Keajaiban Bersedekah

Oleh ZUARIDA MOHYIN

AMALAN bersedekah seringkali dianggap sebagai hak individu. Bermaksud, sesiapa yang hendak bersedekah, ia dialu-alukan. Bagi mereka yang tidak mahu, tidak mengapa dan tiada paksaan.

Sebenarnya, persepsi sebegini timbul kerana ramai daripada kita tidak memahami apa itu sedekah. Padahal, seandainya kita menyelami dan mendalami konsep sedekah ini secara bersungguh-sungguh, ia mampu membuka dan menjernihkan hati dan minda kita.

Hakikatnya, dengan bersedekah ia mengandungi kekuatan ataupun keajaiban yang dahsyat dalam menarik keuntungan, kekayaan dan kejayaan, bukan hanya dalam konteks kehidupan di dunia, malah dalam konteks kehidupan di akhirat juga.

Demikian yang cuba dikupas dalam buku terbitan PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd., Ajaibnya Sedekah Semakin Bersedekah Semakin Kaya.

Selain menjelaskan perihal jutaan keajaiban, mukjizat, misteri dan rahsia keagungan di sebalik amalan bersedekah, penulisnya, Muhammad Muhyidin turut membicarakan mengenai hubung kait antara sedekah dan rezeki dalam satu rumusan matematik sedekah.

Pada bab akhir, juga diterangkan mengenai mukjizat sedekah dalam menghindari penyakit dan memanjangkan usia.

Buku ini perlu menjadi koleksi peribadi serta hadiah buat orang tersayang, apatah lagi menyedari bahawa orang yang bersedekah dengan bersembunyi hingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dilakukan oleh tangan kanannya merupakan antara satu daripada tujuh golongan orang yang mendapat naungan Allah pada hari akhirat.

Salah satu bab yang menarik diterokai ia kupasan penulis mengenai hukum ekonomi dalam hal rezeki. Seterusnya, bagaimana hukum ekonomi menjelaskan keajaiban sedekah?

Mengikut teori ekonomi mana pun, rezeki itu diperoleh hanya dengan bekerja dan berusaha. Itulah juga syarat yang dipegang oleh teori ekonomi klasik dan moden.

Konsep ekonomi bersifat sekular dan duniawi sementara konsep sedekah pula bersifat spiritual. Ada sumber yang berbeza ketara di sini. Apa lagi, sekiranya dilihat daripada sudut amalan ekonomi hari ini.

Diakui ataupun tidak, teori ekonomi yang kita ketahui adalah teori ekonomi yang berprinsip atau berparadigma matematik. Kebenaran ekonomi adalah kebenaran matematik iaitu 1+1>2 dan 1-1>0.

Oleh kerana ekonomi hanya melihat pada fakta dengan akal yang rasional dam tidak melihat aspek kerohanian sesuatu perkara, maka ekonomi tidak berupaya mencari kebenaran dalam konsep sedekah dan rezeki. Lantas ekonomi menyimpulkan hal ini adalah mustahil, mengada-ada dan tidak masuk akal.

Namun, perkongsian beberapa kisah di zaman Rasulullah dan para sahabat yang turut disertakan ayat-ayat suci al-Quran dan hadis mampu membuktikan kedahsyatan sedekah dalam kehidupan umat manusia.

Surah al-Baqarah ayat 261 adalah antara ayat suci al-Quran yang popular dalam membuktikan kelebihan bagi mereka yang bersedekah. Allah berfirman yang bermaksud: Perumpamaan nafkah yang dikeluarkan oleh orang-orang yang menafkahkan hartanya pada jalan Allah adalah seperti sebutir benih yang menumbuhkan tujuh butir dan daripada setiap butir, tumbuh pula 100 butir benih. Allah melipatgandakan ganjaran bagi sesiapa yang yang dikehendakinya. Allah Maha Luas Kurnianya lagi Maha Mengetahui.

Masakan dari dapur pondok

BILA masak sendiri, memang ala kadar saja-lah, tak pandai, malas pun ya juga, masa pun tak mencukupi, waktu memasak pendek saja, kejap lagi Zohor pula, nak berjamaah di Masjid habis Zohor makan dan masuk kelas petang, berebut dengan masa nak tidur, waktu itu memang mengantuk sebab Subuh bangun awal, tak bangun kena denda pula.

Biasalah… nasi, goreng telur dan kicap, kadang-kadang singgang dan goreng ikan, telur masin pun masak sekali dengan nasi saja, ini menu rutin. Hari cuti barulah masak special sikit, sebab masa masak panjang, special macam mana sangat duduk pondok ini, tapi masa itu umur remaja, selera yang tidak memilih, apa pun semuanya sedap, membujur lalu melintang sapu.

Pesan guru-guru kami :

“Hidup bukan untuk makan, tapi makan untuk hidup, kerana itu keperluan jasad, yang lebih penting dari makanan itu ialah keberkatan bukan kelazatannya, kerana makanan itulah yang menumbuhkan jasad, kamu semua masih remaja yang sedang membesar, menjaga makanan sangat penting, jangan sekali-kali daging yang tumbuh di jasad kita ini kesan dari makanan yang haram.”

Nabi S.A.W bersabda:

كل لحم نبت من سحت فالنار أولى به

 “Setiap daging yang tumbuh dari sesuatu yang haram maka neraka lebih berhak baginya.”

(Hadis Riwayat Thabrani)

“Allah telah memberikan jaminan rezeki untuk manusia selagi manusia itu masih bernyawa, hinggakan makhluk lain termasuk haiwan pun ada rezekinya, di hadapan kita ada makanan halal dan banyak juga yang haram, keduanya ada natijah, baik dan buruk, baik dan buruk tidak terletak pada rasanya tapi halal dan haramnya, jika ikan masin itu halal ia lebih baik di sisi Allah berbanding dengan makanan yang lazat tapi haram.”

“Orang yang berusaha mencari yang halal walaupun makanannya tidak selazat makanan yang haram di dunia pasti Allah akan kurniakan padanya makanan yang lazat di Syurga, jangan sampai kita terlalu gelojoh untuk menikmati makanan lazat di dunia sampaikan melanggar batasan hukum, bimbang nanti mulut kita akan disumbat dengan api Neraka.”

