Ramadhan Bulan Pesta Ibadat

Allahu Akbar Allahu Akbar!!…Kedengaran suara azan menandakan masuknya waktu Maghrib dari corong radio dan masjid terdekat. Umat Islam buat sekian kalinya bergembira menjamah juadah berbuka setelah seharian mengerjakan ibadat puasa Ramadhan. Perut yang sudah lama berkeroncong menyanyi lagu lapar minta diisi dan kerongkong yang sudah lama haus minta diairi air kini ditunaikan haknya. Pelbagai juadah berbuka sebagai pembuka selera terhidang dan menunggu untuk dijamah. Keletihan sepanjang hari mula dilupakan apabila makanan dan minuman  mula masuk ke perut untuk dikisar bagi menghasilkan tenaga baru untuk menghidupkan malam Ramadhan pula. Alangkah besarnya nikmat yang dianugerahkan oleh Allah ini. Larangan makan dan minum sepanjang mengerjakan ibadat puasa bukan larangan buat selamanya tetapi berbentuk sementara bagi melatih diri untuk bersabar dan merenungi nasib mereka yang malang. Betapa meriah mereka yang berkeluarga menjamu selera diselangi dengan suara anak kecil penghias suasana. Tidak kurang meriahnya mereka yang berbuka bersama-sama dengan teman sekerja atau sepengajian. Anak-anak perantau terutama di luar negara tidak ketinggalan berbuka puasa dengan juadah yang bercampur antara makanan tradisi dan makanan masyarakat tempat mereka berada. Inilah salah satu nikmat bagi mereka yang berpuasa iaitu bergembira ketika berbuka. Jika kita benar-benar menghayati ibadat puasa dengan sebaiknya insya Allah nikmat yang lebih besar iaitu apabila bertemu Allah di akhirat nanti dapat dicapai.

             Kegembiraan ketika mengadap juadah berbuka puasa janganlah memadamkan ingatan kita kepada mereka yang menderita kebuluran dan mangsa peperangan. Keseronokan mengadap makan yang memenuhi meja janganlah melupakan kita kepada saudara seagama yang sedang dihadap oleh musuh yang bersedia memamah mereka bila-bila masa sahaja. Kongsikan penderitaan mereka dengan menghulurkan bantuan yang termampu sekali pun doa kesejahteraan mereka. Si kenyang jarang mengingati si lapar tetapi si lapar sentiasa mengenang bilakah si kenyang mahu menghulurkan bantuan kepada mereka. Gunakanlah waktu senang dan rezeki yang ada untuk membantu mereka yang susah kerana ini semua merupakan amalan mulia yang bakal ditimbang di atas neraca hadapan Allah di akhirat kelak. Jangan jadikan diri ini manusia tidak berguna yang sanggup membiarkan jiran terdekat yang susah tidur dalam kelaparan sedangkan kita tidur dalam kekenyangan.

             Jika kita mampu menahan lapar dan dahaga sepanjang hari berpuasa maka janganlah kita kotori malam Ramadhan dengan perkara haram. Jika kita mampu melawan nafsu untuk terus menunaikan kewajipan berpuasa maka kita juga mesti kuat melawan nafsu malas bagi menghidupkan malam Ramadhan dengan sunat terawih dan selainnya. Jangan penuhi malam Ramadhan dengan perkara yang tidak berfaedah sehingga amalan puasa pada siang hari tidak lagi berguna dalam mendidik diri. Jika nafsu mampu dikekang sepanjang hari maka jangan biarkan ia menggans di malam hari. Isikan perut kita dengan makanan yang halal sewaktu berbuka serta jangan berlebihan ketika menjamu selera. Jadikanlah makanan yang di makan sebagai pembekal tenaga yang cukup untuk mendirikan malam Ramadhan dengan amalan soleh. Jangan biarkan diri kita hanya menjadi manusia yang mampu bergembira ketika berbuka sahaja sedangkan kita tidak mampu meraih kegembiraan yang lebih besar ertinya apabila bertemu Allah kelak.Jangan biarkan bulan Ramadhan dijadikan bulan berpesta untuk makan sebaliknya dijadikan bulan berpesta untuk memperbanyakkan amalan soleh bagi sama-sama merebut tawaran istimewa yang dijanjikan oleh Allah. 

