Perang Khaibar dan rasuah Yahudi

MENGAPA rasuah disebut dedak?

Menurut Ibnu Al Manzur, rasuah juga disebut sebagai suapan makanan ayam, yang kita sebut sebagai dedak. Ia adalah simbolik secara sinis dengan makna jaminan kesenangan hidup dalam jangka panjang. Penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi. Suapan terdiri daripada wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan, upah, diskaun. (https://www.sprm.gov.my/ )

Peristiwa Khaibar yang gawat

Berlaku pada bulan Muharram tahun ketujuh Hijrah. Apabila Yahudi di Kota Khaibar (terletak di Utara Madinah dalam jarak tidak sampai 100 km) mula menunjukkan penentangannya melalui keterlibatan jarak jauh dalam Perang Ahzab dan pelbagai usaha yang lain dengan jaringan Yahudi di Madinah, Abdullah bin Ubai dan Kumpulan Badawi.

Perang yang berlangsung lebih 40 hari ini telah berjaya dimenangi oleh umat Islam sekali gus menjadikan Khaibar sebagai wilayah di bawah kekuasaan Islam.

Dana asing yang merosakkan negara

Yahudi Khaibar secara konsisten menjadi tulang belakang sama ada dari aspek idea mahupun dana melalui Yahudi yang berada di Madinah dan kemesraan bersama Abdullah bin Ubai. 

Kemuncak persepakatan mereka mahu merampas kuasa dibuat melalui peperangan Khandaq. Akibat adanya usaha mahu merosakkan negara dengan campur tangan asing, menjadikan Madinah gawat untuk bertempur musuh dari luar juga dari dalam kota.

Sebagai ulangkaji, Perang Khandaq adalah hasil kesepakatan pihak Musyrikin Makkah, Yahudi Bani Nadhir dan Ghatafan yang diusir ke Khaibar, kemudian disusuli pula oleh Yahudi Bani Quraizah. (Rahiqul Makhtum)

Membasmi sarang penjenayah

Demi memastikan Madinah stabil secara dalaman dan selamat dari campur tangan asing, Baginda S.A.W mengisytiharkan peperangan terhadap Yahudi yang berpusat di Khaibar. Berbeza dengan peperangan yang lain, Baginda akan merahsiakan lokasi dan seteru yang akan diperangi. Tetapi Khaibar telah diisytiharkan secara terbuka menyebabkan Abdullah bin Ubai menghantar mesej kepada Yahudi Khaibar supaya bersiap siaga.

Sepatutnya, serangan ini dibuat lebih awal, tetapi disebabkan ancaman pihak Quraisy yang tidak putus-putus, menyebabkan ianya tertunda. Maka, pada awal Muharram tahun ke-7 Hijrah, misi Khaibar bermula dengan bala tentera berjumlah 1,400 orang sahaja (dikhususkan untuk mereka yang terlibat dengan Perjanjian Hudaibiah sahaja).

Khaibar menjadi panduan penting buat kita, supaya menyelesaikan masalah hendaklah daripada akar atau puncanya. Selagi mana ia tidak dibereskan, maka selagi itu jugalah Madinah sentiasa diancam dan diserang. Kata Nabi S.A.W yang bermaksud:

 “Tidak boleh ada dua agama di Jazirah Arab”.

Risalah Islam sebagai matlamat utama, bukan kebendaan

Kisah yang masyhur ketika Khaibar adalah penyerahan panji perang kepada Ali bin Abi Talib. Pesanan Nabi S.A.W kepada Saidina Ali sebagai bukti bahawa Islam tidak meletakkan kebendaan sebagai keutamaan.

Kata Ali “Wahai Rasulullah, aku akan memerangi mereka sehingga mereka sama seperti kita”. Lalu dijawab oleh Nabi S.A.W yang bermaksud “Jangan terburu-buru, serulah mereka kepada Islam, Sampaikan kepada mereka hak Allah yang perlu ditunaikan. Demi Allah, jika Allah memberi petunjuk kepada dirimu, maka itu lebih baik daripada engkau memiliki unta merah”Rahiqul Makhtum

Diberi perlindungan dan perlu membayar cukai

Membayangkan kejahatan Yahudi, sudah tentu mengusir atau dibunuh mereka menjadi pilihan Nabi! Tetapi Yahudi Khaibar merayu untuk mereka dibenarkan tinggal di situ supaya menguruskan tanah dan tanaman yang ada. Ia dipersetujui oleh Nabi memandangkan sukar untuk menyediakan pekerja dan prasarana dari Madinah, lagi pula ia adalah kepakaran Yahudi Khaibar. 

Sebagai janji perlindungan, penduduk Khaibar perlu membayar cukai (jizyah) yang diambil melalui hasil tanaman mereka. Sahabat Nabi yang diarahkan untuk mengutip cukai tersebut adalah Abdullah bin Rawahah dan Jabbar bin Sakhr.

Cubaan menyogok pegawai Nabi

Dalam beberapa riwayat menyebutkan, ketika Abdullah bin Rawahah menjalankan tugasnya untuk mengutip cukai hasil tanaman Khaibar, ada usaha untuk menyogok beliau supaya mereka tidak lagi perlu membayarnya: 

عن سليمان بن يسار أن رسول الله كان يبعث عبد الله بن رواحة إلى خيبر، فيخرص بينه وبين يهود خيبر. قال: فجمعوا له حليًّا من حلي نسائهم، فقالوا له: هذا لك، وخفِّف عنا وتجاوز في القسم. فقال عبد الله بن رواحة : “يا معشر اليهود، والله إنكم لمن أبغض خلق الله إليَّ، وما ذاك بحاملي على أن أحيف عليكم، فأَمَّا ما عرضتم من الرشوة فإنها سحت، وإنَّا لا نأكلها”. فقالوا: بهذا قامت السموات والأرض

“Rasulullah S.A.W mengutus Abdullah bin Rawahah ke Khaibar untuk mengutip cukai dari Yahudi Khaibar. Mereka mengumpulkan perhiasan barang kemas wanita-wanita mereka lalu berkata kepadanya “Ringankanlah (bebanan) kami, permudahkanlah urusan kiraan cukai”. Berkata Abdullah bin Rawahah “Wahai kaum Yahudi! Demi Allah, sesungguhnya menurutku kalian adalah makhluk yang dimurkai Allah. Bukanlah apa yang daku tanggung kerana takutkan kamu. Sesungguhnya rasuah yang kamu tawarkan merupakan harta yang keji dan kami tidak memakannya.”

(Bicara Anti Rasuah Dalam Perspektif Syariah)

Dalam riwayat lain, Abdullah bin Rawahah menyebutkan kepada Yahudi itu dengan gelaran, wahai si bangsa Kera dan Khinzir! Gambaran betapa ia adalah perlakuan yang sangat hina. (Manhaj Haraki Sirah Nabawiyah)

Qudwah generasi terbaik

Jawapan Abdullah bin Rawahah sepatutnya menjadi panduan untuk mereka yang berada di posisi penting dalam kerajaan terutama sebagai pegawai, apatah lagi pemain politik. Keadilan tidak akan terzahir kecuali ianya ditonjolkan oleh umat Islam dalam realiti pentadbiran, bukan hanya omongan kosong dalam ceramah atau ucapan. 