YB USTAZ ROSLI ABDUL JABAR

Makam 10,000 sahabat nabi RA

Mohd Rizal Azman Rifin

JIKA di Tanah Suci Makkah, perkuburan atau makam al-Ma’la adalah makam yang terkenal dan dianggap lokasi wajib untuk ziarah.

Di Madinah pula, makam yang wajib untuk ziarah dikenali sebagai Makam Baqi’.

Makam Baqi’ yang terletak berhampiran Masjid Nabawi di bahagian tenggaranya berkeluasan sekitar 174,962 meter persegi.

Ia juga dikenali dengan namanya, Jannatul Baqi’ atau sebutan Melayunya, Taman Syurga.

Catatan sejarah menukilkan bahawa jenazah yang pertama disemadikan di perkuburan mulia ini ialah jenazah seorang golongan Ansar yang bernama Asa’ad bin Zararah manakala golongan Muhajirin pertama adalah Uthman Mahzun.

Selain itu, Makam Baqi’ memiliki keistimewaannya yang cukup menggamit jemaah tatkala menziarahinya memandangkan di sinilah disemadikan jenazah ahli keluarga dan sahabat Rasulullah SAW.

Dianggarkan lebih 10,000 sahabat Baginda SAW disemadikan di sini sekali gus mereka yang datang ke bumi Madinah al-Munawarrah pasti tidak mahu melepaskan peluang untuk menziarahinya.

Sekadar menyebut beberapa nama tersohor yang rapat hubungannya dengan Rasulullah SAW yang disemadikan jasad mereka di perkuburan mulia seperti Khalifah Amirul Mukminin Uthman bin Affan, isteri Rasulullah SAW, putera Baginda SAW yang bernama Ibrahim, malah, jasad Imam Mazhab Maliki iaitu Imam Malik bin Anas turut berada di sini.

Sesungguhnya, Makam Baqi’ begitu dekat di hati setiap umat Islam. Rata-rata apabila berada di bumi kecintaan Rasulullah SAW, Madinah akan sedaya upaya mahu menziarah makam berkenaan.

Begitulah penulis semasa mengendalikan sekumpulan jemaah umrah dari Syarikat Busyra ketika cuti persekolahan akhir tahun lalu memasang impian mahu membawa jemaah kumpulan bimbingan untuk sama-sama berada di perkuburan yang dimuliakan Rasulullah SAW itu.

Penulis menzahirkan rasa syukur bersama ahli rombongan jemaah umrah apabila berjaya melihat sendiri situasi di kawasan perkuburan berkenaan.

Semua jemaah berjalan penuh beradab melalui lorong pejalan kaki yang disediakan. Sesekali penulis sendiri seolah-olah berat kaki untuk meneruskan langkah kerana begitu sayu tambahan apabila mengetahui di makam ini bersemadinya ramai ahli keluarga besar Rasulullah SAW dan sahabatnya.

Lantas seketika itu juga fikiran jiwa seakan-akan terawang-awang ‘mengingati’ butiran fakta sejarah silam berkenaan detik penuh getir yang terpaksa dilalui oleh mereka semasa menegakkan syiar Islam.

Sesekali juga fikiran penulis membisik rindu kepada Allah SWT dan terbit niat di hati kecil untuk bersemadi di makam berkenaan bersama ahli keluarga Baginda SAW serta sahabat.

Semasa membawa jemaah umrah cuti persekolahan lalu juga penulis ‘kehilangan’ seorang daripada jemaah rombongan apabila seorang pesara berusia 66 tahun ‘dipilih Allah SWT’ untuk meninggal dunia di bumi penuh keberkatan ini.

Berbaki empat hari lagi mahu pulang ke tanah air selepas selesai menunaikan umrah dan ziarah di Makkah, rombongan jemaah mengunjungi pula Kota Kecintaan Rasulullah SAW, Madinah.

Di sinilah rupanya seorang ahli rombongan mengakhiri riwayat hidupnya. Penulis memanjat kesyukuran kerana jenazah Allahyarham diizinkan untuk dikebumikan di Makam Baqi’.

Penulis yang bertugas sebagai ketua rombongan umrah ketika itu terasa cukup sayu namun sedar, inilah ‘rezeki’ arwah yang tidak terhingga.

Puasa, Iman Dan Ketaqwaan

Oleh:HambaAllah

Kalau solat menjadi tanda aras dan kayu ukur penganut ajaran Tauhid, nescaya hal ini sukar kita bincangkan. Ini kerana, sukar kita melihat penganut agama, selain Islam melakukan solat.

Walaupun sesekali kita pernah terdengar dan membaca bahawa di sana, ada beberapa penganut agama Yahudi misalnya pernah bersolat seperti penganut Islam juga.

Tetapi, dalam realiti sekarang, sulit untuk kita perhatikan gerak laku solat penganut agama lain yang mirip kepada Islam.

Al-Qur’an yang merincikan solat penganut agama lain dengan penganut Islam terletak pada surah Ali Imran ayat 43.

“Wahai Maryam! Taatlah kepada Tuhanmu, dan sujudlah serta rukuklah (mengerjakan solat) bersama-sama orang-orang yang rukuk.”

Ada riwayat yang menyatakan bahawa solat yang mempunyai rukun rukuk di dalam solat ialah solat penganut Islam yang diajar oleh Nabi Muhammad s.a.w. Ini kerana solat penganut Nasrani tidak mempunyai rukuk. Wallahu’alam..

Menurut sesetengah pendakwah dan penceramah yang dahulunya Kristian Nasrani, pernah menyatakan bahawa Nabi Isa a.s menunaikan solat; suatu upacara keagamaan, ajaran Tauhid yang berasal daripada Ibrahim a.s.

Bagaimanapun, ciri-cirinya yang asli telah luput ditelan gelombang putaran ganas dan keasliannya rupa parasnya telah pudar dilapah arus masa.

Puasa, lambang amalan agama samawi

Oleh kerana, dialog mengenai agama di negara kita belum mencapai tahap yang baik, maka ada beberapa hal perbincangan yang tidak dapat kita lanjutkan di sini.