             Jangan hanya terlalu bersungguh untuk mendapatkan tiket bas bertujuan untuk beraya di kampung sedangkan kita tidak turut berebut untuk mendapatkan tiket dengan amalan soleh bagi bekalan untuk pulang kampung yang sebenar iaitu kampung akhirat. Jangan hanya mampu duduk lama dalam pasaraya semata-mata mencari hiasan dan pakaian raya yang bermutu sedangkan dalam masa yang sama kita tidak mampu untuk beriktikaf dalam masjid bagi sama-sama membuat amalan soleh yang berkualiti sebagai persiapan hari akhirat. Jangan terlalu mengejar dunia sehingga melupakan kita hari akhirat. Ingatlah bahawa dunia ini hanya tempat persinggahan sementara sebelum menuju alam akhirat yang kekal selamanya.

Himpunan Khutbah Bulan Sya’aban

Berqiblatkan Sistem Islam Merawat Penyakit Umat

Berqiblatkan Islam Menerajui Perubahan

Berqiblatkan Islam Meraih Kebahagiaan

Berqiblatkan Islam Membina Masa Depan Gemilang

Berqiblatkan Islam Menuju Kemenangan

Pengajaran Peperangan Bani Mustaliq 6H

Sistem Islam DiLaksana Kemuliaan DiRasa

Cemburu dan malu julangkan maruah umat

117. BERSUNGGUH MEMBINA JATIDIRI MUSLIM SEJATI

14. PERUBAHAN QIBLAT

94. BERSATU BERQIBLATKAN SISTEM ISLAM

32. KEMBALIKAN SEMUA SISTEM BERQIBLATKAN ISLAM

Himpunan Khutbah Bulan Rejab

Hayati Isra’ Mikraj Perkuat Syariat Sekat Murtad

 Israk Mikraj DiHayati, Riba dan LGBT DiTangani

 Israk Mikraj DiHayati, Sugarbook dan Judi DiPerangi

Isra’ Mikraj Hebatkan Dakwah Tegakkan Daulah

Suburkan Sistem Islam Kuburkan Sistem Jahiliah

Ujian Ditangani Dengan Iman Untuk Kejayaan Gemilang

Isra’ Mikraj Penyemarak Perjuangan Islam

Berqiblatkan Islam Menerajui Perubahan

Isra’ Mikraj DiHayati, Solat DiHargai, Kemenangan DiRai

Julang Islam Raih Kemenangan Gemilang

Isra’ Mikraj DiHayati Sistem Islam DiJulang Tinggi

Ikut Wahyu Bahagia Turut Nafsu Binasa

Isra’ Mikraj DiHayati Kemenangan Dirai

Ruh Islam DiHayati Kemenangan Islam Dirai

Rakyat Bijak, Pemimpin Hebat Wujudkan Negara Berkat

76. HINDARI CIRI MASJID DHIRAR

77. SOLAT DIJAGA UMAT MULIA

105. SOLAT TERAS KEKUATAN UMAT

Isra’ Mikraj dan Pembebasan Masjid Aqsa

150. ISRA’ MIKRAJ PERINGATAN BERHARGA

55. IKTIBAR PERISTIWA ISRA’ DAN MIKRAJ

Islam DiSanggah Fitnah Bercambah

Islam DiUtama Nasib Umat Terbela

54. IKTIBAR PEPERANGAN TABUK

13. PERISTIWA ISRA’ DAN MIKRAJ

6 pengajaran peristiwa Israk Mikraj

1. BAITULMAQDIS ADALAH HARTA UMAT ISLAM

Bumi palestin adalah bumi barakah yang menjadi tempat pilihan Allah untuk berlakunya peristiwa penting dalam sejarah iaitu Israk Mikraj. Ini membuktikan tanah suci ini dimuliakan Allah dan wajib dipertahankan oleh semua umat Islam.

2. MENGAKUI KEBESARAN ALLAH DAN KEHEBATAN KERAJAANNYA

Allah telah memperlihatkan kepada Rasulullah SAW keagungan kerajaanNya yang tiada terbatas. Peristiwa ini mendidik manusia untuk merasa diri kerdil di hadapan Allah SWT dan mengakui hakikat diri sebagai hamba Allah.

3. KEPENTINGAN SOLAT FARDU LIMA WAKTU

Rasulullah SAW telah menerima perintah solat Fardu secara langsung daripada Allah tanpa melalui perantaraan. Ini menunjukkan keistimewaan dan kelebihan ibadah solat berbanding ibadah yang lain.