Barangkali dalam fikiran sesetengah kita akan menganggap ia adalah hadiah dan bukannya rasuah! Ucapan itu hanyalah membuktikan betapa kita sendiri tidak memahami maksud rasuah dan bezanya dengan hadiah.

Perakuan Yahudi terhadap malapetaka rasuah

Dalam riwayat lain menyebutkan, selepas mereka mendengar penolakan keras Abdullah bin Rawahah, Yahudi itu menjawab “dengan ini (iaitu dengan tidak memakan rasuah) akan tertegaklah langit dan bumi (keadilan).”

Kata Dr. Munir Ghadban “Sebuah pemerintahan Islam hendaklah berusaha menunjukkan keadilan terhadap musuh dan teman. Ia menjadi satu indikator terbesar untuk menzahirkan keadilan kepada musuh sebelum menjadi kawan.” (Manhaj Haraki Sirah Nabawiyah)

Kualiti yang mengalahkan kuantiti

Hampir sebahagian besar pertembungan umat Islam dengan musuh dalam jumlah yang tidak seimbang termasuklah Khaibar.

“Hanya yang terlibat dalam Hudaibiah sahaja yang layak turut serta dalam ekspedisi Khaibar”.

Begitulah arahan yang tuntas daripada Nabi S.A.W untuk menggempur Yahudi. 1,400 pahlawan yang memiliki kejituan keyakinan menentang lebih 10,000 ketumbukan yang lengkap secara zahirnya sahaja, namun kontang pegangannya.

Para sejarawan menggambarkan kekuatan Yahudi Khaibar dengan angka dan pertahanan yang ampuh. Benteng pertahanan Kota Khaibar terdiri daripada 2 bahagian. Satu bahagian memiliki 5 buah kubu dan satu bahagian lagi 3 buah kubu.

Jumlah keseluruhan Kubu yang utama adalah sebanyak 8 kubu tidak termasuk kubu-kubu kecil. 8 Kubu besar itu ialah Kubu Naim, Kubu Sha`ab bin Muaz, Kubu Zubair, Kubu Ubay, Kubu Nizar, Kubu Qamush, Kubu Wathih dan Kubu Salalim.

Dari sini, ia menjadi satu indikator penting buat umat Islam, bahawa kualiti individu untuk terjun dalam lapangan dakwah adalah lebih utama berbanding meletakkan kuantiti dan jumlah yang ramai sebagai faktor utama. Pemimpin yang berkualiti, secara adatnya, akan menghasilkan pengikut yang berkualiti lagi berintegriti. 

Ucapan Raja Najasyi yang menginsafkan

Pernah Amru bin Ass ketika sebelum pengislamannya, ingin mempengaruhi keputusan Raja Najashi memberi perlindungan kepada kaum Muslimin. 

Ketika itu, Amru bin Ass mengetuai angkatannya ke Habshah bagi menyampaikan sogokan kepada Raja Najashi agar menyerahkan kaum Muslimin kepada mereka. Namun, Raja Najashi menolak seraya berkata: 

مَا أَخَذَ اللَّهُ مِنِّي الرِّشْوَةَ حِينَ رَدَّ عَلَيَّ مُلْكِي فَآخُذَ الرِّشْوَةَ فِيهِ، وَلَا أَطَاعَ النَّاسَ فِيَّ فَأُطِيعَ النَّاسَ فِيهِ

“Allah tidak mengambil rasuah dariku ketika Dia mengembalikan kerajaanku kepadaku, sehingga aku (perlu) mengambil rasuah padanya (dalam urusan kerajaan), dan Dia tidak menjadikan manusia taat kepadaku (kerana rasuah) sehingga aku (perlu) taat kepada manusia kerananya (rasuah).”

Kalam Najashi ini mempunyai erti yang besar. Amru bin Ass memahaminya kerana ayahanda Raja Najashi telah mangkat kerana najis rasuah. Para hulubalang Kerajaan Najashi berkomplot merebut harta sehingga pertumpahan darah. Namun, pengkomplot turut terbunuh dan Raja Najashi mengambil alih kerajaan setelah pemergian bapanya (Dr. Muhammad Atiullah Othman)

Kegagalan memahami makna sebenar rasuah sememangnya merosakkan integriti umat Islam di hadapan musuh-musuh lalu menghilangkan ketakutan musuh terhadap Islam kerana salah laku umatnya.

USTAZ MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN
Penolong Rektor II (Hal Ehwal Pelajar)
Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM)

7 Ibrah dari Hijraturrasul s.a.w

Hijratul rasul dari Mekah ke Madinah memberi erti besar kepada arah tuju perjuangan umat Islam. Dari kota Mekah yang penuh dengan kemelut, berhijrah ke Madinah menemukan Muhajirin dan Ansar dalam suasana kasih sayang dan ukhuwah yang tinggi. Dari sebuah masyarakat yang majmuk merintis Sahifah Madinah yang unik dan dalam perjanjian Hudaibiah berlaku strategi bijaksana dan menuntut kesabaran yang tinggi supaya futul Mekah terjadi.

Peristiwa ini memberi iktibar umat Islam sepanjang zaman agar upaya pengurusan strategik dalam perjuangan terjadi. Sejarah dan kisah memang sifatnya mengulangi. Apa yang dilalui dari seerah Rasulullah SAW harus diteliti supaya menjadi iktibar. Banyak yang boleh dipelajari dari kisah dulu supaya pedoman hidup umat Islam terarah. Ada tujuh iktibar yang boleh dipelajari bagi jalur perjuangan umat Islam yang kini menghadapi kemelut yang semakin parah.

Pertama, keupayaan mengurus krisis – Rasulullah SAW selepas menerima perintah Allah untuk berhijrah berlindung di Gua Thur dengan sahabat yang dipercayai Abu Bakar As Siddiq sebelum mengatur strategi hablum minallah wahablumminannas (perlindungan Allah dan ikhtiari manusia) sehingga hijrah terjadi.

Sepanjang sejarah umat Islam banyak peristiwa berlaku yang boleh dijadikan iktibar tetapi malangnya umat Islam tidak banyak berguru dari sejarah sebaliknya mendalamkan jurang perpecahan dan perseteruan sehingga akhirnya kerosakan umat Islam berlaku dengan parahnya tanpa jalan keluar.

Kedua, asas yang mula dibina di Madinah adalah binaan masjid sebagai tempat membina solat dan jemaah yang menemukan dialog ukhuwah yang menjadi asas kepada kekuatan ummah di Madinah. Iktibar ukhuwah menjadi terlalu penting kepada umat Islam kerana perpecahan dan permusuhan akan membawa kepada kehancuran umat dan perseteruan yang panjang. Apa yang terjadi hari ini adalah akibat daripada meninggalkan sunnah Rasulullah SAW yang mendidik insan supaya memiliki rasa percaya yang tinggi dan tidak timbul dendam kesumat dan perseteruan yang memanjang. Kalau tidak, apa yang berlaku di sebahagian negara Arab boleh berlaku di Malaysia akibat hilangnya tolak ansur dan persefahaman terhadap perbezaan.