Bagaimanapun, tetap sahaja ada amalan agama Islam yang masih sama dan mirip kepada ibadat penganut Islam, iaitu puasa.

Manakala, amalan-amalan lain seperti solat, zakat dan menunaikan fardhu haji tidak mirip kepada amalan penganut lain.

Seperti yang difirmankan Tuhan di dalam al-Qur’an, “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” (Al-Baqarah: 183)

Pertamanya, dari nas ini umat Islam dapat mengenali agama-agama lain sebagai agama samawi dengan merujuk amalan berpuasa itu. Antara agama-agama yang memiliki ciri persamaan dari sudut amalan ini, iaitu berpuasa ialah Buddha, Hindu, Kristian dan juga Yahudi. Bagaimanapun, cara bagaimana amalan berpuasa dilaksanakan, ada sedikit perbezaan.

Jenis dan martabat berpuasa itu juga berbeza-beza mengikut agama, adat budaya bangsa dan martabat kerohanian seseorang itu.

Lantaran itulah, Tuhan menyatakan di hujung ayat itu, dengan harapan, amalan berpuasa yang kita lakukan itu dapat meningkatkan martabat kerohanian kita ke darjat ketaqwaan, iaitu darjat yang teragung dan paling tinggi.

Disebutkan dalam al-Qur’an, bahawa Tuhan menyeru orang yang beriman agar mencapai darjat ketaqwaan. Ini kerana, orang yang beriman, belum tentu dapat mencapai darjat ketaqwaan. Tapi, orang yang bertaqwa, sudah pastilah mereka beriman.

“Wahai orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benarnya, dan janganlah kamu mati melainkan berada dalam Islam. (Ali Imran: 102)

Juga kepada orang yang beriman itu, Allah s.w.t meminta mereka bertaqwa dengan cara menyatakan perkara yang benar walaupun pahit didengar. Ini kerana, orang yang beriman pun belum tentu dapat menyatakan perkara yang benar.

“Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar, maka Allah memperbaiki bagi amalan-amalanmu, dan mengampuni bagimu dosa-dosamu..” (Al-Ahzab: 70 – 71)

Maka, hendaklah orang-orang yang beriman itu berjuang mendapatkan tempat di martabat ketaqwaan. Ini kerana, hanya yang mampu menyatakan kebenaran itulah yang layak digelar mencapai darjat ketaqwaan.

“Wahai orang-orang beriman bertaqwalah kepada Allah dan setiap orang hendaklah perhatikan apa yang telah diperbuatkan untuk hari esok (akhirat)..” (Al-Hasyr: 18)

Orang-orang yang beriman turut diseru mencapai darjat ketaqwaan dengan menyediakan amalan sebagai bekalan untuk hari akhirat mereka. Ini kerana, ramai orang beriman, tetapi seperti tidak mengendahkan amalan mereka untuk akhirat.

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dan yang salah, dan menghapuskan segala kesalahan kamu serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu. Dan Allah (sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang besar.” (Al-Anfal: 29)

Kita biasa berdepan dengan kebuntuan hidup dalam kehidupan. Seolah-olahnya mereka gagal mengenal mana satu berlian dan permata, yang mana intan dan yang mana kaca. Mana yang betul dan salah.

Dan, kita seperti tidak berupaya mencari penyelesaiannya. Kenapa jadi begitu, walhal kita telah mengaku beriman kepada Tuhan? Mustahil Tuhan akan meninggalkan orang-orang yang beriman itu teraba-raba dalam mencari jawapan terhadap setiap permasalahannya itu.

Maka, jawapannya ialah – orang yang beriman yang ditimpa permasalahan tadi, masih tidak mencapai darjat ketaqwaan. Dan jika orang yang beriman itu bertaqwa, maka nescaya Tuhan menunaikan janjinya dengan cara memberikannya petunjuk.

Allah s.w.t mengingatkan kita dalam firmanNya, “Hai orang-orang yang beriman! Jauhi banyak berprasangka. Sesungguhnya sebahagian dari prasangka itu dosa. Dan jangan kamu mencari-cari kesalahan orang lain, dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Adakah antara kamu suka memakan bangkai saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik. Dan bertaqwalah kepada Allah, sungguh Allah Maha Penerima Taubat, Maha Penyayang.” (Al Hujuraat: 12)

Perbezaan lain antara orang yang beriman dan bertaqwa itu ialah insan yang beriman itu masih lagi tidak membebas diri daripada sikap prasangka, mengumpat dan mencela saudara mereka, mencari-cari keaiban orang lain untuk dihebah.

Maka, orang yang beriman dan telah sempurna jiwanya kerana kerohaniannya melompat ke darjat ketaqwaan itu, akan bersih lidahnya daripada mengumpat dan telinganya dibersihkan daripada mendengar keaiban orang lain.

Ada banyak lagi perbezaan sikap antara orang yang beriman dan bertaqwa ini. Dan, seperti yang termaklum, amalan puasa itulah antara salah satu daripada amalan yang mampu meletakkan kerohanian seseorang ke darjat ketaqwaan jika diamalkan dengan penuh keikhlasan dan kewaspadaan.

Orang yang berpuasa, digalakkan untuk tidak mencampuri urusan mendengar keaiban orang lain, selalu menyibukkan dirinya dengan zikrullah dan wirid.

Jika semua ini tercapai, maka lahirlah sikap suka menegakkan kebenaran, menyatakan yang benar di depan pihak berkuasa, kerap muhasabah tentang bekalan akhirat dan lain-lain ciri ketaqwaan yang lain.

Puasa telah menyebabkan anggota kita letih untuk melakukan maksiat dan amalan kerohanian itulah yang akan menguatkan kembali jiwa dan raga kita untuk meneruskan kehidupan.

Amalan berwirid dan berzikir di bulan Ramadhan akan menyebabkan kita kembali kepada fitrah yang suci dan asal, jika dilakukan dengan sempurna dan ikhlas menuju rahmat Allah.

Pmram

Jadikan al-Quran petunjuk sepanjang zaman

Oleh DR HARON DIN

ALHAMDULILLAH kita telah memasuki Ramadan yang baru, setelah beberapa kali Ramadan meninggalkan kita. Ramadan disebut saumun atau siaam yang bermaksud menahan diri.