4. MENJAUHI PERKARA MUNGKAR DAN YANG DILARANG

Semasa Israk Mikraj , Rasulullah SAW dibawa meninjau suasana di neraka dengan pelbagai bentuk balasan dan penyiksaan ke atas orang-orang yang ingkar kepada Allah. Ini memberi iktibar kepada kita supaya menjauhi perkara yang dilarang oleh Allah.

5. GALAKAN UNTUK SENTIASA MEMINTA KEPADA ALLAH SWT

Peristiwa Nabi berulang alik berjumpa Allah SWT untuk meminta keringanan waktu solat memberi gambaran kepada kita supaya tidak jemu memohon doa kepada Allah dan tidak mudah berputus asa dalam meminta Allah untuk mengabulkan doa dan permintaan kita.

6. KESEDIHAN TERHADAP DUNIA, PENGUBAT RINDUNYA ADALAH ALLAH SWT

Peristiwa Israk Mikraj adalah hadiah daripada Allah untuk mengubati hati dan kesedihan Nabi Muhammad saw setelah melalui ujian besar dengan kematian isteri baginda, Siti Khadijah dan bapa saudara baginda , Abu Thalib. Ini sekaligus menunjukkan bahawa Allah SWT sebaik-baik sandaran ketika sedih dan kecewa.

Firman Allah سبحانه وتعالى:

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَاۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ ﴿١

“Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah Al-Israa’: Ayat 1).

Ustazah Noraidah Abd Muner

Jalan keluar dari masalah duniawi

HARI ini saya naik Grab dari Bandar Kuantan ke rumah saya di Kampung Kuala Penor. Tiba-tiba pemandu Grab meluahkan masalah yang sedang beliau hadapi. Beliau seorang suami dan ayah kepada 5 orang anak yang masih bersekolah.

Satu ketika dulu beliau berkerja dengan sebuah hotel 5 bintang. Gajinya agak lumayan. Sambil-sambil itu beliau buat bisnes sampingan. Dengan gaji dan pendapatan itu beliau mampu beli banglo, kereta dan keperluan lain yang agak mewah. Namun isteri beliau abaikan, ibu bapa di kampung sering putus belanja. Namun beliau tak banyak bertanya khabar. Beliau mabuk dengan kemewahan sendiri dan duit habis dengan kawan-kawan. Beliau dah lama tak tunai solat. Pernah beliau tampar isteri kerana kejutkan beliau solat Subuh. Mengenai anak-anak, beliau tak ambil tahu. Pernah anak sulung beliau ambil upah cuci kereta dekat car wash kerana nak bayar duit yuran asrama.

Itu dulu, awal tahun lepas bermulanya COVID-19 majikan hotel telah memberhentikan beliau bersama-sama beberapa puluh staf yang lain. Beliau mula berhutang sana sini kerana nak kekalkan hidup mewah yang pernah beliau lalui. Akibatnya hutang beliau semakin berlambak termasuk hutang dengan along. Empat ke lima kali orang-orang along datang cari dekat rumah. Anak-anak hanya mampu menangis bila orang-orang along tampar beliau depan anak-anak. Namun itu semua tidak pernah menjadikan beliau serik. Akhirnya isteri dan anak-anak bawa diri balik kampung di Negeri Sembilan. Khabarnya isteri beliau ambil upah jaga homestay orang di Kampung. Anak sulung dan ketiga (lelaki) bekerja dekat bengkel dan kebun sayur di dengkel. Yang masih sekolah rendah tinggal dengan mak mertua dan ayah mertua yang dah uzur.

Lantas beliau berkata sekarang beliau dah insaf. Hidupnya musnah sama sekali. Sepi, sunyi dan teman-teman pun ramai yang dah lari. Yang ada hanya ketakutan diburu oleh ejen-ejen kewangan tempat beliau berhutang. “Ustaz… tolong saya,” dengan nada sebak. Saya bukan nak pinjam duit bukan nak apa cuma tunjukkan saya jalan hidup yang sebenar. Saya dah buntu ini. Apa perlu saya buat? Lanjut beliau.

Saya pandang wajah beliau. Awan sedih bergayut lebat pada wajahnya. Sejurai air mata menghilir ke lekukan pipinya yang agak cengkung. “Sekarang encik solat tak?,” Tanya saya. “Tidak…,” ujar beliau perlahan sambil menggelengkan kepala dengan lemah. Saya beritahu beliau;

“Itulah salahnya encik dan punca segala masalah yang encik hadapi ini. Encik mahu keluar dari kemelut hidup dunia yang membebankan. Encik mahu lari dari tekanan perasaan. Encik mahu anak-anak dan isteri kembali kepada encik… Betul tak?”. 