Ketiga, pedoman hidup dalam masyarakat majmuk asas perpa­duan persefahaman dan muafakat menjadi terlalu penting. Terdapat faedah berbanding yang bermanfaat yang boleh dipelajari daripada budaya kaum lain yang sifatnya pelbagai.

Dalam surah Al-Hujurat Ayat ke-13, maksud littaarafu atau kekenalan harus difahami secara meluas supaya proses kekenalan membawa kepada menghargai ciri-ciri menyumbang dari orang-orang lain. Pengalaman Sahifah Madinah memperlihatkan ada pihak yang cuba menyimpang dari muafakat yang dipersetujui. Ini menyebabkan muafakat pecah. Amat penting dalam Malaysia iktibar ini diteliti supaya pengertian interaksi sosial yang tinggi seharusnya menjadi landasan dalam amalan bernegara. Kalau terjadi perbezaan pandangan, tanganinya dengan etika perbezaan yang tinggi.

Iktibar keempat, Islam sering menjadi agama yang disalah fahami. Islam memiliki kualiti yang sifatnya alamiah atau universal. Islam mendukung sifat amanah, adil, telus dan tulus, menghormati kebebasan beretika dan hak asasi manusia yang amat diperlukan oleh umat manusia lain. Kualiti interaktif ini boleh menjadi jambatan persefahaman yang sifatnya menyumbang ke arah perpaduan dan persefahaman.

Perpaduan adalah kunci utama dalam masyarakat majmuk sesama dalam kalangan masyarakat Islam yang berlainan etnik apa lagi dalam kalangan masyarakat bukan Islam kerana lebih banyak titik persamaan daripada titik perbezaan sekiranya faktor etika menjadi pedoman bernegara. Pada prinsipnya agama mengajar etika yang baik dan kebaikan ini elok dikembangkan dalam batas kemanusiaan yang boleh merintis sifat muafakat, persefahaman dan tolak ansur yang tinggi. Kalau fahaman bangsa dikembangkan atas asas rasisme ini amat bahaya dalam proses bina negara.

Iktibar kelima ialah terjadinya anjakan mengenai binaan konsep umran badhawa (masyarakat berpindah randah) dan konsep umrah hadhara (masyarakat kota). Madinah menjadi kota maju dan bertamadun sehingga konsep madani menjadi lambang negara kota. Dalam tempoh beberapa tahun Madinah muncul sebagai kota bersistem di mana hubungan kemasyarakatan dan perdagangan terjadi.

Ini membuktikan dengan jelas bahasa Islam tidak menentang perubahan dan kemajuan. Tetapi iktibar Islam meletakkan kemajuan insan (rijal) sebagai landasan perubahan, insan dijadikan fokus dalam proses pengilmuan, pendidikan dan kemajuan supaya pengurusan sistem dikendalikan oleh tangan-tangan yang amanah dan berintegriti.

Iktibar keenam dalam menimba kesan hijratul rasul di Madinah ialah terbinanya pusat ilmu dan pengajian serta pendidikan yang memberikan landasan kepada pendidikan Islam seterusnya. Rasulullah SAW telah membina halaqah (usrah) dan suffah di mana pengajian al-Quran berlaku dan tradisi hafazan terjadi.

Tradisi madrasah di zaman kemudian memberi sumbangan yang amat besar dalam tradisi peng­ilmuan dan mampu mencetuskan tamadun. Islam tidak saja dilihat maju dalam ilmu diniah atau agama tetapi maju dalam bidang matematik, sains, perubatan dan ilmu bintang.

Iktibar ini penting dijadikan rujukan kepada ilmuan Islam kini supaya tertampil ilmu mengurus diri (Naqliah) dan ilmu mengurus sistem (Aqliah) dalam tradisi pengilmuan Islam kini supaya tidak berlaku pemisahan antara ilmu yang berorientasi agama dan ilmu yang tidak berorientasikan agama.

Pendekatan integratif adalah perlu dalam melahirkan insan holistik yang mampu mengurus diri dan mengurus sistem.

Iktibar ketujuh yang sifatnya futuristik yang dimiliki oleh Rasulullah SAW menjadi visi agung perjuangan Baginda seterusnya. Sepuluh tahun berada di Madinah menyebabkan Baginda tidak pernah lupa kota Mekah yang ditinggalkannya.

Rasulullah SAW mempunyai tekad tinggi dalam strategi Futul Mekah sebagai fasa seterusnya mengembangkan Islam di Jazirah Arabia. Dalam usaha berpindah ke Mekah berlaku peristiwa Hudaibiah yang amat bersejarah. Rombongan Rasulullah SAW diminta menangguhkan pemergian ke Mekah pada tahun berikutnya. Rasulullah SAW tidak menolak saranan itu walaupun Saidina Omar tidak bersetuju.

Rasulullah SAW memiliki hikmah yang besar melihat strategi ini adalah sesuatu yang bijaksana. Pertama, orang Mekah sudah mula mengiktiraf kekuatan Rasulullah SAW. Kedua, penangguhan keberangkatan Rasulullah adalah strategi bijaksana kerana tahun berikutnya Rasulullah SAW berjaya sampai ke Mekah tanpa halangan. Kalau dijejaki kesan seerah Nabawiyyah ini ia memberi erti yang amat besar terhadap kelangsungan perjuangan memartabatkan Islam seterusnya. Banyak sebenarnya iktibar yang boleh dijadikan ibrah kepada umat Islam hari ini.

Semangat Piagam Madinah

Fadly Samsudin  

KEHIDUPAN manusia berubah-ubah dan pasti ‘berhijrah’ daripada satu fasa ke fasa yang lain.

Bermula daripada bayi, tempoh itu akan berakhir apabila Allah SWT hijrahkan pula menjadi kanak-kanak.

Kemudian, akan berhijrah ke alam remaja. Alam remaja juga tidak kekal kerana Allah SWT akan hijrahkan memasuki alam dewasa.

Pada usia dewasa, seseorang akan menempuh kehidupan lebih mencabar.

Ujian demi ujian akan datang dari segenap sudut sama ada sebagai seorang suami atau isteri, pekerja dan cabaran dengan anak-anak sehinggalah mereka sampai usia tua.

Seterusnya, pada fasa usia tua manusia akan berhijrah lagi dan bersedia pula untuk menanti saat kematiannya.

Oleh itu, kita wajib merancang apa yang hendak dibawa sebagai bekalan untuk meneruskan perjalanan cukup panjang itu yang tidak tahu selama mana ia berlaku dan apakah kesudahannya.

Itu perjalanan akhir kita hidup di alam nyata. Setiap orang akan memulakan hidupnya di alam baru iaitu barzakh.

Mati adalah sempadan perjalanan sama ada kita bakal memperoleh nikmat syurga atau azab neraka pada hari akhirat kelak.