Menahan diri bermaksud menjaga diri daripada melanggar perkara yang boleh membatalkan puasa malah menahan diri daripada semua perkara-perkara ‘lagha’.

Sebab itu Nabi Muhamad s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang tidak boleh meninggalkan perkataanperkataan palsu dan beramal dengan perkara-perkara palsu, maka Allah tidak berhajat padanya untuk berpuasa.”

Ramadan bulan fyang disebut oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadisnya yang bermaksud “ Ya Allah, berilah keberkatan kepada kami dalam bulan Shaaban dan sampaikan kami, panjangkan umur kami sehingga tiba Ramadan.”

Hadis ini memberi makna Ramadan ditunggu dengan penuh lahap, dengan rasa kesyukuran untuk mengambil peluang  dengan datangnya Ramadan ini menjadikan kita orang yang telah sampai kepada maksud bagi ibadat itu dengan menahan diri.

Dalam Islam boleh dikatakan semua ibadat-ibadat kukuh diberikan istilah yang amat sesuai dengan tujuan pensyariatannya.

Contohnya seperti solat, istilahnya bermaksud doa yang bermaksud memohon kepada Allah sungguh-sungguh agar kita menjadi hamba-Nya yang pergantungan kita hanya kepada Allah.

Sebab itu sembahyang diulang-diulang menjadi suatu hubungan yang intim dan kukuh antar manusia dengan Allah.

Zakat, istilah yang sama yang bermaksud penyucian bukan sahaja menyuci harta tetapi menyuci jiwa daripada yang tidak baik. Haji, sebagai contoh bermaksud niat yang bersih hendak mengunjungi rumah Allah bagi mencapai darjat keampunan yang paling tinggi.

Daripada zahir, puasa nampak seperti seolah-olah mendera diri. Walaupun dikatakan mendera diri, ia dilakukan kerana Allah. Dalam dunia ini ramai orang yang mendera dirinya.

Tetapi penderaan itu kerana dunia. Contohnya orang yang ingin menguruskan badannya, kena regim yang ekstrim. Hendak membina badan, kena latihan yang lasak, makanan yang dikawal.

Selain itu, hendak pandai bermain kena berlatih bersungguh-sungguh, berbulanbulan dan mungkin bertahuntahun.

Kesemua ini dilakukan kerana tujuan keduniaan. Dunia yang fana, akhirnya semua akan ditinggalkan.

Tetapi manusia tetap patuh dan utuh demi mencapai kehendak keduniaan.

Sedangkan puasa ianya dibuat kerana Allah. Dalam satu hadis qudsi Allah menyebut yang bermaksud: “Sesungguhnya puasa itu dilakukan untuk aku, dan akulah yang akan membalasnya.”

Puasa adalah medan latihan hakiki untuk mempertingkatkan daya tahan nafsu bagi melawan kehendak duniawi untuk mencapai tahap kekuatan rohani yang tinggi serta untuk mencapai darjah ketakwaan kepada Allah.

Inilah yang disebut dalam surah Al Baqarah ayat 183 yang bermaksud: “Diwajibkan ke atas kamu berpuasa seperti mana diwajibkan ke atas orang-orang yang sebelum daripada kamu.

Dengannya kamu akan bertakwa kepada Allah. Ketakwaan itu adalah matlamat yang paling tinggi.”

Oleh kerana itu puasa dilakukan kerana mentaati perintah Allah. Insan yang mentaati perintah Allah atau insan mukmin dan muslim, ada yang melakukan ketaatan itu secara paksa atau turut-turutan atau dilakukan dengan cara tidak bersemangat.

Seperti didesak oleh satu pihak, tidak menjiwai amalan itu dengan hati yang benar-benar patuh kepada Allah.

Ibadah puasa ini untuk mencapai tahap ketakwaan dengan bersungguh-sungguh meninggalkan segala yang dilarang dan melakukan segala yang dituntut. Ramadan dikenali juga dengan Shahrul Maghfirah iaitu bulan keampunan.

Allah menyediakan peluang yang begitu terbuka untuk insan muslim mendapat keampunan Allah. Dalam satu hadis Nabi menyebut yang bermaksud: “Alangkah hairan dan ajaibnya bagi orang mukmin yang sempat sampai ke Ramadan, apabila habis Ramadan dia tidak mendapat peluang keampunan Allah”.

Ini juga disebut dalam hadis lain yang bermaksud: “Ramadan awalnya rahmah, dipertengahannya keampunan, dan diakhirnya membebaskan diri daripada api neraka.”

Rebutlah peluang ini untuk Allah selalu mengampuni dosa-dosa kita. Seolah-olah habis Ramadan, habislah dosa kita. Dengan syarat kita hayati Ramadan dengan disebut Ramadan Shahrul Quran.

Kalau Allah telah memilih Ramadan bulan turunnya Quran dan Quran itu menjadi hidayah dan petunjuk kepada manusia dan juga menjelaskan sejelasjelasnya mana yang Allah suruh, yang Allah redha. Mana yang Allah larang untuk dijauhi, yang disuruh untuk ditaati.

Rezeki milik Allah

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
Dalam setiap rezeki yang kita peroleh itu ada hak orang lain. – Gambar hiasan

ALHAMDULILLAH, kita baru selesai juzu’ 30 daripada surah-surah muqaddam. Pada ruangan kali ini penulis ingin membicarakan juzu’ ke-29 bermula daripada surah al-Mulk. Surah ini diturunkan selepas surah al-Tur.

Hubungan surah ini dengan surah sebelumnya adalah seperti berikut: Pada surah yang sebelumnya dinyatakan perumpamaan kepada orang kafir tentang dua orang perempuan yang ditakdirkan menerima celaka walaupun mereka itu berada di bawah jagaan dan peliharaan dua orang hamba Allah yang baik.

Di samping itu, dinyatakan juga kepada orang yang beriman tentang Aisyah r.a dan Maryam yang telah ditakdirkan menerima kebahagiaan walaupun sebahagian besar kaum mereka itu kafir.

Selanjutnya dalam surah ini pula, ia dimulakan dengan pembentangan tentang kekuasaan ilmu Allah SWT, kekuasaan dan sistem pentadbiran-Nya yang mantap menurut ketentuan-Nya.