Sebelum beliau jawab saya sambung lagi. “Tahu kah encik bahawa dunia ini ada tuannya? Hidup ini ada yang menciptanya? Anak-anak dan isteri encik itu ada tuannya termasuk diri encik iaitu Allah. Hanya Allah yang boleh menyelesaikan masalah encik. Tapi kalau dengan Allah sendiri encik ada masalah iaitu tidak pernah mahu sujud kepadaNya, bagaimana Allah akan menyelesaikan masalah encik? Sebelum encik fikir jalan penyelesaian mana yang nak diambil, terlebih dahulu encik mesti selesaikan permusuhan encik dengan Allah. Sujudlah kepada-Nya. Mengadulah kepada-Nya dan merintihlah kepada-Nya. Saya percaya kalau encik ceritakan masalah encik ini kepada teman-teman lain dan kawan-kawan yang pernah rapat dengan encik, mereka akan buat tak tahu bahkan menyampah mendengarnya bukan?”

“Ya Ustaz, kawan-kawan semua dah lari,” jawab beliau lemah. “Tapi encik, Allah tidak pernah jemu dan meluat dengan encik walau encik derhaka kepada-Nya 1,000 tahun sekalipun, asalkan encik bangun semula dengan penuh insaf dan bertaubat kepada-Nya. Jagalah solat,” tegas saya berulang kali sebelum kereta berhenti di hadapan pagar pondok saya. Beliau pegang tangan saya dan menangis sungguh-sungguh. “Ustaz doakan saya,” ujar beliau dalam sedu yang semakin berat. 

Selepas membayar RM17 tambang beliau. Beliau pun berlalu sambil berkata “Ustaz bersaksilah saya berjanji kepada Allah untuk kembali kepada-Nya.”

Saya perhatikan kereta beliau berlalu dengan perasaan yang juga pilu, namun saya gembira ‘Kuliah live’ saya hari ini berjaya membuatkan hati seorang hamba Allah berjanji untuk kembali kepada Allah, moga beliau berubah. Amiin.

USTAZ MOKHTAR SENIK

Banjir 2020 yang menjadi pelajaran

BANJIR yang melanda negara pada akhir 2020 yang lepas turut menenggelamkan rumah yang didiami oleh mak saya di atas sebidang tanah milik anak perempuan Tuan Guru Haji Mad Bukit Keledang. Oleh kerana air melimpah agak cepat maka saya dan abang-abang telah membuat keputusan tergesa dan pantas memindahkan ibu kami yang keuzuran (sakit tua) ke rumah abang di FELDA Purun Triang. 

Oleh kerana tidak sempat memindahkan keseluruhan barang maka saya telah berpesan kepada menantu Tuan Guru jika air masih berterusan naik, saya mohon beliau meminta bantuan pelajar-pelajar pondok memindahkan barang tersebut. Pada petang itu juga saya bergegas pulang ke Kuantan sebelum keseluruhan laluan ditutup atau tersekat. Itu pun saya terpaksa pulang melalui FELDA Sebertak Bera-Muazam Shah – Gambang-Kuantan. Mengambil masa 5 jam untuk sampai ke Kuantan.

Ketika di Kuantan hati saya tidak senang bila memikirkan rumah yang ditumpangi mak saya, lebih-lebih lagi ada berita dari Bukit Keledang mengatakan sebahagian besar barangan musnah. Pintu dikopak dan pecah. Namun maklumat dari menantu Tuan Guru yang sentiasa saya hubungi mengatakan barang-barang utama telah dipindahkan dan tak banyak yang belum dipindahkan. Hanya dua buah almari besar yang sudah sangat uzur. 

Sungguhpun begitu hati tetap tidak tenang, maklumlah bila memikirkan rumah itu hanya rumah yang kami tumpang atas ihsan tuan rumah dan tuan tanah. Menantu Tuan Guru yang juga teman saya sejak beliau belum berkahwin dengan anak Tuan Guru berkali-kali menghiburkan hati saya, bahawa tiada apa-apa. Bahkan beliau sekeluarga gembira sahaja jika mak saya yang mendiami kediaman di tapak tanah milik isteri beliau itu. Isteri beliau berkata “tinggallah di situ kerana Moknik (panggilan kepada mak saya) dah macam keluarga mereka”. 

