan sebarang penggambaran dan produksi. Namun kelonggaran yang ditetapkan susulan situasi negara yang semakin pulih memberikan ruang kepada golongan seni untuk kembali beraksi.

Sebelum kewujudan pelbagai teknologi media dalam pembikinan filem dan drama, al-Quran menjadi sumber utama yang merakamkan dan menggambarkan pelbagai kisah pengajaran bagi menyampaikan mesej peringatan kepada umat manusia agar menjalani kehidupan berlandaskan syariat. Kini seni lakonan sering digunakan sebagai medium mempromosi, mempengaruhi dan meraih populariti. Maka tercetuslah pelbagai idea kreatif yang kemudian menghasilkan jalan cerita menarik dan mengujakan untuk tontonan ramai. Lakonan yang dipersembahkan dalam drama dan filem sering dilihat mampu membentuk persepsi dan budaya masyarakat sehingga menjadi bahan yang diperdebatkan.

Hakikatnya ajaran Islam sudah memberikan panduan tentang kandungan penyampaian melalui filem dan drama agar selaras dengan matlamat dakwah iaitu menjauhi elemen kemungkaran, mematuhi adab dan akhlak Islamiyah, membudayakan tanggungjawab sosial dan prinsip bekerjasama dalam melakukan kebajikan dan menentang keburukan serta mempromosikan keadilan sejagat. Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 104 yang bermaksud: “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.”

Namun malang sekali apabila umat Islam disajikan dengan kandungan hiburan yang yang menyalahi norma dan moral sehingga mempengaruhi gaya hidup serta akhirnya menjadikan jiwa masyarakat tidak sensitif dan peka terhadap ajaran agama. Filem dan drama menyumbang kepada pembentukan akhlak kerana masyarakat dari pelbagai peringkat usia sama ada kanak-kanak sehinggalah orang tua mudah tertarik dan terpengaruh dengan apa yang ditonton dan disajikan di media. Justeru bantahan pelbagai pihak terhadap klip video sebuah drama tempatan yang tular baru-baru ini adalah tindakan yang wajar sebagai tanda kegusaran dan keprihatinan masyarakat untuk turut sama mengekang amalan yang bercanggah dengan panduan agama.

Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Setiap umatku diberikan kemaafan melainkan golongan al-Mujahirin. Sesungguhnya di antara perbuatan mendedahkan dosa itu adalah, seorang lelaki itu melakukan perbuatan dosa pada satu malam. Kemudian dia bangun pagi dalam keadaan Allah telah menutup keaiban dirinya. Lalu dia menceritakan kepada orang lain dengan katanya: “Wahai si fulan, semalam aku telah melakukan perbuatan dosa itu dan ini”. Sedangkan dia telah tidur dalam keadaan Allah menutup keaiban dirinya, lalu dia bangun dan mendedahkan apa yang Allah tutupkan dari dirinya” – (Riwayat Al-Bukhari). Berbangga dengan perlakuan maksiat dan menganggap perkara biasa dalam masyarakat disifatkan sebagai petanda akhir zaman. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Nur ayat 19 bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian)”. Ayat tersebut menjelaskan golongan yang suka menghebahkan perbuatan keji dan memalukan seperti zina akan dikenakan azab oleh Allah SWT.

Di dalam hal ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyediakan Garis Panduan Hiburan Dalam Islam yang dikemaskini pada 2015, hasil Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) kali ke-107 sebagai rujukan kepada pelbagai pihak yang terlibat di dalam industri hiburan. Ia dapat dijadikan panduan di dalam usaha mewujudkan masyarakat yang dapat mengamalkan, menghayati dan menikmati hiburan berteraskan nilai akhlak dan syariat Islam. Di dalam garis panduan tersebut ditegaskan bahawa hiburan sepatutnya mencapai maksud dan prinsip Islam yang menekankan ke arah kesejahteraan umat manusia.

Selain bermatlamatkan kebaikan dan kesejahteraan, sesuatu program hiburan yang dianjurkan harus mengambil kira masa yang bersesuaian dengan sensitiviti masyarakat dan ajaran Islam. Hiburan juga tidak harus melalaikan dan jauh dari sebarang unsur syubhah atau situasi yang boleh mengundang kepada fitnah selaras dengan kaedah yang bermaksud ‘berhati-hatilah kalian dengan ruang-ruang tohmahan’. Kaedah ini diambil daripada kata-kata Saidina Umar RA yang maksudnya: “Barangsiapa yang menempuhi laluan-laluan tohmahan, akan ditohmah.”

Oleh itu, sebarang perkara yang berisiko menimbulkan fitnah, hendaklah sedaya upaya dielakkan kerana ia akan memberi kesan yang buruk untuk jangka masa pendek mahupun panjang.