Sayid Qutub berkata: Ucapan tasbih di permulaan surah ini menyarankan keberkatan Ilahi yang melimpah ruah dan mengagungkan sebutan Kerajaan seluruh alam, menyarankan kelimpahan keberkatan Ilahi di atas Kerajaan itu di samping mengagungkan keberkatan itu di alam buana pada Zat Ilahi. Ucapan tasbih merupakan sebuah lagu yang bergema di merata pelosok alam dan memenuhi setiap hati yang maujud. Isa bertolak dari firman Allah SWT dalam al-Quran dari Kitab Lauh Mahfuz yang tersembunyi menuju ke alam nyata yang diketahui umum.

Al-Maraghi berkata: Penetapan keperkasaan dan pengampunan Allah SWT itu menunjukkan Dia Berkuasa dan menguasai ilmu pengetahuan sehingga Dia mampu memberi balasan kepada sesiapa yang mengerjakan perbuatan jahat dengan pahala serta seksaan. Dia juga Maha Mengetahui orang yang mentaati-Nya dari kalangan orang yang menderhakai-Nya. Justeru tidak akan berlaku kesilapan untuk menyebarkan kebenaran kepada orang yang berhak menerima pahala atau dosa hukuman.

Muhammad Quraish Shihab berkata: Penggunaan sifat al-Rahman dalam ayat di atas bertujuan mengingatkan semua pihak bahawa ciptaan-Nya, baik yang terdiri dari tujuh langit mahupun selainnya benar-benar kerana rahmat dan kasih sayang Allah SWT bukan kerana sesuatu yang lain. Allah tidak menciptakan untuk meraih sedikit manfaat buat diri-Nya. Itu semata-mata adalah manifestasi dari kehendak-Nya untuk melimpahkan rahmat kepada makhluk khususnya manusia kerana Dia adalah al-Rahman.

Menurut pendapat Qatadah: Allah SWT mencipta bintang itu untuk tiga tujuan iaitu; sebagai perhiasan di langit, alat merejam syaitan dan tanda panduan yang dapat digunakan sama ada di darat atau di laut. Barang siapa yang membicarakannya lain daripada tujuan yang telah digariskan, maka sudah pasti dia dianggap sudah melampaui batas dan zalim.

Sayid Qutub berkata: Neraka Jahannam yang digambarkan di sini merupakan makhluk hidup yang memendamkan kemarahannya. Bunyi nafasnya mendengus dan menderu tinggi dan ia terus menjulang. Dadanya penuh sebak dengan kemarahan hingga hampir meledak kerana marah dan benci yang meluap-luap terhadap orang kafir.

Memang jelas bahawa pertanyaan ini untuk mengecam dan menghina mereka. Para penjaga dan pengawal neraka turut serta bersama Neraka Jahannam menyatakan kemarahan mereka dan turut serta mengazabkan orang kafir. Tiada yang lebih pahit dari kecaman dan penghinaan orang yang sedang berada dalam kesusahan dan penderitaan.

Al-Zajjaj berkata: Mereka mengaku yang mereka layak masuk neraka dengan sebab kesesatan dan tidak mendengar peringatan serta berfikir tetapi hanya sebuah keluhan untuk selamat daripada api neraka. Sebahagian ulama berpendapat perkataan suhq membawa maksud satu lembah dalam neraka.

Al-Maraghi berkata: Orang yang takut kepada-Nya tidak akan melakukan kejahatan walaupun tiada individu lain yang melihatnya. Dalam keadaan itu dia boleh melakukan apa sahaja yang dikehendaki tetapi dia takut kerana seolah-olah Allah SWT melihat setiap perbuatan itu.

Ibn Abbas berkata: Sebab turunnya ayat ini kerana orang-orang musyrikin sentiasa mengenakan Rasulullah dengan perancangannya tetapi Jibril AS memberitahu kepada Baginda. Justeru, mereka berkata perlahanlah suara kamu agar Tuhan Muhammad tidak mendengarnya sebaliknya Allah SWT menjawab bahawa Dia Mengetahui segala-galanya.

Ibnu al-Jauzi berkata: Allah SWT jadikan bumi ini semata-mata untuk manusia sedangkan perkataan berjalanlah di segala penjurunya memberi maksud kepada tiga pendapat:

1. Segala jalan-jalannya. Inilah diriwayatkan oleh al-Aufi daripada Ibn Abbas dan ini pendapat Mujahid.

2. Gunung-ganang dan bukit-bukau. Ini riwayat Ibn Abi Talhah daripada Ibn Abbas dan juga pendapat Qatadah serta dipilih oleh al-Zajjaj.

3. Segala pelusuknya. Inilah pendapat Muqatil, al-Farra’, Abu Ubaidah dan dipilih oleh Ibn Qutaibah.

Sayid Qutub berkata: Segala rezeki yang wujud di bumi ini daripada ciptaan Allah SWT dan seluruh rezeki itu adalah milik-Nya. Inilah pengertian yang lebih luas daripada pengertian yang difahami sepintas lalu oleh manusia dari kata-kata rezeki itu.

Rezeki itu bukan hanya harta yang dimiliki seseorang yang membolehkannya memperoleh barangan keperluan dan kenikmatan malah rezeki itu ialah segala faktor atau sebab yang mendatangkan rezeki dijadikan Allah SWT di bumi ini.

Faktor-faktor itu asalnya berpunca daripada sifat bumi yang diciptakan Allah SWT dari pelbagai unsur dan pembahagian itu mengikut nisbah yang tertentu. Kemudian barulah kebolehan yang dilengkapkan Allah pada tumbuh-tumbuhan, haiwan termasuk manusia untuk mempergunakan unsur itu.

Semoga Allah SWT kurniakan kita rezeki yang halal dan diberkati-Nya. Amin.