Lega sedikit hati saya, alhamdulillah. Selepas banjir surut, saya terus balik melihat keadaan rumah dan barangan, semakin lega hati saya bila melihat tiada apa barang yang musnah kecuali dua almari uzur yang besar yang diberitahu oleh menantu Tuan Guru. Baju-baju tuan rumah dalam almari yang basah, dibasuh dan kemudiannya dilipat rapi oleh kawan-kawan kakak saya dari Dewan Muslimat Temerloh, terima kasih. 

Pinggan mangkuk tuan rumah juga selamat tanpa cacat, begitu juga peti ais mereka. Syukur kepada Allah. Sekurang-kurangnya khabar angin yang saya dengar mengatakan sebahagian besar barangan tuan rumah musnah itu tidak benar. 

Sedikit maklumat berkaitan Allahyarham Tuan Guru Haji Mohd Ilias (ATGHM) bekas Mudir Pondok an-Najjah Bukit Keledang.

Hubungan keluarga saya dengan ATGHM bermula seawal tahun 70-an. ketika itu beliau baru sahaja menamatkan pengajian di Pondok Pasir Tumboh Kelantan. Kali pertama beliau berkunjung ke Pahang bersama rakan rapat beliau Tuan Guru Haji Derani anak kepada Tuan Guru Haji Awang Lambor (bapa saudara mak saya). Oleh kerana bapa saudara saya Haji Musthafa (bekas imam tua Masjid Kampung Delima Wakaf Bharu) juga pelajar Pasir Tumboh, maka rumah saya menjadi persinggahan tempat mereka bermalam. 

Arwah ayah saya mengalu-alukan kedatangan mereka lebih-lebih lagi hubungan Haji Derani dengan mak dan ayah saya ialah sepupu. Ketika itu saya masih di sekolah Rendah. Saya tidak tahu apa tujuan kedua orang alim itu (kemudiannya ketika sedang belajar di Pondok Pasir Tumboh saya menjadi murid kepada kedua-dua mereka), berkali-kali berkunjung ke rumah saya. Namun kemudiannya saya mula faham bila mendengar perundingan mereka dengan arwah ayah dan mak saya untuk masuk merisik anak Tuan Guru Haji Abdullah (anak angkat Datuk Saudara saya TG Haji Awang Lambor) iaitu Kak Mukminah. Alhamdulillah acara merisik, pertunangan dan perkahwinan berjalan dengan lancar dengan kedua ayah dan mak saya terlibat sepenuhnya. 

Selepas berkahwin ATGHM sering menziarahi mak saya sepeti ibu beliau sendiri. Selepas ayah saya meninggal ATGHM mencadangkan mak saya tinggal di pondok beliau. Sejak tahun 1978 mak saya tinggal di Pondok an-Najjah dan menjadi guru Quran kepada warga tua pondok tersebut. Hubungan saya dengan ATGHM bukan sahaja bagai hubungan guru dan murid tetapi kami bagaikan adik dan abang. Lebih-lebih lagi beliau adalah penyokong tegar PAS sehingga ke saat kematian beliau.

Peristiwa banjir itu telah mengimbau kenangan lama saya bersama beliau dan keluarga. Sungguh pantas masa berlalu. Kini Abang Haji Mat dan Kak Nah sudah tiada. Yang ada hanya anak-anak dan menantu beliau. Mungkin dengan menetapnya mak saya kembali di Pondok itu akan mendekatkan kembali saya dan keluarga Allahyarham yang sudah agak menjauh disebabkan urusan kehidupan masing-masing.

USTAZ MOKHTAR SENIK

Ulama mati bersama ilmunya

Dr Khairul Asyraf Mohd Nathir

PEREDARAN zaman menunjukkan peranan ilmu semakin berkembang dan cerdik pandai semakin bertebaran di atas muka bumi. Perkembangan ini boleh dilihat melalui kemunculan sekolah dan pusat pengajian tinggi bagi menampung keperluan cerdik pandai yang semakin ramai dikeluarkan.

Pada hari ini, seluruh dunia memperkatakan mengenai kemunculan ramai alim ulama dalam pelbagai disiplin ilmu. Namun, baginda Nabi SAW mengingatkan semua manusia bahawa pada satu ketika nanti ilmu akan diangkat oleh Allah SWT sebagai tanda hampirnya kiamat.