Itulah antara bentuk ‘penghijrahan’ fasa kehidupan setiap manusia sejak dilahirkan sehinggalah seluruh amal ibadatnya tidak lagi dihitung apabila tiba saat kematiannya.

Sempena kehadiran tahun baru 1442 Hijrah ini, setiap umat Islam perlu kekalkan iltizam untuk sentiasa memperbaiki kelemahan diri.

Mulakan dengan perkara kecil yang biasa dilakukan dengan harapan usaha itu dipandang tinggi oleh Allah SWT.

Saidina Umar berkata: “Celakalah bagi orang Muslim yang hari ini lebih buruk daripada hari semalam dan hari esoknya lebih buruk daripada hari ini.”

Peristiwa hijrah dilalui Nabi Muhammad SAW adalah lambang pengorbanan dan kejayaan luar biasa.

Biarpun perihal peristiwa itu kerap diulangi namun ia tetap relevan untuk dijadikan ibrah dari sudut keimanan dan akhlak bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Teladan, semangat serta roh peristiwa itu tetap tidak luput dan lapuk oleh peredaran masa.

Peristiwa hijrah Nabi Muhammad adalah pembakar semangat untuk mengukuhkan iman dan takwa.

Rentetan peristiwa hijrah itu, terhasilnya Piagam Madinah yang berjaya membentuk empat teras penting iaitu penyatuan seluruh umat Islam daripada pelbagai suku dan kaum, menyalakan semangat kerjasama sesama penduduk walaupun berbeza latar sosial, tanggungjawab dan kewajipan setiap warganegara mempertahankan tanah air serta jaminan kebebasan bagi setiap individu walaupun berbeza agama, budaya, sosial dan adat resam.

Jika diamati, semangat Piagam Madinah itu sentiasa dijulang kepemimpinan negara kita sejak dahulu melalui Perlembagaan.

Ia menjadi dasar nasional sehingga terbukti mampu meletakkan seluruh rakyat dan negara ini di landasan terbaik untuk kekal hidup bersatu padu, harmoni, makmur dan maju.

Dalam konteks Malaysia, bibit perpecahan sebenarnya sudah wujud atau tidak mustahil bakal berlakunya perpecahan lebih besar.

Sehubungan itu, jadikanlah peristiwa hijrah Nabi dan sahabatnya bagi menyemai serta mendukung tinggi usaha serta semangat perpaduan.

Peristiwa hijrah berjaya mengubah sejarah kemanusiaan yang sebelumnya hidup dalam keadaan bermusuhan kembali bersatu padu.

Rasulullah SAW mengubah suasana itu dengan membawa mereka kepada masyarakat bertamadun tinggi.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Kalaulah kamu belanjakan segala harta benda yang ada di bumi, nescaya kamu tidak akan dapat juga menyatupadukan antara perasaan dan hati mereka. Akan tetapi, Allah menyatupadukan mereka antara perasaan dan hati mereka. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana. (Surah al-Anfal, ayat 63)

Ayat itu cukup bermakna bagi mengingatkan kita kepada kisah perpaduan di antara kaum Muhajirin dan Ansar yang pada asalnya saling bersengketa.

Berbicara mengenai hijrah ini juga kita perlu benar-benar menekankan aspek menjaga sikap dan adab tidak kiralah sama ada ketika mengutarakan pandangan, memberi kritikan serta bercakap dengan orang lain.

Umat Islam pada hari ini begitu terhimpit dalam persaingan dunia tanpa sempadan yang amat mencabar.

Tidak hairan jika lahirnya golongan manusia yang tidak beradab dan bertimbang rasa serta tidak malu lagi melakukan perkara mungkar tanpa berselindung.

Semoga rentetan peristiwa hijrah itu dapat menimbulkan kembali kesedaran dalam kalangan umat Islam supaya semakin kuat meninggikan kemuliaan Islam.

Kronologi Agung Nabi Allah Ibrahim A.S

KALIMAH Ibrahim disebut di dalam al-Quran di 25 surah yang diulang sebanyak 69 kali. 

Nabi Ibrahim A.S lahir dan membesar di bumi Iraq, diberi gelaran Bapa segala Nabi (Abul Anbiyak), juga Khalilullah (An Nisa’: 125) dan merupakan salah seorang Rasul Ulul Azmi.

Diutuskan untuk kaumnya di bumi Iraq yang menyembah patung berhala dan bintang-bintang. 

Dalam satu Hadis yang bermaksud:

“Diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah menyebutkan rupa paras Nabi Ibrahim A.S paling mirip dengan rupa Nabi Muhammad S.A.W ketika peristiwa Mikraj, Nabi S.A.W bertemu dengannya di langit yang ketujuh.”

(Riwayat Imam Muslim)

Tidak ada perincian kisah Nabi Ibrahim sebelum Kerasulan sebagaimana kisah Nabi Yusuf A.S dan Nabi Musa A.S.

Dakwah Baginda terbahagi kepada 2 fasa. Fasa Iraq dan fasa Hijrah ke Palestin. Dalam fasa Iraq terbahagi kepada tiga fasa. Iaitu dakwah kepada ayahnya Aazar, kemudian kepada kaumnya dan fasa terakhir dakwah kepada Raja yang zalim. 

Ayah Baginda iaitu Aazar juga merupakan penyembah berhala. Sebahagian Ulamak menyebutkan Aazar adalah pak ciknya dan bukan ayahnya. Menurut pandangan Dr Solah Abdul Fattah Al Khalidi, lafaz Al Quran secara jelas menyebutkan Aazar adalah ayah kandungnya dan bukanlah suatu keaiban untuk ayah seorang Nabi tidak beriman. 

Dakwah Baginda kepada ayah dan kaumnya, rujuk surah Al An’am: 74 – 79, As Syu’ara: 69 – 82.

Ayat berkenaan Nabi Ibrahim mencari Tuhan (Al An’am: 76-79) menyebutkan ia adalah fasa sebelum Kerasulan. Manakala Jumhur Ulamak menyebutkan ia adalah pendekatan logika Baginda untuk membetulkan semula cara berfikir kaumnya mengenai hakikat sebenar Ketuhanan. (Al Anbiyak: 51-56)

Dakwah kepada Raja yang Zalim merupakan fasa akhir dakwahnya di Iraq (al Baqarah: 258) melalui kehujahan yang sama dan konsisten untuk membetulkan pemikiran yang sesat. Kegagalan pihak kerajaan menjawab hujah dan debat mengheret kepada tindakan kekerasan dan zalim, Baginda diarahkan untuk dibakar hidup-hidup. (As Soffaat: 83-94, Al Anbiyak: 51-60, 68-70).

Ada pandangan yang menyebutkan Raja Zalim tersebut adalah Namrud yang memerintah di Babylon.

Allah menyelamatkan Baginda daripada bakaran api tersebut. Selepas kejadian ini, Baginda berlepas diri dari kaumnya dan diperintahkan untuk berhijrah ke Palestin bersama isterinya Sarah (Ibrahim: 35-38).

Dalam perjalanan hijrah, bertemu dengan Nabi Luth yang juga dalam tujuan yang sama (Al Anbiyak: 71). Maka bermula fasa kedua dakwah Baginda di bumi Palestin dan sekitarnya.