KAWAN DI AKHIR ZAMAN INI

Kawan di akhir zaman ini

Payah untuk kita ketemui

Yang benar-benar sibuk

Dengan urusan baiki diri nya

Yang ada kini hanya

Sibuk dengan urusan mengumpul dunia

Walau di ketahui dunia ini hanya menipu daya

Kawan di akhir zaman ini

Payah untuk kita ketemui

Yang bergelumang dengan majlis ilmu menafaat

Yang sanggup bersusah dan penat

Dalam mengejar dan memahami ilmu menafaat

Yang ada kini hanya lah

Berbangga dengan ijazah yang menjela

Tapi ilmu fardhu Ain nya kosong belaka

Kawan di akhir zaman ini

Payah untuk kita ketemui

Ahli professional yang bertaqwa

Yang benar-benar meletakan Islam di jiwa

Mengunakan profession nya sebagai matlamat ke akhirat sana

Yang ada hanya ahli professional yang lalai dan leka

Yang hidup nya lebih barat dari barat

Ibadah dan amal terasa amat berat

Kawan di akhir zaman ini

Payah untuk kita ketemui

Yang bersilaturrahim kerana tiada kepentingan

Yang berhubung hanya niat bertanya khabar

Yang ada hanya

Yang berkroni untuk mendapat projek yag sedia ada

Bersahabat untuk mendapat laba

Kawan di akhir zaman ini

Payah untuk kita temui

Yang suka berbincang mengenai dosa-dosa sendiri

Yang menghidupkan ilmu yang ada

Yang mensyiarkan Islam pada diri mereka

Yang ada hanyalah

Yang suka berbincang dosa-dosa orang lain

Yang menghidupkan sunnah barat

Yang melupakan kehidupan akhirat

Kawan di akhir zaman ini

Susah untuk kita temui

Yang menjadikan masjid tempat pertemuan

Yang menjadikan program usrah tempat berkenalan

Yang ada hanya

Yang menjadikan komplek tempat membuang umur

Yang menjadikan disko dan pesta sebagai tempat berhibur

Kawan di akhir zaman ini

Susah untuk kita temui

Yang menjadikan sunnah sebagai hiburan

Menjadikan nasyid nyayian harian

Menjadikan selawat ucapan kelaziman

Yang ada hanya

Artis di jadikan bahan pujaan

Nyanyian melalaikan di jadikan hiburan

Dianggap moden dan berketrampilan

Kawan di akhir zaman ini

Susah untuk kita temui

Yang senantisa merasai mati itu sangat hampir

Yang senantiasa merasai jelingan Izrail

Menangis cemas mengenangkan saat kematian

Merintih sayu mengenangkan persediaan

Yang ada hanya

Yang panjang angan-angan

Mengumpul dunia kerja seharian

Seolah kematian itu sangat jauh

Seperti alam barzakh itu tidak di tempuh

PUJUK YANG MERAJUK

Renungan ini sesuai bagi yang mahu dan sudah berumahtangga .. Renungkannya baik-baik…baca dulu baru fikirkan…Untuk renungan bersama…… 

Kata pujangga perempuan bagaikan angin  lembutnya melenakan ributnya menggusarkan.Adakalanya mereka seperti ibu menyaji kasih, menghidang sayang adakalanya mereka seperti anak  ingin dibelai, minta dimanjakan. Adakalanya mereka seperti nenek berleter seadanya, merungut semahunya.  Namun,  merekalah insan yang terhampir teman kembara dalam kehidupan yang sementara ini.bahagia dan derita kita sangat berkait dengan mereka. 

( i ) Psst…. Tiba-tiba isteri merajuk pandai-pandailah memujuk  buka telinga, tajamkan pendengaran,amati suaranya teliti dengan hati yang terseni  rasional atau emosi ? Andainya emosi, belailah emosi itu dan jangan cuba dihadapkan secara rasional kerana sidia tak akan terdaya  mengunyah hujah,berilah walau seribu sebab lengkap dengan perangkaan statistik atau dokumen saintifik  berserta dengan beberapa affidavit dia tetap melulu kerana fikiran sudah berjerebu.  Dalam situasi ini  fikiran telah ditawan perasaan sebaiknya, perhaluskan kata, perindahkan bahasa  jinakkan perasaan, hadiahkan senyuman.  Masih gagal ?  cuba gunakan sentuhan  semarakkan belaian. Masih gagal juga ?  Tunggu saja rajuknya reda emosi isteri  bagai riak-riak air dalam cawan  jangan digoncang…… buat selamba di mana lambat laun, gelombang akan tenang  seterusnya air dicawan akan kita minum jua.  Tapi awas…..  kalau ternyata, rajuknya berfakta  masamnya berdata, geramnya berilmiah marahnya ada prima facie ini rajuk taraf tinggi namanya perlu ditangani berhati-hati  kalau ternyata benar,apa salahnya kita terima mengaku lalu berjanji serta berikrar  ” Sayang abang tak ulang lagi ”  katakan ” Sayang….abang alpa ”  bisikkan ” Darling.. I lupa..”  hulurkan tangan, pinta kemaafan  pendekatan kasanova, tapi hati suci  Rajuk isteri seperti mangga muda  perisanya masam   tetapi…  kalau kena cicahnya  enaknya akan terasa.  Ingat, api yang panas, padam oleh salji yang dingin. 

( ii )Arghh…Tiba-tiba isteri merungut  malah kadangkala agak mengugut  minta aksesori serta perabut  minta Villa yang tersergam indah  atau mahligai di lereng bukit sedangkan kita bukan Shah Jehan yang mampu membina Taj Mahal buat isterinya tetapi isteri pula, persis Nur Jehan  yang meminta petanda keagungan cintanya  Katanya ” Seabadi permata….  segermelapan intan ” …  sedangkan ditangan kita cuma cincin tembaga.  Aduh… peritnya mengukur cinta  dalam ukuran mayam atau menimbang setia menerusi Bursa Saham papan utama  kasih isteri, turun naik  mengikut kadar tukaran wang asing.  Tiada guna menyesali diri  diakan dulu pilihan kita ? semasa mekarnya  dia dihargai, dipuja-puji  dia kini sudah menjadi ibu  pada anak-anak kita  sudah takdir… permata yang dipilih  perlu digilap semula. Namun  putus asa jangan sekali  terimalah dia, dengan redha.  justeru isteri  pada hakikatnya  adalah bayang-bayang suami  wanita adalah tulang rusuk yang bengkok  luruskan dengan berhati-hati bertegas tapi jangan berkeras lembut tapi jangan reput.  Katakan RM bukan segala-galanya  lalu pada saat yang kudus   setelah bersolat bersama bisikkanlah ” Duhai isteriku…  marilah kita bina perkahwinan ini  dengan cinta yang sejati  marilah kita kutip rezeki  dengan keringat tersuci kita cari harta, tetapi itu bukan segala-galanya  padamu isteri,istanamu, di hati ini padamu sayang kalung cintamu, di jiwa ini.” 