Nabi SAW bersabda maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak mencabut ilmu sekali gus daripada hamba-Nya, tetapi Dia mencabut ilmu itu dengan mematikan para ulama, sehingga tiada lagi ulama yang tinggal. Pada saat itu, manusia akan mengangkat pemimpin daripada kalangan orang yang bodoh. Dan ketika pemimpin itu ditanya sesuatu, maka akan keluar daripadanya fatwa yang tidak berasaskan ilmu sehingga mereka tersesat dan menyesatkan.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan hadis itu, terdapat satu bentuk gambaran yang besar mengenai situasi ilmu yang sedang pesat berkembang pada hari ini. Menghampiri kepada tibanya hari kiamat, ilmu berkaitan dengan agama dan syariah akan diangkat oleh Allah SWT melalui guru, pendidik dan ulama yang dimatikan bersama ilmu yang ada padanya.

Ilmu merupakan suatu maklumat dan pengetahuan yang diwarisi daripada satu generasi kepada generasi yang seterusnya. Namun, sekiranya pewaris keilmuan itu belum bersedia menerima ilmu disebabkan kelekaan dengan perkara lain, maka ilmu itu hanya akan terhenti pada generasi sebelum itu sahaja.

Dengan terhentinya keilmuan dan matinya pendukung ilmu itu, manusia akan mula tersasar dan menghampiri kesesatan.

Dalam hadis yang lain, Baginda Nabi SAW mengisyaratkan:

“Di antara tanda-tanda akan datangnya kiamat ialah dihilangkan ilmu (mengenai agama) dan tetapkan kejahilan.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Situasi hari ini, manusia berlumba-lumba untuk menuntut ilmu sama ada melalui sekolah, pondok, universiti dan sebagainya. Namun, tujuan menuntut ilmu itu perlu diperjelaskan kerana ramai antara mereka yang berjaya dalam bidang pengajian masing-masing, tetapi tidak dapat memanfaatkan ilmu yang diperoleh untuk diperturunkan kepada generasi akan datang.

Yusuf al-Wabil dalam kitab tanda-tanda kiamat menjelaskan dimaksudkan dengan ilmu yang diangkat ini adalah melibatkan sumber daripada al-Quran dan as-Sunah. Ilmu-ilmu ini adalah warisan nabi yang disampaikan oleh kalangan ulama sehingga sampai kepada kita hari ini.

Dengan lenyapnya ulama, pasti ilmu akan turut hilang sedikit demi sedikit sehingga sunah mati, bidaah muncul dan kejahilan berleluasa.

Dalam riwayat lain, baginda Nabi SAW bersabda maksudnya: “Di antara tanda-tanda hari kiamat adalah ilmu yang dipelajari daripada orang-orang kecil.” (Hadis Riwayat Ibnu Mubarak)

Berdasarkan hadis ini, lafaz al-Asaghir (kecil) membawa maksud orang yang rendah ilmu pengetahuan atau orang bodoh. Gambaran hadis ini jelas menunjukkan manusia akan mula mencari ilmu dengan mereka yang bukan ahlinya.

Satu sebab utama adalah guru dan ulama sudah dimatikan Allah SWT dan generasi selepasnya tidak memanfaatkan ilmu yang terdapat padanya.

Pada masa yang sama, manusia pada ketika itu lebih gemar mencari hiburan dalam ilmu berbanding diskusi agama yang lebih bermanfaat.

Ilmu yang disampaikan adalah terhad namun jenaka dan cerita yang tiada asas yang kukuh diperdengarkan sehingga manusia yang mendengar menjadikan hujah berkenaan sebagai kalam utama yang dituturkan oleh ulama.

Lebih teruk lagi, ada cerita palsu disebarkan dan dinyatakan sebagai hadis dan perkataan daripada baginda Nabi SAW. Penyebaran ilmu ini tidak setakat ilmu yang tidak bermanfaat bahkan menjangkau hadis palsu yang dijadikan hujah utama golongan bawahan dalam penyampaian ilmu mereka.

Justeru itu, ilmu yang berkembang ini akan tiba kepada pengakhiran melalui guru dan ulama yang dimatikan Allah SWT.

Maka setiap penuntut ilmu perlu bersedia untuk mewarisi ilmu itu dan menyampaikan kepada generasi berikutnya sebagai kesinambungan keilmuan yang utama dalam kehidupan manusia.

