Ada sifat-sifat tertentu yang mesti dimiliki oleh setiap jemaah.
Seseorang Muslim yang ingin melibatkan diri dengan jemaah tersebut bagi
menunaikan kewajipan ini mestilah melihat pada sifat-sifat ini. Marilah
kita melihat sejauh manakah sifat-sifat tersebut ada pada Jemaah Ikhwan.
Adakah Ikhwan hari ini telah menyeleweng daripada garis yang dibuat oleh
Imam alBanna ataupun tidak?
Kami menegaskan:—
Kami sentiasa bertujuan untuk menjadikan Islam berkuasa, kalimah Allah
tinggi, Deen Allah memerintah, Syariat Allah menghukum dan daulah serta
khilafah Islam tegak. Oleh itu mestilah ada amal jamaie yang tersusun,
ataupun jemaah yang bekerja demi untuk melaksanakan semua itu.
Pertama:
Mengembalikan manusia seluruhnya kepada kefahaman Islam yang betul,
syumul dan bersih, khususnya kepada orang-orang yang bekerja untuk
Islam. Kefahaman tersebut hendaklah sama dengan apa yang telah dibawa
oleh Muhammad (s.a.w). Ia adalah jauh dari bersifat kekurangan,
menyeleweng, salah, melampau dan cuai. Kaum Muslimin mestilah berpadu
dalam perkara ini, tanpa taksub pada mana-mana pendapat atau mazhab. Ia
mestilah dalam bentuk yang dapat melaksanakan kerjasama umat Islam dalam
perkara-perkara usul yang disepakati. Manakala dalam perkara furuk yang
khilaf pula ia diberikan kelonggaran.
Perkara yang menyebabkan umat Islam sentiasa berpecah hingga
berpuak-puak dan berparti-parti tidak lain dari sebab perselisihan
mereka dalam memahami Islam. Mereka hanyut jauh dari kefahaman sebenar,
sebagaimana yang dihayati oleh umat Islam pertama dahulu, iaitu bersama
dengan Rasulullah (s.a.w).
Begitu juga bila kita sedar bahawa antara tujuan utama yang ingin
dilaksanakan itu ialah menegakkan Negara Islam Antarabangsa dengan
dikepalai oleh seorang Khalifah, kita mestilah mengasaskan Daulah yang
diidam-idamkan itu atas kefahaman Islam yang betul, syumul dan bersih.
Sebabnya kita patut menunaikan risalahnya secara benar dan betul, kerana
sebarang kecacatan yang berlaku dalam kefahaman Islam tersebut akan
membawa pada kecacatan perlaksanaannya.
Begitulah, kami berpendapat syarat ini adalah perlu dalam amal jamaie
yang tersusun. Ia juga perlu dalam sebuah jemaah yang disertai oleh
seseorang Muslim semasa menjalani jalan dakwah ini. Semoga
tuntutan-tuntutan Islam padanya terlaksana.
Kedua:
Bagi jemaah yang berusaha melaksanakan tuntutan-tuntutan Islam serta
tanggungjawabnya mestilah meletakkan dalam manhaj mereka ketetapan untuk
Negara Islam, sistem Khilafah dan peneguhan agama ini di bumi. Adalah
tidak patut seseorang itu menyertai mana-mana jemaah yang menyempitkan
pertubuhannya pada setengah bidang Islam sahaja. Walaupun sesuatu jemaah
itu melakukan segala tuntutan Islam yang lain, tetapi ia menjauhkan
matlamat menegakkan negara Islam serta Khilafah Islamiah, maka seseorang
Muslim tidak patut juga menyertainya. Sebabnya, selagi ada kecuaian
menunaikan perkara wajib, bererti dosa mencuaikannya pun ada juga.
Ketiga:
Setakat betulnya kefahaman Islam sesuatu jemaah, dan setakat adanya
ketetapan di dalam manhaj untuk menegakkan Negara Islam sahaja, belumlah
cukup lagi. Tetapi jemaah tersebut mestilah bekerja melaksanakan
kewajipan itu dengan cara yang betul. Tidak ada jalan yang lebih sah
dari jalan yang telah dilalui oleh Rasulullah (s.a.w) dan para
sahabatnya bagi menegakkan Daulah Islamiah yang pertama. Ia adalah
merupakan kekuatan akidah, kekuatan kesatuan dan seterusnya kekuatan
tenaga dan senjata bila tidak ada jalan lain lagi.