( iii )  Puuuh… Akan tiba masanya bila ‘isteri’ di hati tapi kurang di mata  usia meningkat kecantikan tergugat  dulu yang kita lihat mulus kini beransur pupus  betis, tidak lagi bunting padi  pipi, bukan lagi pauh dilayang apakah dengan itu akan berkurang cinta kita ?  jika berkurang, nyatalah cinta kita  selama ini cinta di mata bertapak di body  tapi jika cinta tetap kekal malah semakin bertambah ertinya cinta kita di hati, berpasak di budi.  itulah cinta sejati.  Namun tidak salah  di samping menyanjung budi,  kita merampingkan ‘body’  kalau ada kesempatan  ajaklah dia bersenam, amalkan puasa sunat  tapi ingat niat kerana Tuhan bukan kerana ingin kuruskan badan  tapi Tuhan Maha Penyayang  Dia pasti membantu isteri yang memburu keredhaan suami  tak salah kalau mohon kesihatan, kecantikan dan kecergasan sama-samalah merampinkan badan  yang terlebih dikurangkan   jangan sesekali mencemuh apalagi menjauh apa gunanya  membandingkan isteri dengan perawan.  Bukan masanya lagi merenung dara  tapi kini saat menghitung dosa   lalu ajaklah isteri sama-sama menambah bakti  moga-moga cinta kita kekal ke hujung usia di dunia ini dan di akhirat nanti  itulah yang dikatakan  hidup berdua, ‘selepas’ mati pun bersama.

 ( iv ) Uhhh….  Kekadang isteri mengamuk  dengan ombak prasangka dan taufan cemburu  Apa bukti setiamu suami ?  Apakah tandanya hanya aku di hatimu ?  kekadang disergahnya kita ketika keringat masih membasah  baru menjengah pintu rumah. Ketika itu nilailah diri  mungkin kita berdosa dengan Tuhan  atau bersalah dengan insan  mungkin banyak kezaliman dan penganiayaan  yang telah kita lakukan  Lalu datang teguran, amaran dan peringatan  secara ‘indirect’ dari Tuhan  hadapkanlah diri ke cermin hati  kaji diri satu persatu  kalau liar, berhentilah   kalau berdosa, bertaubatlah  Sebaliknya jika ternyata isteri yang melulu nasihatkanlah baik-baikbukan senang nak senang  ingatlah mustika kata dalam kitab-kitab tua suami yang bersabar dengan isteri yang jahat  akan mendapat pahala Nabi Ayub  atau ingatlah pesan Sayidina  Umar al-Khattab  ketika didatangi seorang suami yang dileteri isteri ” Bersabarlah, kerana sesungguhnya isteri telah banyak  membantu kita. Dia yang menyelamatkan kita daripada amukan nafsu.  Dia yang membantu menjaga makan minum kita.  Dia yang mencuci kain baju kita  Dia yang membantu membersihkan rumah kita…  lalu apa salahnya kita bersabar dengan sedikit kerenahnya ? ” 

( v )  Marilah sama-sama kita tabur secubit salji pada segenggam api.  Telah banyak kita dengar cerita keruntuhan, kisah perpisahan.  Marilah kita suburkan kembali pohon perkahwinan ini  walaupun sudah berdekad-dekad usianya.  Institusi ini adalah kubu terakhir kita.  Marilah kita pertahankan bersama si dia.    si diaku, si diamu  cinta kita jangan mati dalam arus dunia siber,  biar setia kita makin waja. Biarlah skrin-skrin internet atau intranet memaparkan yang indah-indah pantulan seri rumah tangga kita.  Bicara ini diakhiri dengan satu coretan  yang mungkin boleh diguriskan pada kad hari lahir isteri  atau kad ulang tahun perkahwinan atau surat biru yang ingin kau utuskan padanya…   Atau kau pahatkan saja di halaman hatimu  pada malam nanti :  Aku hanya seorang suami    yang menerima setulus hati  seorang isteri.  Janji yang termeterai   di akad nikah kita musim yang lalu.  Salam kuhulur  buat menyapa hatimu nan luhur.  Bersamalah kita harungi  derita yang datang.  Bersatulah kita tempuhi  nikmat yang bertandang.  Denai perkahwinan  pasti dihujani air mata. Biar kita rasa: rupanya syurga itu   sangat tinggi maharnya.  Isteri…  tidak kutagih setia, sesetia Hawa.  Atau kerinduan menggila Laila  yang sangat dalam. Terimalah kehadiranku  di sudut tersuci di dalam hatimu…..  seorang isteri.

PENUHI JAWATAN KOSONG

PENUHI JAWATAN KOSONG

 

 
 

KEKOSONGAN JAWATAN:
  a. Ahli Syurga Dari Awal.
  b. Ahli Neraka Dari Awal.
  c. Ahli Neraka Sementara Kemudian Akan Dilantik Jadi Ahli Syurga.  EMPAT GANJARAN LUMAYAN (khas untuk jawatan a):
  1. Nikmat kubur.
  2. Perlindungan di Padang Mahsyar.
  3. Keselamatan Meniti Titian Sirat.
  4. Syurga yang kekal abadi.  TARIKH TEMUDUGA:
  Bila-bila masa secara adhoc bermula dari saat membaca iklan ini.

  LOKASI TEMUDUGA:
  Di dalam kubur (alam barzakh).
 
KELAYAKAN:
  Anda tidak perlu bawa siji-sijil.
  Anda tidak perlu bawa pingat.
  Anda tidak perlu bawa wang atau harta (yg banyak).
  Anda tidak perlu berparas rupa yg cantik, hensem atau berbadan tegap atau
  seksi.
  Sila bawa dokumen asal Iman dan Amal.