Orang alim ‘dijemput’ Ilahi

Oleh Dr Khairul Asyraf Mohd Nathir

Kematian orang alim dan dominasi mereka yang jahil dan jahat menggambarkan keadaan manusia berada pada penghujung zaman sehingga mereka berbuat kebaikan dihina serta dicaci manakala kejahatan dipelihara.

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Demi zat yang jiwa Muhammad ini berada di genggaman-Nya, hari kiamat tidak akan datang sehingga muncul kejahatan dan kebakhilan, orang yang jujur didustakan, orang yang khianat dipercayai. Binasalah al-Wa’ul dan munculnya at-Tahut? Maka sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW: “Siapakah al-Wa’ul dan at-Tahut itu ya Rasulullah? Jawab baginda: ‘al-Wa’ul adalah orang terhormat dalam kalangan manusia, sedangkan at-Tahut adalah orang yang hidup di bawah tekanan tanpa mengetahui siapa yang menekannya.'” (Hadis Riwayat al-Hakim, al-Fitan Hadis no, 8664)

Hadis di atas menjelaskan mengenai keadaan manusia akhir zaman iaitu kejahatan dan kebakhilan muncul dengan begitu pesat sehingga perkara itu menjadi kebiasaan dalam masyarakat. Semua perkara yang dilakukan diangkat masyarakat sehingga perbuatan yang diharamkan dihalalkan.

Manakala manusia yang jujur serta mereka yang sentiasa melakukan kebaikan dicaci dan diabaikan. Kelakuan dan percakapan mereka tidak diendahkan oleh masyarakat bahkan terus dipulau dan dianggap orang asing. Mereka adalah daripada golongan ilmuwan, asatizah yang mempunyai semangat tinggi dalam memperteguhkan keimanan dan mengajak ke arah kebaikan.

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Di antara tanda-tanda hari kiamat antara lain: kebakhilan dan perbuatan tercela terserlah, orang yang khianat dipercayai, orang yang amanah dikhianati, merebaknya pakaian yang dipakai oleh wanita, tetapi telanjang, at-Tahut yang menjadi atasan al-Wa’ul.” Maka kami bertanya, apakah at-Tahut wahai Rasulullah? Baginda bersabda: ‘Mereka adalah orang yang mempunyai mental (moral) yang rendah kemudian dipilih oleh orang-orang bodoh untuk diangkat menjadi pemimpin untuk kepentingan mereka, sementara al-Wa’ul adalah orang-orang yang soleh.'” (Hadis Riwayat al-Hakim, al-Fitan Hadis no, 8664)

Gambaran hadis di atas menjelaskan lagi situasi manusia yang ramai berada pada kejahilan dan kebakhilan. Kejahilan ini juga merujuk kepada mereka yang kurang ilmu agama, tetapi berkata-kata umpama orang alim yang luas keilmuannya. Sehingga golongan ini mampu menolak pandangan yang dipersetujui oleh orang alim dengan pemahaman akal mereka. Paling ketara apabila mereka secara langsung menggelarkan seseorang orang alim itu dengan perkataan ‘sesat’.

Berkuasanya mereka yang jahil dan jahat ini merujuk kepada penyingkiran orang baik daripada sistem kekuasaan. Dalam sistem kekuasaan yang didominasi oleh mereka yang jahat, orang-orang yang baik akan menjadi mangsa dan korban bagi menjayakan agenda yang dirancang. Sekiranya perkara tersebut berlaku secara nyata, kedudukan orang-orang baik ini amat mudah untuk dipastikan. Namun sekiranya, agenda jahat yang dikenakan kepada orang-orang baik ini melalui jalan belakang (penguasaan mental), masyarakat akan melihat golongan yang baik adalah jahat dan mereka yang jahat adalah baik dan disokong segala usaha mereka.

Orang alim yang terdiri daripada cendekiawan ialah pemimpin agama yang mencapai kedudukan tinggi disebabkan ijtihad, sabar dan sempurna keyakinan, sebagai mana firman Allah SWT: “Dan Kami jadikan daripada kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum agama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami.” (Surah al-Sajdah: 24)

Kelebihan orang alim adalah memberi petunjuk keimanan kepada masyarakat supaya masyarakat menjadi celik dan cerdik daripada sebarang kejahilan. Ini kerana kejahilan akan membawa bala kepada mereka yang jahil tanpa pegangan agama yang kukuh. Keperluan mempelajari adab menuntut ilmu daripada orang alim akan memberi kesan daripada yang lain. Penuntut ilmu hendaklah berakhlak dengan akhlak mulia dan menghindarkan sifat mazmumah.