Baginda turut menziarahi bumi Mesir, dan di sinilah berlakunya peristiwa Sarah di’rampas’ oleh Raja Mesir dalam Hadis Bukhari dengan kisah yang panjang. Dengan ketakutan Raja tersebut, lantas menghadiahkan seorang hamba yang bernama Hajar kepada Sarah, lalu mereka pulang ke Palestin. Disebabkan Sarah belum dikurniakan zuriat, lalu dihadiahkan Hajar kepada Baginda dan Baginda mengahwini Hajar, maka lahirlah Nabi Allah Ismail A.S (Ibrahim: 39).

1Dalam sejarah Nabi kita Muhammad S.A.W, juga berlalu plot yang sama iaitu Raja Mesir menghadiahkan Mariah Al Qibtiah kepada Nabi S.A.W. Daripada Mariah lahirlah Ibrahim.

Tak lama selepas kelahiran Ismail, Sarah akhirnya mengandung dan melahirkan Ishak A.S. Daripada Ishak lahirlah Yaaqub A.S dan lahir pula daripada Yaaqub A.S Yusuf A.S.

Kalimah Ismail disebut di dalam al-Quran sebanyak 12 kali dalam 8 surah. Selepas kelahiran Ismail A.S, Allah memerintahkan Baginda untuk berhijrah ke bumi Hijjaz. (Ibrahim: 35-38).

Kaabah masih belum dibina ketika mereka sampai di Hijjaz. Baginda berdoa supaya orang akan datang ke situ dan meninggalkan Hajar berdua bersama Ismail atas perintah Allah. Dari sinilah bermulanya kisah penemuan air zamzam dan sebab di sebalik pensyariatan ibadah Sa’ie melalui perbuatan Saidatina Hajar yang berulang alik di antara Safa dan Marwah.

Dalam satu Hadis Nabi S.A.W menyebutkan yang bermaksud:

“Rahmat Allah buat Ummu Ismail, Kalaulah bukan kerana dia, nescaya hari ini zamzam akan mengalir seumpama sungai”. 

Qabilah Jurhum yang datang dari Yaman menuju ke Hijaz terlihat sekumpulan burung berterbangan di satu kawasan yang menjadi petunjuk terdapat air di situ. Lalu mereka bertemu Hajar dan meminta izin untuk tinggal menetap bersama. Hajar mengizinkan dengan syarat telaga zamzam adalah miliknya tetapi boleh sahaja untuk mengambil airnya.

Dikatakan Qabilah Jurhum datang ke Hijaz disebabkan pecahnya empangan Maarib dan mereka kehilangan sumber air.

Yaman disebutkan sebagai The Craddle of Arab, iaitu sebagai tempat asal bangsa Arab. Ismail A.S mempelajari Bahasa Arab daripada mereka dah seterusnya mengahwini wanita mereka. Dikatakan juga, tak lama selepas tempoh ini, Hajar meninggal dunia. 

Al-Quran merekodkan Nabi Ibrahim A.S berkunjung ke Makkah hanya beberapa kali sahaja melalui plot yang bersejarah. Iaitu ketika Ismail A.S masih bayi, kemudian ketika Ismail sudah berkahwin, kemudian membina Kaabah (Al-Baqarah 125-129) dan terakhir ketika peristiwa penyembelihan Korban. (As Saaffaat: 99-113).

Dalam satu riwayat menyebutkan, Baginda berulang alik daripada Palestin ke Makkah sebulan sekali dengan menaiki Buraq. Cuma riwayat ini darjatnya Mauquf iaitu terhenti pada Sahabat sahaja, melalui Riwayat Al Fakihi melalui Saidina Ali. (Rujuk Fathul Bari)

Masih ada banyak jalan cerita penting untuk kita hayati dan mengutip ibrah. Kita tamatkan dahulu setakat ini. Insya-Allah ada rezeki kita sambung lagi. Moga ia membantu untuk kita menelusuri Sirah Nabi Allah Ibrahim A.S dengan lebih baik. Ya Allah, sampaikanlah kami untuk mengerjakan Ibadah Umrah dan Haji di sana. 

Salam Aidiladha 1442H.

USTAZ MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN

Ulama Ahlul Bait martabatkan tulisan jawi, jati diri Islam

latifah

 

SERAMAI lebih 400 juta umat Islam wujud di Asia Tenggara sehingga kini tetapi angka itu mungkin tidak dicapai tanpa kehadiran ulama besar yang memainkan peranan dalam perkembangan awal Islam di alam Melayu sejak 900 tahun lalu.

Pembentukan pemikiran penduduk Melayu Nusantara khususnya dalam bidang falsafah, tasawuf dan usuluddin, pandangan terhadap dunia serta kehidupan mereka diwarnai ajaran ulama terutama berbangsa Arab keturunan Rasulullah SAW yang sinonim dengan istilah Ahlul Bait menerusi kitab karangan yang diajar di surau, masjid, institusi, pondok dan madrasah.

Pengkaji tamadun Islam di alam Melayu, Tun Suzana Tun Othman, berkata era keemasan Nusantara dikuasai oleh golongan ulama yang turut menjadi pencetus kepada tulisan jawi, melahirkan generasi tinggi leluhur dan adab serta bangsa kaya dengan budaya.

[gn4id:8269270]

Selain usaha penyebaran Islam, ulama juga antara pencetus kepada kelahiran bahasa Melayu klasik bagi memperjelaskan konsep Islam dalam pelbagai bidang seperti falsafah, tauhid, tasawuf dan feqah.

“Sebelum muncul bahasa dan tulisan jawi, orang Melayu menggunakan bahasa Melayu rencong tetapi ia hanya setakat untuk berdagang dan bahasa yang digunakan itu pula tidak mengandungi falsafah, apatah lagi ilmu ketuhanan serta ketauhidan.

“Apabila ulama datang untuk mengislamkan penduduk di alam Melayu dan membawa kefahaman Islam, mereka tidak mengambil rencong atau sanskrit, sebaliknya membentuk bahasa baharu yang banyak perkataannya dipinjam daripada bahasa Arab dan campuran Parsi.

“Selepas itu, kita meninggalkan tulisan rencong dan palava kerana menggunakan sepenuhnya tulisan jawi yang mirip al-Quran, cuma ada penambahan lima huruf seperti nga dan nya,” katanya.

[gn4id:8269397]

Tambahnya, masih ada perkataan daripada bahasa Melayu rencong yang masih digunakan antaranya sembahyang bermaksud menyembah nenek moyang, namun pengertian itu berubah daripada aspek falsafahnya apabila ulama menyuntik nilai tauhid bagi mengelakkan unsur syirik dalam masyarakat.

Selain itu, perkataan rencong yang tidak lagi digunakan adalah seperti ‘dewata mulia raya’ yang membawa maksud tuhan yang Esa dan terpahat pada Batu Bersurat Terengganu yang diiktiraf sebagai ukiran dan tulisan Jawi pertama ditemui di Tanah Melayu.