Tanggungjawab penggiat seni adalah menghasilkan kandungan yang baik manakala peranan masyarakat adalah memilih bahan tontonan yang bermanfaat. Kebijaksanaan menggarap idea dalam menyampaikan mesej dakwah diperlukan agar masyarakat tidak hanyut dengan pengisian yang tergelincir daripada landasan Islam. Berhadapan dengan pelbagai medium dan saluran hiburan masa kini, masyarakat harus bijak memilih dan meletakkan syarat kepada diri sendiri dan ahli keluarga agar tidak tersasar dalam membuat pilihan.

Tanggungjawab berkenaan juga berlandaskan prinsip untuk bersama-sama menyumbang dalam membina tamadun umat yang berkualiti dan berakhlak tinggi. Perkara tersebut bukanlah mustahil kerana sudah terbukti banyak drama dan filem yang dihasilkan dapat meninggalkan kesan yang baik kepada masyarakat. Karya seni dan hiburan yang mendorong kepada perubahan, lebih-lebih lagi di bulan Ramadan yang menjelang tiba, memberikan makna yang besar kepada penonton dan memberikan saham akhirat yang besar buat pembikin drama dan filem. Ia adalah sebuah perhitungan dosa dan pahala yang berpanjangan sebagaimana hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa mencontohkan dalam Islam suatu contoh yang baik, maka ia akan mendapatkan pahalanya dan pahala orang yang melakukannya setelahnya; tanpa berkurang sesuatu apapun dari pahala mereka. Dan barangsiapa yang mencontohkan dalam Islam suatu contoh yang buruk, maka ia menanggung dosanya dan dosa orang yang mengerjakannya setelah dia, tanpa berkurang sesuatu pun dari dosa-dosa mereka.” (Riwayat Muslim)

Guru pembentuk jasmani dan rohani

GURU bukan sahaja pendidik yang sarat dengan ilmu di dada untuk digarapkan kepada murid, malah tugasannya lebih dari itu. Tugasannya pula bukan sahaja bermula dengan kelas di sekolah semata-mata, tetapi juga di persekitaran dan lapangan berbeza. Benar kata pujangga, jika guru gagal membentuk peribadi seorang murid, tidak mustahil satu generasi boleh rosak. Hayatilah bait pujangga berikut:

لو لا معلمي ما عرفت خير

۩ ﻟﻮﻻ ﺍلمربي ﻟﻜﺎﻥ ﺍﻟﻨﺎﺱ ﻛﺎﻟﺒﻬﺎﺋﻢ.

“Kalaulah tidak kerana guru, tiadalah aku kenal kebaikan. Kalaulah tidak kerana guru nescaya manusia itu seperti binatang-binatang pemeliharaan”

Muslimin-muslimat yang dikasihi Allah sekalian, ingatlah bahawasanya guru antara golongan terawal dalam memberikan kita ilmu dan dengan ilmu yang diperoleh itulah, kita mampu mendapat dunia dan juga akhirat. 

Peranan guru di bulan Ramadan

Peranan guru sudah sedia maklum keberkesanannya dalam membentuk generasi Rabbani. Di hari-hari biasa pendidikan dalam kelas mesti menjadi keutamaan para guru. Namun, dengan kehadiran Ramadan, guru-guru mestilah memanfaatkan bulan yang mulia ini untuk memainkan peranan dalam membentuk generasi Ramadani pula. 

Di rumah, anak-anak dibentuk oleh ibu bapa manakala di sekolah pula anak-anak kita akan dibentuk oleh guru-guru. Kita tidak dapat menafikan, ada ketikanya guru-guru lebih lama mempunyai masa dan ruang untuk bersama anak-anak berbanding ibu bapa. Maka peranan guru amat besar sekali dalam mendidik anak bangsa. Marilah kita renungi nasihat Imam Asy-Syafi’i Rahimahullah Ta’ala berikut: 

اِصْبِرْ عَلَى مُرِّ الجَفَا مِنْ مُعَلِّمٍ فَإنَّ رُسُوبَ العِلْمِ فِي نَفَرَاتِهِ

وَمَنْ لَمْ يَذُقّ مُرَّ التَعَلُّمِ سَاعَةً تَجَرَّعَ نُلَّ الجَهْلِ طُوْلَ حَيَاتِهِ

وَمَنْ فَاتَهُ التَّعْلِيمُ وَقْتَ شَبَابِهِ فَكَبِّرْ عَلَيْهِ أَرْبَعاً لِوَفَاتِهِ