Kematian orang alim dianggap sebagai musibah besar kerana orang alim adalah pewaris nabi dan pelita bagi umat. Untuk melahirkan orang alim yang berwibawa dan mursyid ummah, memerlukan tempoh yang panjang dan tapisan yang tebal.

Antara tanda akhir zaman ilmu berkaitan agama dan kefahaman Islam akan berkurangan dengan kematian orang alim, sebaliknya ilmu berkaitan teknologi dan perkembangan semasa semakin canggih dan begitu terkehadapan. Hal ini tidak pelik dengan banyak penemuan ciptaan terbaharu dan terkini.

Imam al-Syafie berkata: “Tuntutlah ilmu sebanyak yang mungkin kerana ia akan menjagamu dan membuatmu cemerlang di dunia dan di akhirat, di samping ia menjadi amalan Nabi, Rasul dan orang soleh.”

Pujangga berkata: “Ilmu pengetahuan mempunyai dua keuntungan. Pertama, kita mengetahui masalah pokok dan kedua kita mengetahui di mana kita dapat menemui maklumat berkaitan hal itu.”

Sulaiman Rahimahullah yang berkata maksudnya: “Manusia sentiasa dalam kebaikan selama mana masih kekal generasi pertama sehingga yang kemudian dapat mempelajarinya. Jika binasa generasi yang pertama sebelum dipelajari oleh generasi seterusnya, maka binasalah manusia.”

Ketika ditanya kepada Sa’id Bin Jubair Rahimahullah: “Apakah alamat binasanya manusia? Jawabnya: “Apabila orang alim mereka meninggal dunia.”

Kematian orang alim adalah musibah besar kepada ummah. Manusia mampu menggantikan jawatan, tetapi tidak mampu menggantikan ilmu, sikap dan nilai yang dimiliki oleh seseorang. Bacalah sejarah kita akan dapati orang alim yang berpengaruh yang begitu terkesan pada jiwa orang kampungnya atau negerinya sudah pasti tidak dapat dicari ganti selepas kematiannya.

Firman Allah SWT maksudnya: “Mengapa mereka yang kafir itu masih berdegil dan tidak mahu memerhatikan bahawa kekuasaan kami sentiasa menakluk bumi (yang mereka diami) dengan menjadikan dia kurang sedikit demi sedikit dari kebaikannya dan kemuliaannya?” (Surah al-Ra’d: 41)

Atha’ dan ramai orang alim menafsirkan bumi kurang sedikit demi sedikit memberi maksud kematian orang alim dan hilangnya para fuqaha.

Firman Allah SWT maksudnya: “Demi bintang semasa ia menjunam.”(Surah al-Najm: 1)

Bintang yang dinyatakan dalam ayat di atas adalah merujuk kepada orang alim. Imam al-Nasafi berkata: “Allah bersumpah dengan orang alim apabila ia meninggal dunia.”

Kematian orang alim akan menyebabkan kedudukan manusia akan kembali kepada kegelapan. Kejahilan semakin meluas sehingga tiada lagi peringatan akan diberikan kecuali daripada mereka yang jahil, jahat dan bodoh.

Himpunan Khutbah Aidil Adha

Khutbah Aidil Adha 1440H

Khutbah Aidil Adha 1439H

Khutbah Aidil Adha 1438H

Khutbah Aidil Adha 1437H

Khutbah Aidil Adha 1436H

Khutbah Aidil Adha 1435H

Khutbah Aidil Adha 1434H

Khutbah Aidil Adha 1433H

Khutbah Aidil Adha 1432H

Khutbah Aidil Adha 1431H

Khutbah Aidil Adha 1430H

Khutbah Eidil Adha 1429H

KHUTBAH EIDIL ADHA 1428H

KHUTBAH EIDIL ADHA 1427H

KHUTBAH EIDIL ADHA 1426H

 KHUTBAH EIDIL ADHA 1425H

KHUTBAH EIDIL ADHA 1424H

KHUTBAH EIDIL ADHA 1423H

KHUTBAH EIDIL ADHA 1422H

KHUTBAH EIDIL ADHA 1420H