Katanya, tulisan jawi yang dibentuk ulama juga menjadi ejen yang menyatukan pelbagai kaum di nusantara seperti di Kemboja walaupun mempunyai bahasanya tersendiri tetapi kitab lama yang dijumpai memperlihatkan ia dihasilkan dalam jawi.

Ia secara tidak langsung menunjukkan bahasa Melayu dan tulisan jawi digunakan sebagai bahasa ‘lingua franca’ di alam Melayu dalam pelbagai bidang penting termasuk pendidikan, perdagangan, agama, budaya dan falsafah.

[gn4id:8269429]

Tun Suzana turut berkongsi mengenai peradaban orang Melayu yang mempunyai nilai unik dan tersendiri dan tidak diamalkan dalam kalangan bangsa lain juga banyak dipelajari serta diamalkan menerusi pembacaan kitab agama yang dihasilkan oleh ulama besar Arab.

“Kita dikenali sebagai kaum yang beradab dan antara rahsianya adalah penggunaan yang meluas kitab al-Ghazali, iaitu Ihya’ Ulumuddin yang banyak mengajar mengenai ilmu adab.

“Tidak ada bangsa seperti orang Melayu yang tinggi budi pekerti seperti tidak mencelah dan mencium tangan orang yang lebih tua daripada kita.

“Kesan pendidikan yang dibawa oleh ulama alam Melayu dengan menekankan tasawuf yang tinggi akhirnya melahirkan masyarakat yang berakhlak,” katanya.

Tambahnya, pengaruh Islam yang begitu kuat di Nusantara juga turut memberikan tempias kepada penjajah Barat yang akhirnya tidak dapat menyebarkan agama Kristian dalam masyarakat Melayu dengan berjaya sehingga diakui oleh orientalis seperti Stamford Raffles yang mengakui sukar untuk menyebarkan agama Kristian di Tanah Melayu.

Kedatangan Islam di alam Melayu tidak dapat dipisahkan dengan pengaruh Arab kerana kebanyakan ulama yang berhijrah adalah daripada golongan Sayyid, Syarif dan Habib terutama dari Hadhramaut, Yaman.

Menurut Tun Suzana, walaupun ada beberapa pendapat berlainan terutama oleh orientalis Barat termasuk menganggap Islam diperkenalkan di alam Melayu oleh ulama berketurunan India Muslim, namun banyak sumber membuktikan sumbangan orang Arab mengataasi bangsa lain.

“Walaupun tidak dapat dinafikan terdapat juga sumbangan dari bangsa lain, ia tidak dapat sampai mengatasi peranan bangsa Arab yang datang secara besar-besaran ke alam Melayu untuk berdakwah khususnya di awal perkembangan Islam di rantau ini, iaitu bermula pada kurun ke-13 Masihi.

[gn4id:8269479]

Prof Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas berkata, jika dirujuk kepada penulisan bercorak agama di alam Melayu, hampir kesemuanya ditulis oleh pengarang Arab.

“Begitu juga manuskrip lama termasuk Sejarah Melayu, Hikayat Raja-raja Pasai, Hikayat Merong Mahawangsa, Hikayat Acheh dan Salasilah Maguindanao adalah sumber sejarah tradisi yang membuktikan sumbangan ulama Arab kepada perkembangan Islam di alam Melayu,” katanya.

Beliau berkata, dalam bidang kesusasteraan pula, muncul hikayat seperti Hikayat Amir Hamzah, Hikayat Nabi Bercukur dan Hikayat Nur Muhamamd.

“Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu karangan TunSeri Lanang yang masyhur ada mencatatkan mengenai kitab bertajuk Hikayat Muhammad Hanafiah yang dibacakan kepada hulubalang Melaka pada malam terakhir sebelum perang dengan Portugis dalam tahun 1511 sebagai membakar semangat jihad,” katanya.

Kesenian Islam atau kesenian Arab?

KEUNIKAN seni bina masjid Ulul Albab, Jerteh, Terengganu bercirikan
KEUNIKAN seni bina masjid Ulul Albab, Jerteh, Terengganu bercirikan seni bina Islam tempatan yang menggunakan kayu.

ISLAM merupakan agama universal atau sejagat yang sesuai diamalkan oleh semua umat manusia pada sepanjang zaman.

Konsep Islam sejagat ini telah difahami, diterima dan diamalkan oleh jutaan umat manusia yang memilih Islam sebagai pegangan hidup mereka. Sehinggakan seni dan budaya yang lahir dalam masyarakat Islam turut dikenali sebagai seni serta budaya Islam.

Walaupun berlatar belakang dan geografi berbeza, setiap wilayah Islam mampu memperlihat serta menyumbang kepada kekayaan warisan seni Islam sama ada dari segi rupa, bentuk dan nilai estetika yang unik bawah teras agama Islam.

Faktor ini menjadikan Islam agama yang indah dan sesuai dengan kehidupan manusia. Namun begitu, konsep Islam sejagat yang luas dan dihiasi dengan pelbagai keindahan ini semakin mengecil dari hari demi hari pada zaman ini.

Seni dan budaya Islam hari ini terutama di Malaysia dilihat lebih menjurus kepada penyeragaman mengikut acuan masyarakat Timur Tengah yang dianggap sebagai acuan Islam sebenar.

Penyeragaman seni dan budaya Islam kepada sesuatu wilayah adalah bertentangan dengan konsep kesejagatan Islam yang mengalu-alukan kepelbagaian berteraskan ajaran Islam. Seni Islam dan seni Arab adalah dua aspek yang berbeza. Kesenian masyarakat Arab merupakan satu daripada seni Islam yang luas.

PENCIPTAAN BERSESUAIAN PERSEKITARAN

Allah SWT melengkapkan kejadian sesebuah masyarakat itu dengan kreativiti dan keperluan bersesuaian dengan persekitaran yang diciptakan untuk mereka.

Sebagai contoh, Allah menjadikan bumi ini mempunyai pelbagai jenis iklim seperti panas dan kering, sejuk, empat musim, hujan atau lembab dengan keperluan pakaian berbeza.

Dalam perkara ini, Islam menggariskan asas berpakaian bagi kaum lelaki dan wanita dengan menyatakan bahagian mana perlu ditutup tetapi tidak menetapkan keseragaman potongan dan warna pakaian mesti dipakai.

Begitu juga dalam bidang seni bina, Allah menjadikan bahan-bahan semula jadi sesuai dengan persekitaran di sesebuah tempat. Antaranya kayu-kayan berkualiti di alam Melayu yang sesuai digunakan sebagai bahan binaan bersifat mesra alam.

Penggunaan bahan yang tidak bersesuaian secara meluas akan mengakibatkan rantaian masalah dan pembaziran.

Ramai daripada masyarakat di negara kita masih lagi keliru dengan istilah seni Islam dengan menganggap seni Islam adalah seni serta budaya masyarakat Timur Tengah atau Arab.

Ini akan menyebabkan seni dan budaya tempatan semakin dilupakan, sekali gus pupus. Manakala dalam skala lebih besar, tiada pertambahan dan kreativiti baru dalam bidang seni Islam.