وَذَاتُ الْفَتَى ـ وَاللَّهِ ـ بِالْعِلْمِ وَالتُّقَى إِذَا لَمْ يَكُونَا لَا اعْتِبَارَ لِذَاتِهِ

“Bersabarlah atas pedihnya kekerasan seorang guru,

Sungguh, kegagalan ilmu jika menjauhinya,

Dan barangsiapa yang tidak merasakan pedihnya belajar sesaat,

Akan menelan hinanya kebodohan sepanjang hidupnya,

Dan barangsiapa hilang (waktunya) menuntut ilmu di waktu muda,

Maka bertakbirlah empat kali atas kematiannya,

Demi Allah hakikat seorang pemuda adalah dengan ilmu dan takwa, 

Bila keduanya tidak ada maka tidak ada anggapan baginya.”

Ramadan merupakan medan ujian untuk guru-guru menyebarkan ilmu. Saban hari di sekolah guru-guru tidak jemu menghidupkan Ramadan dengan program-program rohani buat santapan jiwa anak-anak. Ia bukan sekadar memenuhi tanggungjawab melaksanakan satu program wajib di bawah Unit Dakwah Panitia Pendidikan Islam semata-mata, akan tetapi telah menjadi kewajipan guru-guru untuk menerapkan ilmu teori dan amali kepada anak-anak berkaitan puasa, kelebihan serta ilmu berkaitannya.

Perkasakan program Ihya’ Ramadan di sekolah

Puasa juga adalah salah satu isi kandungan dalam mata pelajaran Pendidikan Agama Islam. Tugasan guru dalam menerapkan kelebihan-kelebihan puasa pada murid amat besar. Bukan sekadar memenuhi silibus buku teks sahaja, malah lebih dari itu. Yakinlah mengajar, membimbing anak-anak mengenai puasa dan kelebihan Ramadan sudah tentu berpahala. Dalam masa yang sama ia turut memenuhi etika seorang guru dalam mendidik anak-anak untuk memahami kehidupan beragama.

Justeru, hari ini di seluruh sekolah mengadakan program Ihya’ Ramadan bagi memberi ruang kepada anak-anak untuk mengkaji dan memahami Ramadan dengan erti kata yang sebenar. Bermula dengan tazkirah di awal waktu sebelum bermulanya proses Pembelajaran dan Pengajaran (PdP), tadarus di waktu rehat, menganjurkan pelbagai acara berkaitan ilmu di bulan Ramadan seperti kuiz Ramadan, pertandingan azan, iqamat dan selawat Ramadan, menulis khat atau kaligrafi Ramadan, ceramah Nuzul al-Quran, ceramah Badar al-kubro dan banyak lagi.

Ramadan wasilah guru tambah pahala

Ini adalah medan percambahan ilmu buat anak-anak di sekolah di mana mereka dihubungkan dengan realiti amalan-amalan untuk mengimarahkan bulan Ramadan. Alangkah beruntungnya anak-anak bangsa pada hari ini, apabila tugas tambahan guru ini diambil peluang untuk mereka mengisi bekalan ilmu di dada. Ramadan sewajarnya bukan sekadar menjadi amalan puasa sahaja buat guru-guru, malah ia merupakan wasilah guru untuk menambah pahala dengan setiap tutur baris kata-katanya menyampaikan ilmu demi anak-anak bangsa. 

Ramadan yang dilalui guru-guru dan anak-anak di sekolah tidak sama dengan masa berada di rumah. Di sekolah meskipun sedang berpuasa, penyampaian ilmu tetap diteruskan seperti biasa walaupun berhadapan penat dan letih. Namun, jika di rumah anak-anak bersama ibu bapa ada ketika boleh merehatkan mata dengan tidur. Amat berbeza sekali dengan guru.  Di sekolah,tiada istilah penat dan boleh lena begitu sahaja buat mereka walaupun letih berpuasa. Inilah cabaran mengajar ketika berpuasa. Demi masa depan anak-anak bangsa, guru terus cekal menyampaikan ilmu.  

Sudah menjadi budaya pendidik dalam apa jua keadaan, anak-anak didik mesti diutamakan. Tidak boleh sama sekali menjadikan alasan puasa untuk tidak mengajar ketika PdP. Alangkah indahnya Ramadan buat para guru. Di samping rutin mengajar, mereka turut mendapat pahala beribadah. Bayangkan betapa banyaknya pahala guru mendidik anak-anak bangsa ketika Ramadan lebih-lebih lagi apabila mereka berjaya membentuk generasi Ramadani dengan kesempurnaan puasa dan ibadat hasil penerapan nilai dari kita yang bergelar guru! Terima kasih cikgu! Teruskan wahai guru!

USTAZ NORDIN AHMAD SIDEK