  PANEL/PENEMUDUGA:
  Mungkar dan Nakir.

  ENAM SOALAN BOCOR:
  1.Siapa Tuhan anda?
  2.Apa Agama anda?
  3.Siapa Nabi anda?
  4.Apa Kitab anda?
  5.Di mana Kiblat anda?
  6.Siapa Saudara anda?

  CARA MEMOHON:

  Anda cuma perlu menunggu penjemput yang berkaliber untuk menjemput anda.
Ia akan menjemput anda pada bila-bila masa saja (mungkin sekejap lagi). Ia
akan berlembut kepada orang-orang tertentu dan akan bengis kepada orang-orang
  tertentu. Ia diberi nama Izrail.

  TIPS UNTUK BERJAYA DALAM TEMUDUGA TERTUTUP INI

  Hadis hasan yang diriwayatkan oleh Ahmad Hanbal, yang bermaksud begini:
  Sabda Rasullah SAW:
  Sesungguhnya apabila jenazah seseorang itu diletakkan di dalam kuburnya,
  sesungguhnya jenazah itu mendengar suara terompah (kasut) orang-orang yang
  menghantarnya ke kubur pada saat mereka meninggalkan tempat itu. Jika
mayat itu seorang muslim, maka solat yang dilakukannya ketika beliau masih hidup
  di dunia akan diletakkan di kepalanya, puasanya diletakkan di sebelah
  kanannya, zakatnya diletakkan di sebelah kirinya dan amalan kebajikan
  daripada! sedekah, silaturrahim, perkara kebajikan dan ihsan diletakkan di
  hujung dua kakinya.

  Ia akan didatangi malaikat dari aras kepala, maka solat itu berkata kepada
  malaikat: dari arasku tidak ada jalan masuk.
 
Kemudian malaikat berpindah ke sebelah kanan, maka puasa berkata
kepadanya: dari arasku tidak ada jalan masuk.

Kemudian malaikat berpindah ke sebelah kiri, maka zakat berkata kepadanya:
dari arasku tidak ada jalan masuk.
 
Kemudian di datangi dari arah kedua hujung kakinya dan berkatalah
  amal-kebajikan: dibahagianku tidak ada jalan masuk.

  Maka malaikat berkata kepadanya:
  Duduklah kamu. Kepadanya (mayat) diperlihatkan matahari yang sudah mula
  terbenam, lalu malaikat bertanya kepada mayat itu: Apakah pandangan kamu
  tentang seorang laki-laki(muhammad) yang kamu dahulu sentiasa bercakap
  tentangnya; dan bagaimana penyaksian kamu kepadanya?
  Maka berkata mayat itu:
  Tinggalkan aku sebentar, aku hendak sembahyang.

  Maka berkata malaikat:
  Sesungguhnya engkau akan mengerjakan solat (boleh saja solat) tetapi jawab
  dahulu apa yang kami tanya ini. Apakah pandangan kamu tentang seorang
  laki-laki (Muhammad) yang kamu dahulu sentiasa bercakap tentangnya; dan
  bagaimana penyaksian kamu kepadanya?
  Maka berkata mayat itu:
  Laki-laki itu ialah Nabi Muhammad saw dan aku naik saksi bahawa nabi
  Muhammad saw itu ialah pesuruh Allah yang membawa kebenaran daripada Allah
  Subhanahu Wata’ala.
 
Maka malaikat berkata kepada mayat itu:

  Demikianlah kamu dihidupkan dan begitu juga kamu dimatikan dan dengan
  demikian juga kamu dibangkitkan semula di akhirat Insya’Allah. Kemudian
  dibuka baginya satu pintu syurga, maka dikata padanya itulah tempat kamu
dan itulah janji Allah bagi kamu dan kamu akan berada di dalamnya.
  Maka bertambahlah gembira mayat itu. Kemudian dilapangkan kuburnya seluas
70 hasta dan disinari cahaya baginya”

  Nampaknya pertahanan kita perlu kuat dari
  semua aras (kepala, kanan, kiri dan hujung kaki).!

  Wallahu-a’lam

 

 


BETAPA LUCUNYA KITA

 

 
 

Lucu ya..
Duit RM50 kelihatan begitu besar bila dibawa ke
kotak derma masjid, tapi begitu kecil bila dibawa ke Starhill
Lucu ya..
30 minit terasa begitu lama untuk berzikir, tapi
betapa pendeknya waktu
itu untuk menonton “Friends”Lucu ya..
Betapa lamanya 2 jam berada di masjid, tapi betapa cepatnya
2 jam berlalu ketika menonton wayang di panggung

Lucu ya..
Susah sungguh merangkai kata untuk dipanjatkan saat
berdoa atau solat,
tapi betapa mudahnya cari bahan bersembang bila
bertemu kawan-kawan,
boyfriend & gilfriend.

Lucu ya..
Betapa seruan dan teriakan yang berpanjangan waktu
perlawanan bola sepak
tapi betapa bosannya bila imam solat tarawih bulan
Ramadhan bacaannya lama dan panjang.

Lucu ya..
Susah sangat baca Al Quran 1 juzu’ saja, tapi majalah hiburan dan novel
best seller 100 halaman pun habis ditelaah.

Lucu ya..                                                                                                         Orang berebut paling depan untuk menonton bola atau
konsert, tetapi
berebut cari saf paling belakang bila sembahyang
Jumaat supaya boleh cepat keluar.

Lucu ya..
Kita perlu diundang seawal 3-4 minggu sebelumnya
untuk majlis agama supaya
boleh dimasukkan agenda kita, tapi untuk acara lain
seperti menonton
wayang, annual dinner atau high tea jadual kita
boleh diubah.

Lucu ya..
Susahnya orang mengajak menyebarkan dakwah, tapi
mudahnya orang menyertai dan menyebar gosip.

Lucu ya..
Semua orang inginkan masuk syurga tanpa harus beriman,berfikir,berbicara ataupun melakukan apa-apa.

Lucu ya..

Kita boleh mengirimkan ribuan jokes dan suratberantai melalui email,
tapi bila mengirim yang berkaitan dgn ibadah sering
mesti berfikir dua tiga kali..
RENUNGKANLAH…….