Jika ini berterusan, bidang kesenian Islam akan menjadi satu bidang yang kaku dan seragam di mana semua umat Islam akan mempunyai gaya hidup sama seperti masyarakat Arab di Timur Tengah.

Apabila ini terjadi maka keindahan sifat kesejagatan Islam juga akan turut terjejas.

Seni Islam adalah seni yang luas dan perlu berkembang serta diperkayakan dengan kreativiti atau inovasi baru bertunjangkan ajaran Islam oleh setiap generasi supaya tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas.

Kundan: Warisan empayar Islam Mughal

BARANGAN kemas yang bertatah permata berwarna-warni menggunakan
BARANGAN kemas yang bertatah permata berwarna-warni menggunakan teknik kundan.

EMAS dan permata merupakan lambang kemewahan serta kekayaan dalam tamadun manusia. Antara tamadun Islam yang mempunyai warisan teknik pembuatan barangan kemas dengan unik ialah Empayar Mughal di benua India.

Bukan sahaja mempunyai kepakaran tersebut, malah wilayah itu turut dianugerahkan dengan sumber batu permata berharga dan berwarna warni seperti berlian, delima, nilam, intan serta zamrud. Sumber dan kemahiran yang tinggi menghasilkan barangan kemas kundan menjadi antara lambang kemewahan Empayar Mughal.

Daripada segi sejarah, teknik pembuatan barangan kemas ini dipercayai berkembang dari sebuah kota yang dikenali sebagai Jaipur iaitu terletak di negeri Rajasthan.

Rajasthan mempunyai kaitan dengan empayar Mughal apabila seorang puteri kepada pemerintah pada waktu itu yang bernama Jodha Bai berkahwin dengan Maharaja Mughal bernama Akbar pada abad ke-16 Masihi. Baginda dikatakan membawa pengaruh teknik kundan ini ke dalam Empayar Mughal.

Kundan merupakan istilah merujuk kepada kepingan emas tulen dan amat lembut yang digunakan dalam pembuatan barangan kemas ini. Dua ciri paling ketara dan unik dalam teknik kundan ialah saiz batu permata yang digunakan adalah besar dan kedua keterlihatan emas digunakan adalah minimum.

Antara barangan kemas masyarakat India paling menonjol dengan penggunaan teknik ini ialah kalung atau rantai leher. Kalung yang menggunakan teknik ini menghasilkan satu gaya unik di mana rekaan dan susunannya nampak agak kasar tetapi penuh dengan sinaran permata.

Ini disebabkan oleh batu permata bersaiz besar dan mempunyai pelbagai bentuk dalam satu susunan yang harmoni.

Secara teknikal, kundan merupakan satu hasil kerja tangan melibatkan kemahiran logam dalam membentuk bingkai luar daripada jalur logam yang ditempa menjadi bentuk bulat atau bujur kecil sebelum bingkai ini dicantumkan bagi mendapatkan bentuk lebih besar.

Ia kemudiannya dilekatkan atas kepingan emas sebagai tapak yang membentuk sarang atau tempat batu permata. Lalu sejenis ketulan lilin dimasukkan ke dalam sarang yang telah siap dan dipanaskan supaya lilin memenuhi bahagian dalam sarang.

Batu permata yang telah dipilih dan dipotong diletakkan di atas lilin dan ditekan sedikit sebelum lilin dipanaskan sekali lagi. Seterusnya penggunaan kundan yang merupakan kepingan emas nipis dan sangat lembut digunakan bagi menutup bahagian tepi bingkai emas selepas siap ditatah dengan batu permata.

Setelah semua bahagian bingkai telah siap ditutup, haba digunakan untuk melembutkan emas supaya ia kelihatan licin dan sekata. Tiada sebarang cangkuk kelihatan atas batu permata seperti yang sering digunakan dalam teknik tatahan batu permata dari Barat bagi memastikan batu permata tidak jatuh.

Ini kerana kombinasi sarang, lilin dan kundan telah menjadikan tatahan batu permata dapat bertahan lama.

Selepas teknik ini berkembang dalam empayar Mughal, maka percubaan turut dilakukan bagi logam yang lebih murah harganya berbanding emas iaitu perak. Batu permata separa berharga turut digunakan bagi menghiasi barangan kemas ini.

Ini menjadikan harga perhiasan ini lebih murah dan mampu milik bagi golongan rakyat biasa. Kebanyakan perhiasan sebegini digunakan dalam majlis perkahwinan sebagai perhiasan mahupun hantaran dan hadiah.

Teknik ini juga digunakan dalam pembuatan butang baju yang banyak digunakan oleh kaum lelaki Melayu, India dan Punjabi pada potongan leher pakaian dikenali sebagai cekak musang di Malaysia.

Teknik ini memerlukan kemahiran kerja tangan yang sukar untuk diganti dengan mesin kerana ia memerlukan ketelitian dalam setiap peringkat penyediaannya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/rencana/agama/kundan-warisan-empayar-islam-mughal-1.461107#ixzz4d3QOeMJu
© Utusan Melayu (M) Bhd

Isra’ dan Mikraj (Sebelum Hijrah)

 

 

Di Antara Peristiwa Yang Berlaku Pada Bulan Rejab

Isra’ dan Mikraj (Sebelum Hijrah)

 

Pada suatu hari, Jibril a.s datang berjumpa dengan Nabi s.a.w dengan membawa bersamanya seekor Buraq (sejenis binatang tunggangan yang lebih kecil dari baghal dan lebih besar dari keldai). Lalu Jibril membawa Nabi s.a.w ke Baitulmuqaddis di Palestine di mana Nabi s.a.w dapati kesemua para Nabi alaihimussolatu wassalam menyambut ketibaan baginda. Di antara mereka ialah Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan Nabi Isa alaihimussalam kemudian baginda mengimami mereka mendirikan sembahyang sebanyak dua rakaat. Selepas itu baginda Mikraj ke langit, di sana baginda berjumpa dengan beberapa orang Nabi dan sempat bercakap dengan mereka serta mereka mengalu-alukan kedatangan baginda ke sana. Nabi s.a.w juga melihat syurga dan pelbagai jenis nikmat yang telah disediakan oleh Allah kepada orang-orang yang bertakwa, di samping itu baginda juga melihat neraka dan pelbagai jenis seksaan yang disediakan kepada orang-orang yang kafir. Kemudian baginda naik ke atas Arasy untuk bermunajat kepada Allah, tempat tersebut tidak pernah dinaiki oleh Nabi atau Rasul yang lain begitu juga malaikat yang paling rapat dengan Allah s.w.t.

Setelah itu Nabi s.a.w kembali semula ke Mekah pada malam yang sama dalam keadaan dibekalkan dengan tenaga rohani yang sangat hebat. Peristiwa tersebut menjadi perangsang kepada Nabi supaya hati baginda tetap teguh, juga sebagai penghibur hati baginda di dalam menghadapi penyeksaan Quraisy selepas kematian Khadijah isteri baginda dan juga selepas kematian Abu Talib bapa saudara baginda pada tahun tersebut yang dinamakan dengan “Tahun Kesedihan”.