Sebenarnya Rasulullah (s.a.w) telah menanam akidah dalam diri kaum
Mukminin, generasi pertama. Kumpulan-kumpulan manusia yang berakidah,
yang telah ditarbiahkan oleh Rasulullah (s.a.w), dengan tarbiah
Al-Qur’an telah dilahirkan dari madrasah Rasulullah (s.a.w).
Setelah itu, Rasulullah (s.a.w) mempersaudarakan orang-orang Muhajirin
dengan Ansar. Baginda membuat perjanjian dan bai’ah dengan mereka, agar
sentiasa membantu agama Islam. Baginda seterusnya telah menyiapkan
kekuatan tenaga dan senjata, kerana mestilah ada kekuatan yang dapat
membela kebenaran…
Jemaah yang tidak meletakkan jihad fi sabilillah dalam perkiraannya
adalah tidak patut disertai. Dalam meletakkan jihad, mestilah mengikut
susunan tiga bentuk kekuatan yang lalu. Kiranya kekuatan senjata
digunakan sebelum terlaksananya kekuatan kesatuan, itu mungkin akan
menyebabkan mereka berperang sesama sendiri kiranya berlaku
perselisihan.
Tanpa kekuatan akidah, bererti usaha tersebut menjadi usaha yang tidak
bertunjangkan akidah yang saling berkasih sayang, telah menjadi asas
serta tiang seri, di mana tertegaknya Negara Islam yang pertama.
Kebiasaannya, sesuatu bangunan itu dimulai dan ditegakkan dari asasnya,
bukan dari bahagian atas.
Keempat:
Jemaah yang sebegini mestilah bekerja sedaya upaya di seluruh dunia
Islam, bukannya setakat di sebuah negara sahaja. Islam dan usaha ke
arahnya mestilah merangkumi keseluruhan dunia Islam. Seterusnya, Negara
Islam Antarabangsa yang dimaksudkan itu, mestilah mempunyai tapak yang
luas, merangkumi semua bumi Islam. Begitu juga, jemaah ini mestilah
mengadakan hubungan kerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan Islam yang
sepertinya. Tujuannya ialah untuk menggembeling tenaga pekerja dan bantu
membantu dalam bidang dakwah Islamiah. Ia juga bertujuan untuk
mengelakkan perpecahan ataupun tentangan terhadapnya.
Kelima:
Sebagai contoh; jika terdapat dua jemaah yang sama-sama mempunyai empat
syarat ini, tetapi salah satu daripadanya mempunyai kematangan,
pengalaman dan persediaan yang lebih dalam bidang amal Islami, manakala
yang satu lagi masih baru dan mentah, maka seseorang itu hendaklah
menyertai jemaah yang pertama. Ini adalah untuk menjimatkan masa, tenaga
dan nyawa. Dengan itu, ia tidak perlu lagi merintis jalan bagi
mendapatkan pengalaman. Lagipun dengan penyertaan ke jemaah yang
pertama, kita dapat menyatukan kaum Muslimin di bawah satu kalimah, dan
juga dapat mengukuhkan saf mujahidin. Kita dapat mengelakkan dari
mengangkat terlalu banyak panji-panji, yang mana menyebabkan
pekerja-pekerjanya berpecah. Lagipun dengan cara ini kita dapat
menjunjung firman Allah:
“Dan berpeganglah kamu semua kepada tali (agama) Allah, dan janganlah
kamu bercerai berai.” (Surah Ali-Imran: Ayat 103)
Tidak harus kita meninggalkan satu jemaah yang mempunyai pengalaman dan
cukup pula empat syarat yang kita sebutkan dahulu, kecualilah jika kita
dapati secara keseluruhannya ia telah menyeleweng, menjadi fasiq atau
sesat secara terang. Mengenai dengan setengah-setengah kesalahan kecil,
ataupun kesilapan-kesilapan individu yang tidak mungkin dapat dielakkan
oleh mana-mana jemaah pun, tidaklah boleh kita menjauhkan diri serta
tidak bekerjasama dengannya. Sebabnya, kita adalah manusia yang tidak
sunyi dari kesilapan. Sebaliknya kita hendaklah menyertainya serta
saling lengkap melengkapi sesama kita.
Itulah dia sebahagian dari sifat-sifat asasi yang mesti ada pada
sesebuah jemaah yang patut disertai dan dijadikan wadah perjuangan,
sepanjang kita melalui jalan dakwah ini. Jika kita mengkaji dan melihat
dengan terperinci sifat-sifat tersebut, Alhamdulillah kita dapati ia
terlaksana dalam Jemaah Ikhwanul Muslimin.
[Utz Mustafa Masyhur]