Diambil daripada http://www.al-islam.com

Peristiwa besar bulan Rejab

Oleh Mohd Rizal Azman Rifin

APABILA berada di bulan Rejab, kita perlu sentiasa merenungi peristiwa besar yang pernah berlaku ke atas nabi Muhammad s.a.w iaitu peristiwa Israk dan Mikraj iaitu bukti kekuasaan Allah mengurniakan mukjizat kepada Rasulullah.

Banyak pengajaran yang boleh diambil daripada peristiwa itu yang mungkin tidak mampu difikirkan oleh akal manusia secara logik.

Selain daripada ujian terhadap keimanan kita, ia juga bukti kehebatan Allah yang mampu melakukan apa saja dengan kehendak-Nya.

Allah berfirman yang bermaksud: “Maha suci Allah yang memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjid al-Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.”
(Surah al-Israak ayat 1).

Ternyata perjuangan dakwah yang dilakukan Nabi Muhammad s.a.w begitu getir sebelum mencapai kemenangan.

Antara ujian dan tekanan hebat yang pernah dilaluinya ialah bertambahnya penentangan terhadap dakwah Islam.

Selain itu, terdapat beberapa peristiwa penting lain yang berlaku di dalam bulan Rejab antaranya, pembebasan Al-Quds di Baitulmaqdis daripada golongan musuh Islam oleh Imam Salehuddin Al-Ayyubi, peperangan Tabuk yang Baginda sendiri menjadi panglima tentera serta berlakunya hijrah Rasulullah ke Habsyah bagi meluaskan dakwah Islamiah.

Ketika mengingati peristiwa Israk Mikraj, umat Islam perlu sentiasa berusaha dalam memerdekakan Masjid al-Aqsa dan bumi Palestin daripada cengkaman yahudi.

Antara yang boleh dilakukan ialah memperteguhkan pendirian serta meniup semangat jihad memperjuangkan dan mempertahankan Islam dengan menjaga solat yang juga menjadi rukun Islam yang diterima Nabi Muhammad s.a.w ketika peristiwa Israk Mikraj.

Bulan Rejab ini juga boleh diibaratkan waktu untuk umat Islam menyemai benih, kemudian Syaaban membajai tanaman supaya terus subur sebelum tibanya Ramadan bagi menuai hasil yang diusahakan.

Mereka yang sentiasa melakukan latihan dan persiapan rapi pastinya merasai kelebihan dan nikmat ibadat apabila tibanya Ramadan berbanding mereka yang hanya menunggu Ramadan baru hendak melipatgandakan amalan.

Antara amalan sunat umum yang boleh dilakukan di bulan Rejab sebagai persediaan menanti Ramadan ialah berpuasa sunat Isnin dan Khamis, memperbanyakkan zikir, beristighfar, qiamullail serta bertadarus al-Quran.

Semua amalan sunat itu amat digalakkan supaya tubuh badan kita dapat bersedia menerima tuntutan ibadah puasa wajib di bulan Ramadan.

Tiada amalan khusus dalam bulan Rejab yang diriwayatkan Rasulullah s.a.w daripada hadis sahih. Amalan tertentu seperti puasa Rejab atau solat sunat Rejab adalah bersandarkan kepada hadis lemah.

Justeru, untuk melipatgandakan amalan tidak hanya pada bulan Rejab ini, tetapi boleh dilakukan pada bulan lain bagi menghadapi bulan paling mulia iaitu Ramadan yang di dalamnya terdapat ‘lailatul qadar’.

Khayamiya – seni sulaman tampal Mesir

SULAMAN sering kali dikaitkan dengan kemahiran menjahit yang dipelopori oleh kaum wanita. Namun di Mesir, kebanyakan sulaman tampal yang dihasilkan merupakan kerja tangan penyulam lelaki yang kebanyakannya menjadikannya sebagai mata pencarian utama mereka.

Pekerjaan ini dilakukan sejak turun temurun. Mereka merupakan pewaris generasi pembuat khemah yang pernah menghasilkan khemah digunakan sewaktu pemerintahan Dinasti Uthmaniyah. Pemerintah pada zaman berkenaan banyak menggunakan khemah untuk aktiviti luar mereka seperti pemburuan, perkelahan di musim panas atau musim bunga, peperangan dan sebagainya. Khemah yang digunakan sewaktu pemerintahan Uthmaniyah boleh diteliti dalam lukisan miniatur yang dihasilkan pada zaman tersebut.

Khayamiya merupakan nama yang digunakan merujuk kepada panel sulaman tampal yang dihasilkan di Mesir. Panel sulaman ini sering digunakan sebagai hiasan khemah yang menjadi peralatan utama dalam sebarang aktiviti luar atau majlis dan keraian yang diadakan dalam masyarakat Arab khususnya di Mesir.

Antara keraian dan majlis yang menggunakan khemah dalam kehidupan masyarakat Mesir ialah seperti majlis keagamaan, perkahwinan, jamuan, dan juga pengebumian. Khemah digunakan sebagai tempat para tetamu duduk dan menjamu makanan sewaktu majlis berlangsung dan ia akan dibuka dengan segera sejurus selepas sesuatu majlis selesai.

 

MOTIF SULAMAN

Panel khayamiya dijahit menggunakan kain-kain pelbagai warna yang dipotong untuk membentuk corak tertentu seperti corak geometri, corak bunga-bungaan dan juga kaligrafi yang bersesuaian dengan sesuatu majlis. Panel ini berfungsi sebagai hiasan struktur khemah utama. Bahagian yang sering menjadi tumpuan dalam khemah yang dihiasi khayamiya ialah bumbung, dinding dan pintu khemah. Corak khayamiya dikatakan berasal daripada corak digunakan pada seni bina Islam yang merupakan khazanah berharga diwarisi oleh masyarakat Islam Mesir daripada pelbagai dinasti Islam.

Pada pertengahan abad ke-19 sehingga awal abad ke-20 Masihi, pembuat panel sulaman tampal khayamiya menggunakan panel tekstil daripada benang kapas yang diwarnakan dengan tangan dalam tona warna seperti merah, putih dan biru. Kadangkala lebihan tekstil turut digunakan dalam membuat khayamiya. Namun begitu pada hari ini, kain-kain yang dicetak menggunakan mesin telah menjadi saingan kepada kemahiran dan kepandaian tempatan masyarakat Islam Mesir sejak zaman berzaman itu.

Pada hari ini, khayamiya telah menjadi salah satu produk pelancongan yang dikeluarkan dalam pelbagai bentuk selain untuk digunakan sebagai hiasan khemah. Ia juga telah boleh diperoleh sebagai hiasan sarung kusyen dan tirai hiasan dinding. Panel khayamiya ini telah menarik perhatian dan menjadi cenderamata pilihan pelancong Barat yang sampai ke Mesir pada abad ke-19. Para peminat seni Islam boleh mengunjungi Muzium Kesenian Islam Malaysia bagi menyaksikan pameran khayamiya yang dibuka sehingga bulan Januari 2016.